Tajuk: Aurat dan batas pergaulan

“Aurat” menurut bahasa ialah “keaiban”. Menurut pengertian syarak ialah” bahagian-bahagian tertentu pada tubuh badan manusia yang wajib ditutup dari pandangan.

BATAS-BATAS AURAT DALAM ISLAM
1. Aurat Ketika Bersendirian.
Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat; “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf(orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika bersendirian, kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka, seperti ketika qodho hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya”

Imam Maliki dan Imam Syafie berpendapat ; “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya, cuma makruh, kecuali ketika dharurat. Ketika dharurat diharuskan membukanya.

2. Batas-Batas Aurat Lelaki
Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi bahawa Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya:
“Seseorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, emikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada(tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian”.
1. Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat:”Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat dan lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan muhramnya, kecuali kepada isterinya. Selain isterinya diharam melihat aurat di antara pusat dan lututnya”.
Isteri boleh(harus) melihat aurat suaminya, kecuali kemaluannya dan demikian sebaliknya, kerana hokum suami isteri melihat kemaluan masing-masing adalah makruh.
2. Imam Maliki dan Imam Syafie berpendapat:”Aurat lelaki ada dua keadaan:
(1)Auratnya dengan sesame lelaki dan perempuan yang muhram dengannya. Ertinya sesama lelaki dan perempuan yang muhram dengannya ialah di antara pusat dan lutut sahaja.
(2)Auratnya dengan perempuan yang bukan muhramnya. Ertinya iaitu dengan perempuan bukan muhramnya ialah seluruh badannya adalah aurat bagi mereka.
3. Batas-Batas Aurat Wanita.
a)Batas Aurat Wanita Dengan Lelaki
Para ulama sepakat berpendapat bahawa aurat perempuan kepada lelaki bukan muhramnya ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ini berpandukan ayat Al-Quran surah An-Nur ayat 31, Al Azhab ayat 53 dan 59 serta riwayat beberapa buah hadis.

Firman ALLAH surah An-Nur ayat 31: Maksudnya; “Dan janganlah mereka(wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada”. 

Firman ALLAH surah Al-Azhab ayat 59:Maksudnya; “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak perempuan kamu serta kepada isteri orang mukmin sekalian, hendaklah mereka menghulurkan JILBAB mereka keseluruhan tubuh badan mereka, kerana dengan itu mereka mudah untuk dikenali(sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. 

Firman ALLAH surah Al-Azhab ayat 53, maksudnya; “.. Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka(isteri-isteri Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam ), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka…” 

Sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dalam Tafsir Ibnu Kasir, juz 3 halaman 284 disebut riwayat dari Ibnu Syahab dari Urwah dan dari Aishah, kata Aishah:“Moga-moga ALLAH mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia, iaitu tatkala ALLAH menurunkan ayat 31 surah An Nur, mereka terus mengoyak kain selendang mereka lalu menutup diri mereka dengannya. ”  

b)Golongan Muhram Dengan Wanita

Berdasarkan surah An Nur ayat 31, golongan yang dibolehkan melihat aurat wanita ialah ;
1. Suami
2. Bapa Sendiri
3. Bapa suami atau bapa mertua.
4. Anak lelaki
5. Anak lelaki suaminya iaitu anak tiri
6. Saudara lelaki iaitu adik atau abang kandung
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki(anak saudara).
8. Anak lelaki kepada saudara perempuan(anak saudara)
9. Wanita Islam. Iaitu yang berakhlak.
10. Hamba lelaki yang mereka miliki.
11, Pelayan lelaki(khadam)yang sudah tidak ada syahwat kepada wanita.
12. Kanak-kanak lelaki(yang bukan muhram) yang belum mengerti tentang aurat wanita(mumayyiz).
Sementara 5 golongan lain lagi disebut oleh hadis. Mereka ialah:
13. Anak lelaki susuan.
14. Bapa susuan.
15. Saudara susuan.
16. Bapa saudara susuan, datuk susuan hingga ke atas. Dan anak saudara susuan hingga ke bawah.
17. Menantu lelaki.

c)Batas Aurat Wanita Sesama Wanita dan Muhramnya.

Imam Hanafi dan Imam Syafie berpendapat; “Dalam keadaan tersebut (sesame wanita dan muhramnya), mereka diwajibkan menutup apa yang di antara pusat dan lututnya”.

Sementara Imam Maliki dan Imam Hambali pula berpendapat;“Bagi sesama perempuan hendaklah mereka menutup di antara pusat dan lutut dan dengan lelaki muhramnya hendaklah mereka menutup seluruh tubuh, kecuali anggota-anggota tepi seperti kepala dan tangan”.

d)Aurat Wanita Dengan Wanita Bukan Islam
Ketika mentafsir ayat 31 surah An Nur, bermaksud; “Janganlah para wanita Muslimah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada wanita-wanita Islam…”, Ibnu Abbas berkata “Wanita muslimah hanya boleh menampakkan perhiasan kepada wanita Islam dan dilarang kepada wanita bukan Islam. Tidak halal wanita-wanita Yahudi dan Nasrani melihat aurat wanita muslimah”. 

Tersebut dalam riwayat hadis soheh bahawa Saidina Umar r. a pernah mencegah wanita kafir memasuki bilik mandi bersama wanita-wanita Islam.

e)Dibolehkan Lelaki Bukan Muhram Melihat Aurat Wanita Dalam Beberapa Keadaan
(1)Ketika Hendak Meminang
Menurut dalam kitab fiqh, bahawa harus bagi lelaki ajnabi yang halal bernikah dengan seseorang wanita itu melihatnya ketika ia berazam untuk meminangnya. Kadar sempadan aurat yang boleh dilihatnya ialah muka dan kedua tapak tangan(dari pergelangan tangan hingga ke jari).

Bahkan ada sesetengah ulama berpendapat, hukum melihat untuk tujuan meminang adalah sunat pula, kerana bertujuan untuk menambat hati.
Pendapat dan hukum itu berdasarkan hadis, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya; “Apabila seseorang(lelaki) itu hendak meminang seseorang wanita, digalakkan ia melihatnya, sekiranya dengan melihatnya bertambah mendorongnya untuk berkahwin dengannya"-(Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim).

(2)Ketika Berjual-beli
Ketika berjual-beli, diharuskan melihat wajah wanita yang datang membeli barang, kerana sekiranya berlaku kecacatan ke atas barang tersebut, mudah untuk membuktikan bahawa barang yang hendak dipulangkan semula itu dibeli oleh wanita itu. Demikian dengan pinjam-meminjam dan lain-lain.

(3)Doktor Atau Tabib, Bertujuan Mengubat
Bagi doktor atau tukang ubat, bila ia hendak mengubati atau merawat pesakit wanitanya, harus baginya melihat atau menyentuh mana-mana bahagian yang perlu dirawat, dengan syarat wanita itu ditemani oleh suaminya atau lelaki muhramnya atau wanita yang amanah. (Apabila ketiadaan doktor wanita).

BENTUK DAN FESYEN PAKAIAN LELAKI
1. Serban Di Atas Songkok
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Abi Jaafar bin Muhammad bin Ali bin Rukanah daripada bapanya daripada datuknya. Kata Rukanah; “Aku telah mendengar Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya;Perbezaan di antara kita orang Islam dengan orang-orang musyrik ialah serban di atas songkok”.

Hadis ini menjelaskan bahawa serban orang mukmin mempunyai songkok. Berbeza dengan serban Benggali yang tidak mempunyai songkok atau kain penutup kepala mana-mana suku atau bangsa yang tanpa bersongkok.

2. Jubah Dan Gamis
Jubah dan Gamis, walaupun berasal daripada pakaian tradisi bangsa Arab, tetapi bila ia dipakai oleh Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam dan para sahabat, maka ia telah menjadi salah satu daripada pakaian sunnah, iaitu yang dipakai oleh Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam.

Abu Daud dan At Tirmizi meriwayatkan Hadis daripada Ummu Salamah katanya; “ Pakaian yang amat dikasihi(digemari) oleh Rasulullah ialahgamis(baju kurung panjang)”.

3. Seluar Dan Kain Sarung
Sahabat Abi Ummamah berkata, kami berkata, “Ya Rasulullah, bahawa ahli-ahli kitab(Yahudi dan Nasrani) memakai celana dan tiada memakai kain sarung. ”Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam pun bersabda, maksudnya; “Kamu pakailah celana dan kain sarung dan berbezalah daripada Ahli Kitab”. -(Riwayat Ahmad dari Abi Ammamah dalam Nilul Authar oleh As Syaukani).

Kebiasaan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam memakai kain sarung yang di dalamnya(bahagian dalam) dipakaikan lagi seluar. Ada kalanya Baginda Sallallahu ‘alaih wa sallam memakai seluar sahaja (tanpa kain sarung) bersama jubbah atau gamis ketika tidak ada kain sarung.

Terdapat keterangan Hadis yang diriwayatkan oleh An Nasa’I dari Ibnu Abbas r. a bahawa Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya; “Barangsiapa yang tidak mempunyai kain sarung, hendaklah ia memakai seluar”.

4. Warna Sunnah Dan Pakaian Yang Dilarang
Di antara warna-warna pakaian yang menjadi kegemaran Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam ialah putih dan hijau. Terdapat juga keterangan bahawa Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam pernah memakai pakaian berwarna hitam, merah hati, kelabu, dan warna bercampur-campur.

a)Warna Putih
Ibnu Abbas r. a. diriwayatka oleh Ibnu Majah dan Al Hakim sebagai berkata bahawa Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam pernah bersabda, maksudnya: “Pakailah pakaian berwarna putih kepada orang yang masih hidup dan kafanilah dengan kain berwarna putih kepada orang-orang yang telah mati”.

Imam Al Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin berkata : “Yang menakjubkan hati(amat disukai) oleh Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam ialah berwarna putih”.

b)Warna Hijau
Imam Bukhari, Abu Daud dan At Tarmizi meriwayatkan Hadis dari Al Baraa bin Azib r. a, katanya: “Pernah aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam memakai dua helai kain berwarna hijau buatan Yaman”.

Ibnu Hajjar dalam Tanbih Al Akhbar memetik kenyataan salah seorang Sahabat Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam berkata: “Pada hari raya kami disuruh memakai pakaian berwarna hijau kerana ia lebih utama dan dihukumkan sunat. Adapun warna hijau adalah afdhal daripada lain-lain warna sesudah putih”.

c)Warna Hitam
Muslim, Abu Daud dan An Nasa’I meriwayatkan Hadis daripada Amir bin Hurais r. a. yang berkata: “Aku pernah melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam berada (berkhutbah) di atas mimbar dan di atas kepalanya terdapat serban hitam yang dihulurkan (ekornya) di antara dua bahunya”.

Ibnu Ady meriwayatkan daripada Jabir r. a. yang berkata: “Aku pernah melihat Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam berserban hitam yang dipakainya pada hari raya”.

d)Warna Merah Hati
Abu Daud meriwayatkan hadis dari Hilal Bin Amir r. a, katanya: “ Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam itu bertubuh sedang dan saya pernah melihat baginda berpakaian hullah merah”. (Hullah ialah kain yang bercorak).

Al Baihaqi meriwayatkan hadis dari Jabir r. a, katanya: “ Pernah Rasulullah berpakaian yang bercorak merah pada dua hari raya dan pada hari jumaat”.

e)Warna Kelabu
At Tirmizi meriwayatkan Hadis daripada Ibnu r. a, yang berkata: “Pernah (tidak selalu) Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam berkhutbah di hadapan ramai sedang baginda memakai serban kelabu”.

Al Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas r. a, dia berkata : “Pernah Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam keluar dengan kepala yang dibalut sehelai kain yang berwarna kelabu”.

f)Warna yang Bercampur-campur.
Imam Bukhari meriwayatkan hadis daripada Anas r. a, beliau(Anas r. a. ) pernah melihat: “ Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam menutup kepalanya dengan kain biasa yang bercorak-corak warnanya”.
Dari Muhammad Basyar dari Abdul Rahman bin Mahdi dari Ubaidullah bin Iyad dari bapanya yang bersumberkan dari Abi Ramsah r. a, katanya: “ Aku melihat Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam memakai dua helai kain berwarna hijau bergaris-garis”-(Rujuk Sunan Abu Daud:Sunan At Tirmizi:dan Sunan An Nasaie)
Pakaian Yang Dilarang
Haram Pakai Sutera
Saidina Ali berkata r. a, berkata: “Aku telah melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam memegang sutera di tangan kanan dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda, maksudnya ‘Keduanya ini haram terhadap lelaki dari umatku’. ”-(Riwayat Abu Daud)
Abu Musa Al Ashaari r. a. berkata:Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya: “ Telah diharamkan memakai sutera dan emas bagi orang lelaki dari umatku dan dihalalkan bagi orang perempuan mereka. ”-(Riwayat At Tirmizi)
Boleh Pakai Sutera Kerana Gatal
Anas r. a. berkata : “Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam telah mengizinkan Az Zubir dan Abdul Rahman bin Auf memakai sutera kerana keduanya menderita sakit gatal-gatal”. -(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

HUKUM DAN PERSOALAN PERSOLEKAN MENURUT ISLAM
1. Hukum Wanita Memakai Bau-Bauan
Wajib:
Iaitu ketika suami ada di rumah, khususnya ketika hendak melayan suami di waktu malam, hendaklah mereka lebih dahulu bersolek dan memakai wangi-wangian.
Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik wanita(isteri) ialah jika kamu (suami) memandang kepadanya sentiasa menyenangkan hati kamu….. ”. -(An Nasa’ie dari Abu Hurairah).
Sunat:
1. Ketika berada di dalam rumah, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan suami.
2. Ketika hendak bersembahyang dan beribadah dalam rumah, bukan di masjid. Kalau untuk ke masjid, terdapat hadis melarang wanita wangi-wangian.
3. Ketika menyambut tetamu wanita, sunat berwangi-wangian, kerana kalau berkeadaan busuk boleh meimbulkan perasaan kurang senang dan menyakiti perasaan tetamu.
Sabda Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam, maksudnya: “Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita ialah yang cemerlang (jelas) warnanya dan tersembunyi baunya”. -(Riwayat At Tirmizi)
Makruh:
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Hal ini telah umum disepakati para ulama dan terdapat penjelasan di dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafi’ie dan Qaliyubi bahawa: “Makruh memakai bau-bauan ketika berpuasa”.

Haram: Iaitu ketika keluar rumah untuk ke majlis yang diluluskan syariat, di hadapan lelaki bukan mahram, tujuan memikat lelaki dan ketika ke masjid bersembahyang Jemaah.

Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya: “……seseorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian keluar melewati (melintasi) di hadapan orang ramai dalam suatu majlis (yang ada lelaki bukan mahram dengannya), maka wanita itu dikira sama(dosanya) dengan telah melakukan zina”-(Riwayat Imam Ahmad dan At Tirmizi).

Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, maksudnya: “Mana-mana wanita yang memakai bau-bauan, janganlah ia ke masjid bersembahyang Isya’. ”-(Riwayat Muslim dan Abu ‘Awwanah serta As Habus Sunan).

2. Hukum Wanita Memakai Rambut Palsu
Daripada pendapat-pendapat para ulama’, para fuqaha daripada empat mazhab memutuskan: “Hukum menyambung rambut bagi kaum wanita dengan rambut manusia, mahu pun yang disambung itu rambut mahram atau rambut suami atau rambut lelaki ajnabi atau rambut sesama wanita atau rambut sendiri(yang telah dipotong), maka hukumnya adalah HARAM. Kerana itu dilarang(diharamkan) memakai rambut atau sanggul palsu atau wig yang dipakai sebagai rambut asli sepertimana oleh orang hari ini. ”

3. Hukum Mencabut dan Mencukur Bulu Kening
Di antara persolekan zaman moden ini yang agak keterlaluan dilakukan oleh wanita ialah mencabut bulu kening sehingga menjadi nipis atau dihaluskan bentuknya. Islam memandang perbuatan tersebut sebagai suatu usaha mengubah kejadian ALLAH dan hukumnya HARAM.

Terdapat hadis menjelaskan bahawa: “Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam melaknat perempuan yang mencukur atau mencabut bulu alis atau yang diminta dicukur atau dicabutnya”. -(Riwayat Abu Daud, dengan sanad Hassan-Dalam Fathul Bari).

4. Hukum Menindik Telinga
Terdapat dalam kitab Ri’aayah, kalangan ulama Hambali berpendapat: “Harus mencucuk (menindik) telinga anak perempuan untuk tujuan dibubuh subang. Tapi makruh bagi anak lelaki. ”

Ulama mazhab Hanafi pula juga menghukum harus. Qadhi Khan yang dipetik dalam Syarah Minhaj berfatwa: “Tidak mengapa mencucuk telinga anak perempuan untuk tujuan dibubuh subang. Kerana perbuatan tersebut pernah dilakukan di zaman jahiliah. Tapi setelah Islam perbuatan itu tidak dicegah pula oleh Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam. ”

ULASAN
Berdasarkan daripada buku “ Batas-Batas Aurat Dan Pergaulan Serta Hukum Persolekan Dalam Islam”yang diterbitkan oleh Pustaka Azhar, banyakmaklumat-maklumat saya perolehi. Buku ini banyak menerangkan tentang banyak persoalan yang belum diketahui semua orang. Selain itu, buku ini juga memberikan bukti-bukti yang kukuh kerana mengeluarkan hadis-hadis yang sahih dan hasil pendapat para ulama. Saya berharap semua umat Islam di seluruh dunia dapat menjalankan sunnah rasulullah dengan baik, dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com