Tajuk: Wanita solehah

Dalam ajaran Islam, kaum wanita merupakan di antara makhluk Allah yang sangat dimuliakan. Mereka diberi kemulian sama taraf dengan kaum lelaki jika mereka benar-benar beriman dan menurut segala perintah Allah Subhanahu wa ta’ala. Hal ini telah dibuktikan dengan lahirnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam membawa risalah Islam yang membebaskan manusia dari memperhambakan diri sesama manusia kepada memperhambakan diri semata-mata kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Kaum wanita telah dibebaskan dari menjadi hamba kepada kaum lelaki, sebaliknya berkhidmat kepada kaum lelaki (yang bernama suami atau ayah) selama mereka menjaga dan memeliharanya dengan baik menurut panduan Ilahi.

HAK DAN KEMULIAAN WANITA DALAM ISLAM
Pada masa bangsa Arab Jahiliyyah dan seluruh bangsa di dunia ini menganggap kaum wanita sebagai najis, hina, haiwan dan sebagainya, maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dibangkitkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk mengisytiharkan kepada dunia bahawa wanita juga adalah manusia dan mempunyai hak-hak tertentu.

Islam telah mengatur kehidupan manusia dengan yang sebaik-baiknya. Kaum wanita tidak lagi dijadikan sebagai barang dagangan, pelacur atau hamba abdi. Sebaliknya mereka hidup dalam keadaan suasana yang teratur dan terpelihara. Bukan setakat itu sahaja, malah Islam telah mengangkat darjat wanita ke taraf yang tinggi yang tidak dapat ditandingi dalam perkembangan-perkembangan tamadun kemanusiaan.

Wanita tidak diperintah ke medan perang atau membuat tugas-tugas sebagaimana kaum lelaki kerana kekuatan mereka kurang dan tidak sesuai melaksanakan perkara-perkara tersebut. Pusat kegiatan bagi kaum wanita sebagaimana yang digariskan oleh syarak ialah di rumah. Rumah merupakan syurga dan medan jihad serta gelanggang bagi kaum wanita menumpukan masanya bagi menyelesaikan tugas dan tanggungjawab mereka dalam urusan rumahtangga.

Firman Allah di dalam Al-Quran, “Dan hendaklah kamu (hai isteri-isteri Nabi) tinggal tetap di rumahmu…. ” (Surah Al-Ahzab ayat 33)

Ayat secara khusus ditujukan kepada para isteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. juga secara tidak langsung ditujukan kepada seluruh kaum wanita beriman kerana para isteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. merupukan contoh ikutan yang sebaik-baiknya bagi setiap wanita Islam. Alangkah baiknya jika setiap wanita Islam mengikuti serta mencontohi bentuk kehidupan para isteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam daripada mengikuti dan mencontohi kehidupan wanita-wanita musyrik yang sentiasa mendapat laknat dari Allah Subhanahu wa ta’ala.

Sungguhpun kaum wanita dinaikkan darjat sama mulianya dengan kaum lelaki andai kata mereka benar-benar beriman dan bertaqwa, namun demikian mereka tidak sekali-kali dibolehkan menjadi pemimpin kepada kaum lelaki. Wanita adalah tetap wanita sesuai dengan sifat-sifat kewanitaan.

Hendaklah diingat bahawa di antara tanda-tanda hampirnya turun azab serta laknat Allah Subhanahu wa ta’ala. ke atas sesuatu kaum atau bangsa ialah apabila merosotnya akhlak kaum wanitanya dalam berbagai segi dan mereka berbondong-bondong keluar rumah dengan alasan untuk sama menyumbangkan bakti terhadap masyarakat. Perkara ini banyak disebut oleh para ulama Islam di dalam kitab-kitab mereka, bahkan memperingatkan akan bahayanya apabila wanita-wanita telah dibenarkan keluar tanpa uzur syar’iyy.

WANITA BERHAK DALAM MENUNTUT ILMU

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. “Dunia ini adalah kesenangan dan sebaik-baik kesenangan ialah wanita yang solehah. ” (Riwayat Muslim dan An-Nasa’ei)

Wanita yang solehah ialah wanita yanbg berpendidikan baik dan berakhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Sekiranya wanita tidak diberikan pendidikan yang sewajarnya, amat sukar sekali hendak menjadikan mereka sebagai wanita solehah sebagaimana yang diharapkan.

Sejarah telah membuktikan bagaimana seorang ibu telah dapat membakar semangat perjuangan ke dalam anak lelakinya. Wanita tersebut ialah Asma Binti Abu Bakar. Asma telah memberi perangsang kepada anaknya ketika pertempuran sengit berlaku di antara Abdullah bin Zubir (anak lelakinya) dan tentera-tentera Yazid bin Mu’awiyah. Di antara kata perangsang yang diucapkan oleh Asma kepada anaknya itu ialah,

“Hai anakku, jika engkau yakin bahawa engkau di atas kebenaran yang engkau seru maka teruskanlah dan janganlah sekali-kali engkau biarkan tengkukmu dipermain-mainkan olah budak-budak Bani Umaiyah.

 Akan tetapi, jika engkau mengkehendakinya keduniaan, maka alangkah celakanya engkau sabagai hamba Allah dan dengan demikian engkaulah sendiri yang menghancurkan diri sendiri dan orang-orang yang bersama-sama itu. ”

“Akan tetapi, jika engkau berkata, Aku berada di atas kebenaran tetapi apabila sahabat-sahabatku menjadi lemah semangat maka aku pun turut lemah semangat. Maka sikap seperti ini bukanlah sikap orang-orang yang merdeka, malah bukan sikap orang yang berkebajikan kerana berapa lama sangatkah hidupmu di dunia, hai anak Zubir. Demi Allah ! Dipancung dengan pedang dalam kemuliaan lebih baik bagiku dari pukulan cemeti dalam kehinaan. ” Abdullah Bin Zubir meneruskan perjuangan dan akhirnya ia gugur sebagai seorang syahid.

Begitu juga isteri Saiyidina Ali r. a. iaitu Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah telah dapat mendidik kedua-dua orang anaknya iaitu Hasan dan Husin sehingga mereka akhirnya menjadi orang yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Kedua-dua wanita yang sepatutnya dicontohi olah generasi wanita Islam hari ini adalah terdidik dalam suasana Islam dan hidup mengikut tuntutan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Wanita-wanita yang tidak mendapat didikan Islam yang sempurna tidak mungkin dapat memberikan contoh yang sedemikian rupa. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan Islam dan pendididkan bagi kaum wanita kerana mereka adalah institusi pendidikan bagi anak-anak mereka.

WANITA BERHAK DALAM URUSAN HARTA BENDA DAN HAK MILIK

Kalau di zaman Jahiliyyah dahulu kaum wanita tidak diberikan bahagian dari harta pusaka peninggalan keluarga mereka yang telah meninggal dunia, Islam telah menghapuskan kezaliman tersebut dari mereka. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. “Bagi lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dari kerabatnya, dan bagi wanita ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, sama ada sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan. ” (Surah An-Nisa’ ayat 7)

Dalam hal pembahagian harta pusaka peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat, kaum lelaki berhak menerima bahagian yang lebih banyak melebihi kaum wanita kerana memandangkan tanggungjawab mereka adalah lebih berat dari kaum wanita. Mereka bertanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga yang berada dalam kekuasaannya. Tetapi wanita adalah sebaliknya.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. telah menunjukkan sikap perikemanusiaan dan timbang rasa terhadap kaum wanita dalam segala hal. Baginda telah bersabda maksudnya,

“Hai Aisyah, barangsiapa member pemberian dengan tidak diminta terlebih dahulu hendaklah kamu terima kerana sesungguhnya ia adalah rezeki yang disampaikan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala kepada kamu. ” (Riwayat Al-Tarmizi)

Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. ini menunjukkan serta menjelaskan bahawa wanita dibenarkan menerima hadis atau pemberian dari orang lain.

Wanita Islam juga berhak dan dibenarkan membuka perniagaan dengan syarat segala urusan umumnya dikendalikan oleh kaum lelaki. Saiyidatina Khadijah Binti Khuwailid pada zaman permulaan Islam adalah seorang saudagar yang kaya raya. Ia telah menyerahkan segala pengurusan harta benda dan perniagaannya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Dengan harta kekayaan yang dimiliki itu dapat di pergunakan untuk menggerakkan dakwah Islamiyah yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

WANITA BERHAK DALAM URUSAN IBADAH

Sedang manusia menganggap bahawa wanita tidak boleh menjalankan amalan agama kerana dianggap sebagai haiwan yang tidak berjiwa, maka Islam mengakui bahawa untuk wanita pahala amal ibadah yang dikerjakannya sama sebagaimana yang diperolehi oleh kaum lelaki. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. “Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka masuk syurga dan mereka tidak akan dizalimi sedikitpun. ” (Surah An-Nisa’ ayat 124) 

Islam telah meletakkan tanggungjawab beribadah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala ke atas wanita sama seperti tanggungjawab yang dibebankan terhadap kaum lelaki. Ini adalah disebabkan kerana lelaki dan wanita sama-sama hamva Allah Subhanahu wa ta’ala. yang diperintahkan untuk beribadah kepadaNya. Tugas lelaki dan wanita itu sama sungguhpun terdapat beberapa perbezaan atau kelainan yang timbul, tetapi tidaklah begitu banyak, kerana sememangnya begitu peraturan yang ditetapkan oleh syariat Islamiyah.

Umpamanya, kaum wanita tidak diwajibkan mendirikan sembahyang atau berpuasa ketika didatangi haid atau nifas. Hanya diwajibkan mengqadhakkan kembali puasa yang telah ditinggalkan ketika didatangi haid atau nifas.

CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. telah bersabda,

“Jika sekiranya ada perintah dari Allah Subhanahu wa ta’ala. untuk menyuruh manusia sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku menyuruh isteri sujud kepada suaminya. ”(Riwayat Imam Ahmad)

Hadis ini merupakan peringatan dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. kepada para isteri agar mereka menumpukan seluruh kecintaan dan kepatuhan kepada suami mereka selama mana mereka tunduk kepada perintah Allah dan Rasul.

Salah satu daripada perkara yang dapat membantu untuk mewujudkan rumahtangga yang bahagia ialah ketaatan isteri kepada suami dalam setiap perintahnya selama perintah itu bukan merupakan suatu perkara maksiat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Islam menjelaskan bahawa tidak boleh taat kepada makhluk yang melaksanakan maksiat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. dan ketaatan hanya diperbolehkan dalam hal yang dibenarkan oleh syariat Islam.

Isteri yang solehah hendaklah sentiasa bersikap jujur dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap suaminya di dalam sebarang hal yang diizinkan oleh syarak. Kesetiaanya terhadap suami itu bukanlah kerana disebabkan kerana ia lebih rendah darjatnya, tetapi adalah kerana ia telah pun menerima dengan sepenuh jiwa raga suaminya itu sebagai pelindungnya.

Isteri yang solehah juga berperanan menjadi penghibur yang amat meyenangkan dan menyukakan hati suaminya. Seorang isteri hendaklah berusaha melahirkan ciri-ciri keselarian jiwa dengan suaminya. Ia tidak menentang pendapat suaminya walaupun ia merasakan dirinya benar dan di dalam perkara yang termasuk larangan agama.

Namun demikian, ia boleh memberikan pendapatnya dengan jalan lemah lembut dan tidak menjatuhkan martabat suaminya. Perlu diingatkan, ketidak selarian jiwa di antara suami isteri seringkali mengakibat berlakunya pertengkaran yang kadang-kadang berakhir dengan perceraian. Seorang isteri hendaklah memperhatikan hal ini dengan baik agar kerukunan rumahtangganya dapat dipelihara.

Isteri yang solehah hendaklah menjadikan dirinya sumber kekuatan jiwa, menjadi pendorong dan menjadi pembantu perjuangan suaminya. Adalah tidak wajar bagi mana-mana isteri yang menjadi penghalang yang besar kepada suaminya dalam perjuangan menegakkan hukum Allah Subhanahu wa ta’ala. Jika dilayan dengan baik dan sempurna, suami akan hidup jiwanya dan ia akan menjadi pejuang Islam yang hebat.

Contoh terbaik adalah seperti apa yang dilakukan oleh Saiyidatina Khadijah Binti Khuwailid, isteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kepulangan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dengan keadaan menggerunkan menggigil selepas menerima wahyu yang pertama dari Jibril a. s. disambut oleh Khadijah dengan tenang dan penuh kasih sayang. Khadijah, isteri yang patuh dan sangat setia kepada suaminya itu segera menyelimuti suaminya. Setelah keadaan agak reda, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. menceritakan kepadanya segala peristiwa yang berlaku terhadap baginda di Gua Hira. Khadijah, isteri yang bijaksana itu tidak memperlihatkan kekhuatiran dan kecemasan hatinya, bahkan dengan tenang ia berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

“Bergembiralah wahai anak pamanku, tetapkanlah hatimu. Demi Tuhan yang jiwa Khadijah di tanganNya, aku berharap engkaulah yang akan menjadi Nabi bagi umat ini. Allah tidak akan mengecewakan engkau. Bukankah engkau yang sentiasa berkata benar dan selalu memperhubungkan tali silaturrahim, bukanlah engkau yang sentiasa menolong anak yatim, memuliakan tetamu dan menolong setiap orang yang ditimpa kemalangan dan kesengsaraan?”

Demikianlah Khadijah mententeramkan hati suaminya, dan contoh seumpama inilah yang seharusnya menjadi teladan buat sekalian wanita Islam.

Sebagai seorang isteri yang solehah, ia hendaklah bersopan-santun terhadap suaminya. Iaitu dengan berlemah-lembut tutur kata dan gerak laku di hadapan suaminya. Sedapat mungkin ia hendaklah menjauhi kata-kata atau perkataan yang boleh menunjukkan kedurhakaan atau perkataan yang menyakitkan hati suaminya seumpama memaki, atau melafazkan perkataan yang dilarang oleh syarak mahupun adat. Demikian juga seseorang isteri itu hendaklah sentiasa merasa malu dan merendahkan pandangan matanya ketika berada di hadapan suaminya. Hendaklah sentiasa memperlihatkan wajah yang manis di hadapan suaminya, dan ini sudah tentu amat menyenangkan hati suaminya.

Di samping itu, di antara perkara yang tidak wajar dilakukan oleh seorang isteri iaitu memberati atau memaksa suaminya member nafkah seperti makanan, pakaian, wang ringgit dan tempat lebih dari kadar yang diperlukan bahkan diluar kemampuan suami. Bahkan ia hendaklah sentiasa berpada (bersifat qana’ah) dengan apa jua pemberian dari suaminya. Contoh yang paling ketara dan patut dicontohi oleh setiap muslimah ialah apa yang diperlihatkan oleh puteri kesayangan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. iaitu Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah. Walaupun ia terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dalam kehidupan bersama suaminya, (Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. menangis melihat keadaannya) namun ia tetap sabar serta sentiasa mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala. dan kesenangan hidup di akhirat. Dalam hal ini Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. pernah menyebut,

“Untuk mencapai kesenangan akhirat, Fatimah seharusnya menelan segala kepahitan hidup di dunia ini. ”

Seseorang isteri tidak sewajarnya merunggut-runggut terhadap suaminya tentang keperluannya. Apa pun pemberian suaminya samada berupa nafkah mahu pun hadiah hendaklah diterima dengan baik hati. Perlakuan para isteri masa kini yang sering meminta itu dan ini daripada suaminya yang ternyata tidak berkemampuan adalah tidak sewajarnya dilakukan. Para isteri seumpama ini pernah mendapat teguran dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dengan sabdanya, “Sesungguhnya aku tidak menyukai wanita yang keluar dari rumahnya menyeret bajunya seraya mengeluh tentang suaminya. ” (Riwayat At Tabrani) 

Isteri dianggap sebagai durhaka sekiranya isteri tersebut keluar rumah tanpa izin atau tanpa ditemani oleh suaminya atau mahramnya. Hal ini mendapat tegahan di sisi syarak walaupun isteri keluar adalah semata-mata untuk menziarahi kaum keluarga, ibu bapa atau kerana menuntut ilmu fardhu ‘ain yang suaminya mampu mengajarkannya, apatah lagi kalau ia keluar rumah kerana melibatkan diri dengan kelab-kelab wanita, persatuan-persatuan dan sebagainya yang tiada kaitan dengan Islam.

Sesungguhnya telah berlaku satu peristiwa benar di zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Seorang wanita tidak sanggup keluar rumah walaupun untuk menziarahi ayahnya yang sedang tenat untuk menghembuskan nafas terakhir tanpa izin suaminya. Wanita tersebut berada di tinggkat atas sementara ayahnya yang sedang tenat itu berada di tinggkat bawah. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. telah menyebut mengenai peristiwa tersebut dengan sabdanya,

“Sesungguhnya Allah mengampuni ayahmu dengan apa yang kamu lakukan itu. ”

Isteri yang solehah tidak langsung mempunyai cita-cita untuk keluar rumah kononnya untuk berjuang, berkhidmat kepada masyarakat, mengejar kemajuan agar standing dengan kaum lelaki dan sebagainya, kerana yang demikian itu tidak menjamin rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala. bahkan mendedahkan diri kepada bernagai-bagai fitnah. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. pernah bersabda, “Tiap wanita yang keluar rumah tanpa izin suaminya, sesungguhnya dia dalam kemurkaan Allah sehinggalah ia kembali ke rumahnya atau suaminya redha akan dia. ” (Riwayat Al-Khatib)

Syariat Islam tidaklah sebegitu kejam sehingga kaum wanita tidak dibenarkan langsung untuk keluar rumah kerana sesuatu urusan yang penting. Tujuan meminta izin dan keluar rumah dengan ditemani oleh suaminya atau mahramnya adalah sebagai tanda bahawa ia hormat dan menghargai suaminya. Dengan keluar rumah ditemani oleh suami atau mahramnya, perjalanannya menjadi selamat dan kehormatannya sebagai wanita Islam dapat dipelihara.

Apabila seseorang isteri itu telah terlanjur mendurhaka atau menyakiti hati suaminya, hendaklah ia segera meminta maaf kepada suaminya agar ia terlepas dari kemurkaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Sememangnya tidak ada manusia yang sunyi dari melakukan kesilapan dan kesalahan.

Di dalam satu riwayat disebutkan bahawa Saiyidatina Fatimah Az-Zahra telah menemui Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dengan keadaan menangis dan wajahnya sedih tanda penyesalan. Lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. bertanya, “Mengapa wahai anakku Fatimah?” Saiyidatina Fatimah menjawab, “Kelmarin anakanda dengan Ali bergurau-gurau sehingga terbit kata-kata dari anakanda yang menyakitkan sehingga Ali marah kepada anakanda, lalu anakanda meminta maaf darinya dan mengelilinginya sebanyak tujuh puluh kali sehinggalah ia memaafkan dan ia tertawa serta redha. ”


Mendengar keterangan Saiyidatina Fatimah, lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. pun bersabda, “Demi diriku yang diangkat oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. sebagai Nabi, sekiranya engkau mati sebelum Ali redha kepada kesalahan engkau itu, tidak akan aku sembahyangkan jenazah engkau. ”

Isteri hendaklah tahu serta faham bahawa rumahtangga yang dibina itu merupakan tempat penghibur di mana setelah penat suami menjalankan tugasnya di luar, kepulangannya akan disambut dengan penuh setia dan sopan.

Contoh isteri yang benar-benar member layanan terhadap suaminya ialah apa yang dilakukan oleh Saiyidatina Fatimah Az-Zahrah terhadap suaminya. Kepulangan suaminya yang letih lesu dari medan peperangan disambut dengan wajah manis yang berseri-seri.

Begitu juga dengan ibunya, Saiyidatina Khadijah yang merupakan seorang isteri yang sempurna serta seorang wanita beriman dan isteri yang begitu setia kepada suaminya. Segala harta kekayaannya digunakan serta diserahkan kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. untuk menyebarkan risalah Islam kepada umat manusia. Lantaran itu dikatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. pernah menyebut,

“Islam terbangun atas harta Khadijah…”

Sewaktu berlakunya kepungan terhadap Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dan keluarga baginda serta umat Islam ketika itu, Khadijah meninggalkan segala-galanya dan berdiri di belakang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kesusahan yang berlaku semasa kepungan itu tidak pernah menyebabkan ia mengadu atau mengeluarkan kata-kata yang melukakan hati Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Betapa kecintaan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. kepada Khadijah dapat dilihat pada kenyataan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. kepada Aishah r.a.

“Dia beriman kepadaku di saat orang lain masih kafir. Dia membenarkan aku di saat orang lain mendustakan aku. Dia menolong aku dengan harta di saat orang lain tidak mahu memberikan kepadaku. Dan Allah memberikan anugerah anak kepadaku daripadanya, tidak daripada isteri-isteri yang lain. ”

Inilah contoh seorang isteri yang benar-benar memainkan peranan, yang taat serta sedia berjuang dan berkorban menghadapi kesusahan bersama-sama suaminya.

CIRI-CIRI IBU YANG SOLEHAH

Di samping tugasnya sebagai suri rumahtangga, wanita Islam juga mempunyai peranan penting sebagai seorang ibu. Tugas keibuan dalam Islam bukanlah sekadar menjadi seorang isteri, mengandung, melahirkan serta mengasuh anak kerana sifat yang sedemikian tidak terdapat pada seorang ibu Islam. Keibuan dalam Islam ialah mempunyai jiwa dan perasaan sebagai seorang ibu yang bersifat penyayang, lemah lembut, tidak mementingkan diri sendiri, kasih terhadap anak-anak bahkan sanggup bersusah payah melaksanakan kerja-kerja dalam urusan rumahtangga.

Keibuan dalam Islam juga bererti mengukuhkan kedudukan keluarga yang menjadi asas pembentukan generasi Islam dalam lingkungan keluarga. Peranan keibuan adalah amat penting kerana ibu adalah di antara orang yang mencorak dan membentuk anak-anaknya.

Seorang ibu yang solehah ialah ibu yang mengasuh dan mendidik anak-anaknya dengan rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan konsep kehidupan Islam. Begitu juga dengan harapan agar anak-anaknya kelak akan menjadi orang yang bertindak untuk mendakwahkan agama Allah Subhanahu wa ta’ala. Malahan ia akan berusaha sedaya upaya mengasuh dan memujuk akan anak-anaknya supaya benar-benar berpegang dan mentaati ajaran-ajaran Al Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Adalah menjadi tugas seorang ibu Islam apabila anaknya sudah pandai bertutur, mengajarkannya ucapan syahadat dan ucapan-ucapan lain yang baik-baik yang banyak diucapkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. di dalam hadis-hadisnya. Apabila anak itu sudah pandai berdiri diajarkan pula mengikutinya menunaikan solat. Lama-kelamaan, hasil pendidikan yang semacam ini akan melahirkan anak-anak yang taat mengerjakan ibadah apabila dewasa.

Di samping itu, para ibu hendaklah menekankan kepada anak-anak mereka betapa pentingnya akhlak yang mulia dalam kehidupan mereka. Tujuannya ialah agar apabila dewasa kelak, mereka (anak-anak) akan menjadi manusia yang berakhlak mulia. Sehubungan dengan ini juga, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. menyebut,

“Tiada suatu pemberian yang lebih baik dari seorang bapa (termasuk ibu) kepada anaknya selain adab yang baik (akhlak mulia). ” (Tarikhul Bukhari)

Sekiranya anak-anak sudah pandai membaca, ibu hendaklah mengajarkan mereka membaca Al Quran serta mengawasi mereka dari membaca bahan-bahan bacaan atau media massa yang menganjurkan kefahaman tentang kebendaan dan anti keagamaan.

Ibu yang solehah sudah tentu tidak akan sekali-kali redha jika anak-anaknya dihantar ke sekolah-sekolah pendakyah Kristian atau sekolah-sekolah yang menjalankan dasar pendidikan sekular. Sekolah-sekolah seumpama ini hanya akan mengajar dan menanamkan pemikiran-pemikiran ke atas anak-anak untuk memisahkan diri dengan cara hidup beragama seberapa mungkin. Bahkan amat dititikberatkan ialah untuk melahirkan individu yang jiwa dan pemikirannya berfaham dan bertuhankan kebendaan.

Sungguhpun tugas wanita Islam dalam lingkungan urusan rumahtangga, namun peranan mereka tidak kurang pentingnya dengan suami mereka di luar rumah. Apa yang perlu difahami ialah wanita Islam dibenarkan berperanan di luar rumah hanya dalam urusan sesama wanita dan keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh syarak.

PERANAN KAUM IBU ISLAM DALAM PEMBENTUKAN GENERASI ISLAM AKAN DATANG

Seorang wanita Islam di samping tugasnya sebagai isteri kepada suaminya, juga memainkan peranan yang penting kepada pendidikan anak-anaknya. Ia juga berperanan mengasuh, memelihara serta mendidik anak-anaknya agar menjadi insan yang berguna di masa akan datang.

Pernah diingatkan oleh beberapa sarjana ahli kaji masyarakat Muslim bahawa pembinaan keluarga Islam yang teratur adalah berdasar kepada empat prinsip. Empat prinsip tersebut ialah :

a) Kehidupan kekeluargaan merupakan buaian kepada masyarakat manusia yang akan melahirkan suatu rupa bentuk rumahtangga yang sebenar, sihat sejahtera kepada ibu bapa dan perkembangan anak-anak.
b) Kehidupan kekeluargaan juga merupakan pengawal kepada naluri perkelaminan manusia serta memimpinnya kepada saluran yang sihat.
c) Kehidupan kekeluargaan merupakan tempat untuk menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan seperti kasih sayang dan belas kasihan.
d) Kehidupan kekeluargaan juga sebagai tempat perlindungan dari segala macam kesusahan yang menimpa manusia.

Dalam pembentukkan keluarga Islam dengan harapan untuk melahirkan generasi Islam akan datang, para ibu bapa Islam hendaklah menyedari bahawa kehidupan dunia hari esok adalah bergantung kepada corak dan rup bentuk yang mereka lakukan terhadap anak-anak mereka hari ini.

Para ibu Islam perlu faham bahawa Islam telah memberikan penghormatan yang cukup tinggi terhadap para ibu yang sanggup bersusah payah mendidik, mengasuh serta memelihara anak-anaknya sehingga menjadi manusia yang berguna di masa akan datang. Kerana dengan berkat asuhan dan didikan yang diberikan oleh para ibu Islam terhadap anak-anaknya itu akan menjadikan anak-anaknya itu sebagai para mukmin dan mukminat di masa akan datang.

Hadis-hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. banyak menceritakan tentang ketinggian darjat para ibu Islam, iaitu para ibu Islam yang taat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dan kepada suaminya yang soleh. Ibu-ibu seperti inilah diharapkan akan dapat memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak yang berada di bawah jagaannya.

Sesungguhnya sejarah kemanusiaan telah membuktikan bahawa kemuliaan dan ketinggian seseorang itu adalah di bawah asuhan serta didikan para ibu mereka. Oleh kerana itu amat wajar sekali bagi anak-anak untuk menghormati, berbuat baik (ihsan) serta berkhidmat kepada ibu mereka.

Sehubungan dengan itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. bersabda di dalam sebuah hadisnya, “Syurga itu terletak di bawah telapak kaki para ibu. ” (Riwayat Imam Ahmad) 

Dari keterangan ini menunjukkan betapa tinggi dan betapa pentingnya peranan para ibu Islam dalam pembentukkan masyrakat Islam. Islam telah menjelaskan bahawa seorang ibu yang solehah, ialah ibuyang membesarkan, memlihara, mengasuh serta mendidik anak-anaknya dengan suatu rasa keghairahan dan harapan untuk menanam dan mempertahankan ajaran Islam. Begitu juga dengan penuh harapan agar anak-anaknya itu dewasa kelak akan menjadi para da’ei sebagai pelapis kepada perjuangan yang ada.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com