Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Pendidikan Islam
Disediakan Oleh:
Mohd Hilmi Danial Bin Helmy Sham
Khalifah Umar al-Khattab berjaya mencipta sejarah keemasan negara Islam dan mendapat penghormatan serta sanjungan sepanjang zaman. Beliau manusia berbakat dan pintar serta lambang kejayaan bangsa Arab dan umat Islam. Dalam masa 10 tahun 6 bulan beliau memerintah, seluruh empayar Rom dan Parsi berada di bawah kuasa pemerintahan Islam. Selain sebagai penakluk, Khalifah Umar al-Khattab berjaya menyusun pentadbiran yang berkesan dan teratur. Dia pengasas sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah dalam negara serta berjaya membentuk sebuah negara Islam yang baru. Bagi bidang keselamatan dalam negeri, beliau menubuhkan pasukan polis. Bagi mengukuhkan sistem pertahanan, beliau membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut. Pahlawan yang berjaya menundukkan Parsi dan Rom ini turut mengasaskan bandar-bandar baru bagi mengembangkan kebudayaan Islam. Selain itu beliau juga memajukan bidang pertanian dan mengasakan sistem pelajaran Islam. Beliau juga mahir dalam ilmu fikah dan seorang pemidato yang hebat. Beliau seorang ahli gusti dan penunggang kuda yang cekap. Walaupun berada di tampak kekuasaan, pencetus zaman keemasan negara Islam ini hidup sederhana mencontohi Rasulullah. Umar al-Khattab dilahirkan 42 tahun sebelum hijrah. Usianya 12 tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Pada mulanya beliau antara orang Quraisy yang paling keras menentang Islam serta memusuhi Rasulullah SAW. Tetapi ketika berusia 35 tahun beliau mendapat hidayah lalu terus memeluk Islam. Nama sebenar dan jurai keturunan beliau ialah Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd al-Uzza bin Ryah bin Abdullah bin Qurti bin Rizah bin Adiyyi bin Kaab. Nama ibunya ialah Hantamah binti Hisyam bin al-Mughirah bin Adbullah bin Umar bin Makhzum. Abu Jahal adalah bapa saudara kepada Umar al-Khattab. Semasa jahiliah mereka sama-sama memusuhi Rasulullah SAW. Tetapi sesudah memeluk Islam, Umar al-Khattab memusuhi Abu Jahal. Umar al-Khattab daripada keluarga Bani Adi. Sebelum memeluk Islam beliau menjadi duta bagi kaum Quraisy. Sekiranya berlaku peperangan, beliau dihantar sebagai duta ataupun perunding bagi pihak kaum Quraisy.
Semasa jahiliah juga Umar al-Khattab terkenal
sebagai seorang yang keras hati dan kejam sehingga sanggup menanam anak
perempuannya hidup-hidup. Beliau bukan sahaja pernah menyakiti Rasulullah SAW
malah suatu ketika berniat hendak membunuhnya. Tetapi selepas memeluk Islam,
hatinya yang keras itu digunakannya bagi membela Rasulullah SAW dan Islam.
Sifat berani dan kegagahannya digunakan bagi menentang mereka yang memusuhi
baginda sehingga mendapat gelaran al-Faruq yang bermaksud orang yang berani
menyatakan kebenaran. Beliau antara sahabat yang dijamin masuk syurga oleh
Rasulullah SAW. Apabila Saidina Abu Bakar as-Siddiq sakit, beliau mencadangkan
Umar al-Khattab sebagai pengantinya selepas mendapat persetujuan daripada
sahabat-sahabatnya. Selepas dilantik menjadi khalifah, beliau meneruskan usaha
yang dilakukan Abu Bakar as-Siddiq bagi membebaskan umat Islam daripada ancaman
kuasa Rom dan Parsi. Beliau berjaya membebaskan semenanjung tanah Arab daripada
kekuasaan Rom dan Parsi. Syria, Iraq, Jordon dan Mesir berjaya ditaklukinya.
Kemuncak kejayaannya ialah apabila berjaya menakluk Jerusalem daripada
kekuasaan Rom.
Semenjak kecil Umar al-Khattab dilatih
menunggang kuda dan bermain senjata. Dia juga sering disuruh menjalani latihan
lasak supaya menjadi kuat dan berani. Umar al-Khattab membesar sebagai seorang
pahlawan. Al-Khattab menjemput mereka yang berpengalaman supaya memberikan
tunjuk ajar kepada anaknya mengenai ilmu peperangan. Selain itu Umar al-Khattab
juga dilatih menjadi pemidato yang hebat kerana orang-orang Bani Adi terkenal
sebagai pemidato yang hebat. Tindakan Al-Khattab selalu bertindak kasar kepada
Umar ialah kerana tidak ada orang-orang Bani Adi yang mendapat tempat di
kalangan kaum Quraisy disebabkan tidak ada yang hebat dan berkebolehan. Selain
itu bani-bani yang lain mendapat tugas seperti Bani Hasyim diberikan tugas
menguruskan air minuman bagi para jemaah haji, urusan pentadbiran dan kehakiman
pula diberikan kepada Bani Umaiyah manakala urusan kebajikan dan kemasyarakatan
diberikan kepada kaum Bani Naufal. Kaum Bani Abd al-Dar menguruskan Kaabah,
kaum Bani Tamim menguruskan bayaran denda sementara Bani Makhzum ditugaskan
menguruskan khemah dan senjata-senjata peperangan dan bagi urusan mengutip
harta bagi tuhan-tuhan pula diuruskan oleh kaum Bani Shahmin. Umar juga
diberikan tugas oleh Al-Khattab untuk menggembala unta dan kambing kerana bagi
Al-Khattab tugas ini dapat menjadikan Umar lebih berani, bertanggungjawab dan
kuat untuk menjadi seorang pahlawan.
Waktu yang paling menggembirakan hati Umar
al-Khattab ialah sebelum senja kerana dia dapat bermain dengan rakan-rakan yang
sebaya dengannya. Mereka bermain senjata dan menunggang kuda dan apabila mereka
mengadakan perlumbaan menunggang kuda, Umar al-Khattab pasti muncul sebagai
pemenang. Begitu juga apabila bermain pedang, beliau pasti muncul sebagai
juara. Pada sebelah malam Umar al-Khattab dan rakan-rakannya sering berkumpul
di suatu kawasan lapang yang terletak tidak jauh dari Kaabah. Di situ mereka menjalani
latihan bergusti, satu-satunya sukan yang paling digemari oleh Umar al-Khattab.
Dia sering muncul sebagai pemenang. Pada suatu petang Umar la-Khattab dan
rakan-rakannya pergi ke pasar Ukhaz bagi menyaksikan pertandingan gusti. Acara
ini diadakan setiap tahun bagi memilih jaguh gusti. Mereka yang muncul sebagai
pemenang menerima hadiah yang lumayan dan namanya turut disanjung. Umar
al-Khattab menyertai acara gusti ini dan menjadi juara serta berjaya menewaskan
Unaiyah iaitu jaguh gusti selama 5 tahun berturut-turut. Selepas menjadi juara
Umar al-Khattab pernah bertarung dengan sahabatnya iaitu Khalid al-Walid kerana
sikap Umar al-Khattab. Dalam pertarungan ini Khalid al-Walid berjaya
mengalahkan Umar al-Khattab tetapi tidak menerima gelaran jaguh gusti. Umar
al-Khattab mengucapkan terima kasih kepada Khalid. Dia berjanji mengubah
sikapnya. Mereka berdua berbaik semula. Umar al-Khattab berkahwin dengan Zainab
binti Ma’un dan mendapat beberapa orang anak. Kemudian dia berkahwin pula
dengan Malkiah binti Jarwal. Umar berasa begitu bahagia dengan kehidupannya.
Pada suatu pagi, di hadapan Kaabah ramai pembesar Quraisy berkumpul. Antaranya
Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian, Umar al-Khattab, Abu Ubaidah al-Jarrah, dan
ramai lagi. Mereka sedang berbincang mengenai Muhammad yang membawa ajaran
agama baru dan melarang membunuh anak-anak perempuan. Disebabkan Abu Lahab dan
Abu Jahal, Umar al-Khattab juga pernah membunuh anak perempuannya.
Labinah, hamba kepada Umar al-Khattab juga
memeluk Islam. Disebabkan berasa malu dan tercabar, Umar al-Khattab dengan
perasaan marah telah memukul Labinah sehingga pengsan tetapi Labinah tetap
tidak mengubah pendiriannya. Selepas itu Umar al-Khattab bersetuju dengan
cadangan isterinya dengan menyeksa Labinah dengan mengikat tangan dan kaki
Labinah dan dijemurkan di bawah terik matahari. Kemudian Umar al-Khattab
menjual Labinah kepada Abu Bakar dan dibebaskannya. Fatimah, adik Umar
al-Khattab juga telah memeluk Islam dan diikuti oleh suaminya Said bin Zaid dan
sahabatnya Naim bin Abdullah. Amir bin Rabiah yang baru memeluk Islam berjalan
menuju ke rumahnya di perkampungan Bani Adi. Di pertengahan jalan dia bertemu
dengan Khabbab. Selepas itu, Khabbab menuju ke rumah Fatimah dan Amir pula ke
rumahnya. Kemudiannya Amir bin Rabiah menyuruh isterinya, Laila bersiap kerana
mereka mahu berhijrah ke Habsyah pada hari itu juga kerana mendapat keizinan
daripada Rasulullah SAW. Selepas menyediakan semua bekalan dan keperluan,
kedua-duanya meninggalkan kediaman mereka. Tetapi apabila sampai di bukit
al-Aqir, mereka terserempak dengan Umar al-Khattab. Amir segera bersembunyi
tetapi isterinya tidak sempat berbuat demikian. Umar al-Khattab menanyakan
soalan kepada Laila tetapi dia tidak menjawab kerana berasa takut. Akhirnya
Amir dan Laila memberitahu bahawa mereka hendak berhijrah ke Habsyah. Umar
al-Khattab merelakan perjalanan mereka. Amir dan isterinya segera meninggalkan
tempat itu. Umar al-Khattab pula menuju ke Masjidil Haram kerana di sana
berkumpul ramai pembesar Quraisy. Beliau diberi tanggungjawab untuk membunuh
Rasulullah SAW. Umar al-Khattab segera pulang ke rumah lalu memakai pakaian
perang dan menyandang sebilah pedang.
Di pertengahan jalan, beliau berjumpa dengan
Naim bin Abdullah dan disitulah beliau mendapat tahu bahawa adiknya, Fatimah
telah memeluk Islam. Dengan perasaan marah Umar al-Khattab pergi ke rumah
adiknya dan ketika itu Fatimah dan Said sedang mendengar Khabbab membaca
ayat-ayat suci al-Quran. Umar al-Khattab berasa sangat marah lalu memukul Said.
Melihat suaminya dibelasah, Fatimah datang membantu tetapi ditampar oleh Umar
al-Khattab sehingga mulutnya berdarah. Selepas itu, Fatimah bangun kerana
hendak menyimpan lembaran yang bertulis ayat-ayat suci al-Quran. Tetapi Umar
al-Khattab menahannya sambil meminta kebenaran mahu membacanya. Umar al-Khattab
berasa begitu menyukainya. Kemudian beliau meminta supaya Khabbab menemaninya
berjumpa dengan Rasuluulah SAW. Akhirnya Umar al-Khattab memeluk Islam di
hadapan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bertakbir penuh kesyukuran apabila mendengar
ucapan Umar al-Khattab itu.
Selepas memeluk Islam, Umar al-Khattab berasa
tidak tenang. Dadanya berdebar-debar dan jiwanya kacau. Dia terbayang wajah Abu
Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian dan ramai lagi pemimpin Quraisy yang memusuhi Nabi
Muhammad SAW. Beliau juga terpaksa bercerai dengan kedua-dua isterinya iaitu
Mulaikah dan Quraibah kerana mereka tidak mahu menjadi pengikut Muhammad. Namun
beliau tidak berasa kesal malah hidupnya lebih bahagia selepas menganut agama
Islam. Tidak lama kemudian Umar al-Khattab bertemu jodoh dengan Ummi Hakim
binti Haris. Dia merasakan hidupnya lebih bahagia. Seluruh hidupnya kini
digunakan bagi membela Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
Semakin lama Umar al-Khattab semakin berani
dan lantang bersuara menyatakan keislamannya kepada orang ramai. Ini menjadikan
pengikut Muhammad yang lain berasa lebih kuat dan selamat. Tambahan pula singa
padang pasir itu selalu membela mereka. Semenjak itu orang-orang Islam bebas
beribadat di dalam Masjidil Haram. Tidak ada siapa yang berani menyakiti
mereka. Rasulullah SAW memberikan gelaran al-Faruq kepada Umar al-Khattab. Pada
suatu hari, datang Jaafar bin Abu Talib menghadap Rasulullah SAW. Jaafar
mewakili beberapa orang Islam lagi yang hendak berhijrah ke Habsyah dan ingin
meminta kebenaran daripada Rasulullah SAW. Menurut Jaafar lagi, rombongan itu
terdiri daripada 83 orang lelaki dan 18 orang perempuan. Mereka ingin
meninggalkan kota Mekah kerana tidak tahan dengan penyeksaan yang dilakukan
oleh kaum Quraisy kepada mereka. Rasulullah SAW membenarkan mereka berhijrah
demi menjaga keimanan dan keselamatan diri mereka. Pada suatu hari datang satu
rombongan dari Madinah ke kota Mekah. Dengan segera Umar al-Khattab bertemu
mereka sambil menyeru memeluk Islam dan memberitahu tentang kebaikan Islam.
Kata-kata yang disampaikan oleh beliau telah menarik perhatian salah seorang
penduduk Madinah yang bernama Ka’ab bin Ubadah dan dia ingin bertemu dengan
Rasulullah SAW. Pertemuan itu diadakan di Mina secara sembunyi-sembunyi.
Akhirnya penduduk Madinah itu menyatakan keislaman mereka. Selepas itu Ka’ab
bin Ubadah pulang ke Madinah dan menceritakan pertemuannya dengan Nabi Muhammad
SAW. Ramai yang tertarik dan tidak lama kemudian datang satu lagi rombongan ke
Mekah. Mereka memeluk Islam dan mengajak orang-orang Islam berhijrah ke
Madinah. Selepas itu Umar al-Khattab juga turut berhijrah ke Madinah diikuti
pula oleh Nabi Muhammad SAW beserta Abu Bakar as-Siddiq.
Di Madinah Rasulullah SAW membina masjid
Madinah dan Bilal bin Rabah diberikan tugas untuk melaungkan azan setiap kali
masuk waktu sembahyang. Rasulullah SAW juga mempersaudarakan orang-orang
Muhajirin dengan Ansar bagi mewujudkan perpaduan. Selain itu baginda juga
mencadangkan untuk menubuhkan pasukan tentera bagi mengawal keselamatan penduduk
Madinah. Pada suatu hari Abu Bakar as-Siddiq membacakan surah al-Haj yang
membenarkan untuk orang Islam berperang. Surah yang disampaikan oleh Abu Bakar
as-Siddiq telah mengembirakan Umar al-Khattab dan dengan segera beliau pulang
ke rumah dan menyiapkan peralatan perangnya. Dalam perang badar berlaku
pertempuran yang hebat antara pasukan yang dipimpin Rasulullah SAW dan disertai
juga oleh Umar al-Khattab dengan pasukan yang dipimpin oleh Abu Jahal.
Peperangan itu dimenangi oleh tentera Islam. Seramai 70 tentera Quraisy
terbunuh dan 70 lagi menjadi tawanan perang. Manakala di pihak muslimin hanya
14 orang sahaja yang syahid. Selepas pulang ke Madinah Rasulullah SAW
membebaskas kesemua tawanan dengan syarat membayar tebusan mengikut kemampuan
keluarga masing-masing ataupun mengajar sepuluh kanak-kanak membaca dan menulis
sebelum mereka dapat dibebaskan. Pada bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah, Nabi
Muhammad SAW bersama-sama 1500 para pengikutnya keluar dari kota Madinah menuju
ke Mekah dengan tujuan mengerjakan umrah. Pada mulanya ditentang oleh ketua
kaum Quraisy, Abu Sufian tetapi setelah mengingat kembali kepada kekalahan
dalam pertempuran perang badar dan perang uhud Abu Sufian menukar fikiran.
Kemudian berlakulah Perjanjian Hudaibiah antara kaum Quraisy dengan Rasulullah
SAW.
Suatu hari ketika Usamah bin Zaid membawa
pasukan tenteranya selepas dilantik oleh Rasulullah SAW untuk memimpin tentera
dari Madinah menuju ke Syam, tiba-tiba mendapat berita bahawa Rasulullah SAW
jatuh sakit sehingga tidak dapat datang ke masjid bagi mengerjakan sembahyang
berjemaah. Selepas itu tersebar berita mengatakan Rasulullah SAW sudah wafat
dan berita itu mengejutkan Umar al-Khattab. Tambahan pula ada yang mula
mempertikai kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kemudian berlaku pergaduhan bagi
memilih pemimpin yang baru antara kaum Muhajirin dan Ansar. Akhirnya Abu Bakar
as-Siddiq dilantik menjadi pemimpin dan khalifah yang pertama selepas
dicalonkan oleh Umar al-Khattab. Dalam suasana sedih akibat kehilangan
Rasulullah SAW, tersebar khabar angin ramai yang murtad, mengaku menjadi nabi
dan enggan membayar zakat. Umar al-Khattab mendapat tugas bagi menyiasat
perkara itu. Umar al-Khattab juga mencadangkan kepada Abu Bakar as-Siddiq
supaya mengumpulkan kesemua ayat-ayat al-Quran bagi menjadi sebuah kitab dan
Abu Bakar as-Siddiq bersetuju. Tugas ini diberikan kepada Zaid bin Thabit.
Selepas memerintah selama dua tahun tiga bulan, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq
jatuh sakit. Sakitnya semakin hari semakin tenat sehingga tidak mampu pergi ke
masjid. Dia melantik Umar al-Khattab sebagai penggantinya.
Khalifah Umar al-Khattab menulis surat kepada
tentera Islam yang sedang bertempur dengan tentera Rom di Yarmuk. Dalam
suratnya itu beliau melucutkan jawatan Khalid al-Walid sebagai ketua panglima Islam
dan melantik Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai penggantinya. Tindakan Umar
al-Khattab menukar jawatan ketua kepada Abu Ubaidah al-Jarrah adalah kerana
kesanggupannya untuk berjihad selain ingin menaikkan semangat orang ramai
terutama daripada kalangan Bani Saqif. Ramai yang sanggup menyertai panggilan
jihad itu. Walaupun Khalifah Umar al-Khattab tahu tindakannya itu boleh
menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai namun tindakan ini perlu dilakukan
supaya orang ramai tidak terlalu taksub dengan menyangka kemenangan itu
disebabkan adanya Khalid al-Walid. Khalifah Umar al-Khattab menghantar 4000
orang tentera ke Iraq yang dipimpin oleh Jarir bin Abdullah al-Bajalli. Mereka
diperintahkan bagi membantu Panglima al-Muthanna menghadapi tentera Parsi.
Berita kemengangan tentera Islam telah sampai ke pengetahuan Khalifah Umar
al-Khattab. Beliau dan penduduk Madinah menyambutnya dengan perasaan gembira.
Tiba-tiba Khalifah Umar al-Khattab mendapat berita bahawa semakin ramai tentera
Islam yang syahid di medan perang. Panglima Abu Ubaid al-Saqafi telah syahid
dan Panglima al-Muthanna luka parah serta Raja Parsi meningkatkan jumlah
tentera Parsi kepada lebih 100,000. Berita ini merisaukan beliau serta penduduk
Madinah. Kemudian Khalifah Umar al-Khattab melantik Sa’ad bin Abi Waqas untuk
memimpin tentera yang akan dihantar ke Iraq. Akhirnya tentera Islam berjaya
menumbangkan kerajaan Parsi dan menawan Istana Parsi.
Kejayaan demi kejayaan tentera Islam peroleh
dalam peperangan dengan tentera Parsi dibawah perintah Khalifah Umar al-Khattab
telah membanggakan beliau dan seluruh umat Islam. Selepas Nabi Muhammad SAW
wafat, Rom dan Parsi menyangka umat Islam akan berpecah-belah dan lemah serta
selepas Khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia, musuh-musuh Islam
berharap perebutan kuasa berlaku di kalangan umat Islam. Tetapi ternyata
dibawah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, umat Islam hidup bersatu-padu.
Khalifah Umar al-Khattab menghantar tentera
tambahan ke Parsi seramai 25,000 orang bagi menguatkan lagi tentera Islam di
sana. Beliau melantik Sariyah bin Zanim sebagai pemimpin. Semasa pasukan ini
berangkat menuju ke Parsi, mereka akan bergabung dengan tentera yang dipimpin
Panglima al-Qa’qa’ di Nahawan dan jumlah mereka akan mencapai lebih 50,000
orang. Tentera Islam menetap di Kufah dan Basrah atas pilihan Khalifah Umar
al-Khattab iaitu kawasan yang ditakluk dari kerajaan Parsi kerana tanah di situ
subur, pemangangan indah dan udaranya bersih serta sangat sesuai dibangunkan
kota tempat kediaman dan pangkalan tentera. Kemudian Khalifah Umar al-Khattab
melantik Sa’ad bin Abi Waqas menjadi gabenor di Kufah dan Basrah. Kota Damsyik
juga telah jatuh ke pemerintahan tentera Islam. Raja Jabalah juga telah memeluk
Islam. Kemudian tentera Islam berjaya menawan Baitul Muqaddis.
Pada 23 Zulhijjah tahun 23 Hijrah genaplah
pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab selama 10 tahun 6 bulan. Selama
pemerintahannya rakyat berasa selamat kerana kerajaan Islam semakin lama
semakin kuat. Selain kekuatan tentera Islam, Khalifah Umar al-Khattab juga
menumpukan kepada pembanggunan negara serta memajukan kehidupan rakyatnya.
Banyak pembaharuan yang telah beliau laksanakan. Undang-undang syariah
dilakukan bagi menjaga rakyat, pasukan polis ditubuhkan dan markas tentera
dibina bagi memperkuatkan pertahanan umat Islam. Khalifah Umar al-Khattab
berjaya menubuhkan negara Islam moden. Suatu hari seperti hari-hari biasa,
sebelum azan subuh dilaungkan, Khalifah Umar al-Khattab sudah berada di dalam
Masjid Nabi bagi mengerjakan sembahyang subuh secara berjemaah. Selepas azan
subuh dilaungkan para jemaah bersedia mengerjakan sembahyang subuh dan ketika
Khalifah Umar al-Khattab mengangkat takbiratul ihram dengan pantas Abu Lukluah,
seorang bekas putera Yezdager tiga yang telah memeluk Islam, mengeluarkan pisau
dari dalam jubahnya lalu menikam perut Khalifah Umar al-Khattab. Kemudian Abu
Lukluah telah dibunuh oleh Hurmuzan dan Jafina, iaitu orang yang meniupkan
kembali perasaan dendam Abu Lukluah kepada Khalifah Umar al-Khattab.
Keadaan beliau semakin parah. Seorang tabib
dipanggil bagi mengubatinya tetapi dia tidak mampu untuk membuat apa-apa.
Apabila Khalifah Umar al-Khattab meminum susu, minuman itu keluar dari bekas
luka di perutnya. Maka tahulah bahawa Khalifah Umar al-Khattab tidak dapat
diselamatkan lagi. Beliau juga meminta untuk disemadikan berhampiran dengan
makam Rasulullah SAW dan Aisyah juga mengizinkannya. Khalifah Umar al-Khattab
melantik 10 orang ahli Syura yang diberi tugas bagi memilih calon bagi
menggantikan beliau. Ahli Syura itu dipengerusikan oleh Abdullah bin Umar.
Uthman bin Affan dilantik menjadi pengganti. Sakit beliau bertambah tenat.
Akhirnya pada pagi Ahad 27 Zulhijjah tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar al-Khattab
menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Bibliografi
Abdul Latip Talib, (2010). Novel
Sejarah Islam Umar al-Khattab Reformis Dunia Islam. Selangor: PTS LITERA UTAMA
SDN. BHD.
------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com