Tajuk: Taubat dan pegampunan dosa

Menurut Sahal Bin Abdullah At Tustar, taubat adalah penggantian sikap atau amalan yang tecela dengan sikap atau amalan yang terpuji. Tetapi perkara ini tidak akan terjadi dengan sempurna kecuali melalui pengasingan diri, sikap diam serta makanan yang halal. Taubat mempunyai makna yang sangat luas. Secara asasnya, taubat adalah di mana seseorang individu itu mengaku dan menyesal atas perbuatan buruk yang pernah dilakukan dan menetapkan damalm hatinya untuk tidak melakukan dosa dan juga dosa-dosa lain.

Seseorang yang melakukan dosa yang merupakan tindakan memalingkan diri daripada Allah Subhanahu wa ta’ala dan mengikut kesukaan syaitan haruslah segera kembali ke jalan Allah Subhanahu wa ta’ala degan bertaubat. Taubat wajib diaksanakan dengan segera. Hal ini kerana, dosa-dosa seperti kemaksiatan itu akan merosakkan sebahagian daripada iman. Sebagai contoh, pengetahuan tentang bahaya zina akan menjadi pendorong kepada seseorang untuk meninggalkannya dan bertaubat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . jika seseorang itu tidak meninggalkannya dan bertaubat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala walaupun setelah mengetahui tentang bahayanya, maka seseorang itu telah kehilangan sebahagian daripada imannya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “tidaklah berzina seseorang sedang dia di dalam keadaan beriman saat melakukannya”. Orang yang melakukan maksiat adalah orang yang kurang iman. Iman mempunyai lebih daripada 70 bab, yang tertinggi adalah kesaksian bahawa tiada tuhan selain Allah, sedangkan serendah-rendahnya ialah menyingkirkan gangguan dari jalan yang dilalui orang.

Kewajipan bertaubat berlaku untuk semua orang dalam segala keadaan. Setiap manusia tidak boleh terlepas dari perbuatan maksiat. Bahkan Nabi pun tidak boleh melepaskan diri darinya, sebagaimana diterangkan dalam Al-Quran dan sejumlah hadis yang memuatkan cerita tentang kesalahan-kesalahan yang pernah mereka lakukan. Jika seseorang boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara kemaksiatan melalui anggota tubuhnya, tentu dia tidak boleh membebaskan diri dari niatnya untuk melakukan dosa-dosa tersebut di dalam hati. Seseorang haruslah segera bertaubat apabila telah melakukan dosa sama ada kepada Allah, atau sesame manusia untuk membersihkan hati dari segala kekotoran. Taubat haruslah disegerakan. Jika tidak, kotoran di hati akan menumpuk, maka ia akan mengeras dan menutup hati kita seperti kotoran yang terdapat di permukaan cermin. Apabila ia telah kotor dan dibiarkan dalam tempoh waktu yang lama tanpa dbersihkan, ia akan menjadi karat dan merosakkan cermin tersebut. Begitulah juga hati manusia, jikan kita melaukan dosa, dan tidak segera bertaubat, maka hati kita akan terus tertutup untuk bertaubat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala .

Sesungguhnya, taubat itu perlu untuk membersihkan hati dan jiwa yang kotor akibat dosa dan kemungkaran yang dilakukan. Taubat seseorang yang memenuhi syarat pasti akan diterima oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda ; sungguh Allah lebih gembira terhadap taubat salah seorang kamu.. ” baginda bersabda pula; sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya lebar-lebar untuk menerima taubat dari pelaku kejahatan pada waktu malam sehingga siang, dan kepada pelaku kejahatan pada waktu siang hari sampai malam, sehingga matahari terbit dari barat.

Faktor-faktor penyebab berbagai macam dosa tersimpul kepada empat sifat iaitu sifat-sifat ketuhanan( rububiyah ), sifat-sifat syaitan (syaitaniyah), sifat-sifat binatang ternak ( bahimiyah ) serta sifat-sifat binatang buas ( sabu’iyah). Sifat rububiyah yang terdiri daripada sifat sombong, bangga, pemaksa, suka pujian, sanjungan, gila kehormatan, kekayaan, cinta status quo serta mendambakan keutamaan atas emua golongan merupakan penyebab bagi kebanyakan perbuatan maksiat. Selain itu, sifat syaithaniyah yang darinya bercabang sifat dengki, kezaliman, muslihat, tipu daya, merupakan anjuran kepada kerosakan dan kemungkaran. Tambahan kepada sifat syaithaniyah ialah kecurangan, kemunafikan dan ajaran kepada bidaah dan kesesatan. Sifat yang seterusnya ialah bahimiyah yang darinya bercabang sifat tamak, rakus, dan bercita-cita dalam memenuhi nafsu perut dan biologi, zina, mencuri, memakan harta anak yatim serta pengumpulan harta untuk melayani syahwat. Keempat, iaitu sifat subu’iyah iaitu terdiri daripada sifat marah, dendam, agresif kepada orang lain dengan memukul, mencaci maki, membunuh, serta menghambur-hamburkan kekayaan. Sifat-sifat ini tumbuh secara perlahan dalam diri seseorang yang menyebabkan berlakunya dosa.

Taubat perlulah dilaksanakan apabila seseorang melakukan dosa. Dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa hamba terhadap Tuhannya, dan dosa-dosa hamba yang berkaitan dengan hak sesame hamba dosa-dosa hamba terhadap tuhannya ialah seperti perbuatan meninggalkan solat, puasa, serta kewajipan khusus baginya. Dosa yang berkaitan dengan hak sesame manusia pula ialah tidak membayar zakat, melakukan pembunuhan merampas harta orang lain dan mecemar kehormatan seseorang. Dosa-dosa yang berhubung sesame hamba ini urusannya lebih susah berbanding dosa manusia dengan Allah. Hal inni kerana, Allah sentiasa memberi pengampunan kepada hambanya yang melakukan dosa dan memohon keampunan kepadanya dengan bertaubat kepadanya. Manakala, dosa sesame manusia memerlukan kemaafan, dan barulah taubatnya diterima. Tetapi, seseorang itu, belum tentu mendapat kemaafan tersebut.

Dosa juga terbahagi kepada dosa besar dan dosa kecil. Antara perbuatan yang menyebabkan dosa besar ialah zina, mencuri, memakan harta anak yatim, serta meminum minuman keras. Selain itu, perbuatan memakan riba serta mengamalkan sihir juga sebahagian daripada perbuatan yang berdosa besar. Jika Perkara- perkara yang merupakan dosa besar dilakukan, seseorang itu haruslah segera bertaubat untuk meminta keampunan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala . Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan dosa-dosa kecil menjadi besar. Dosa-dosa kecil apabila dilakukan secara berlanjutan ia akan menjadi besar. Oleh kerana itu dikatakan, tidak ada dosa kecil bersama pengulangan dan tidak ada dosa besar bersama dengan istighfar. Di antara faktor yang menjadikan dosa kecil menjadi besar adalah dengan menganggap dosa sebagai perkara remeh. Setiap kali suatu dosa sianggap kecil oleh hamba, nescaya akan menjadi besar di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala . Begitu sebaliknya, setiap kali dosa dianggap kecil oleh hamba, nescaya akan menjadi besar di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala . Anggapan dosa itu besar timbul kerana keenganan hati dan kebencian kepadanya, manakala anggapan kecil lahir dari sikap rasa terbiasa dengannya.

Faktor yang sterusnya yang menyebabkan dosa kecil menjadi besar adalah rasa senang terhadap dosa kecil, gembira dan bangga terhadapnya dan menganggap melakukannya sebagai nikmat, sedangkan pelaku dosa kecil tersebut lupa bahawa dosa itu adalah penyebab penderitaan. Setiap kali keseronokan melakukan dosa kecil menguasai diri seorang hamba, nescaya jadi besarlah dosa tersebut dan besar pula pengaruhnya dan menyebabkan hati menjadi hitam. Bahkan ada diantara pelaku dosa yang berasa bangga dan memuji-muji dosanya kerana melakukannya. Faktor yang seterusnya ialah pelaku enunjuk-nunjuk dosa. Seseorang mempamerkan dosa dengan cara menyebut-nyebutnya setelah melakukannya, atau dia melakukannya di hadapan orang lain. Hal ini bererti membuka aib sendiri, dan juga boleh menggugat keinginan buruk pada orang lain terhadap perbuatan yang didengar atau dipertonton. Jadi, kedua-dua perbuatan menyebabkan dosa menjadi besar. Di dalam riwayat disebutkan : “ setiap orang dapat dimaafkan kesalahannya, kecuali orang yang suka (pamer) menunjuk, iaitu orang yang melalui malamnya dengan melakukan perbuatan dosa yang telah ditutupi oleh Allah, iaitu ketika mamasuki pagi tiba-tiba dia membuka tutupan Allah tersebut dengan melakukan dosanya. Hal demikiaan kerana, di antara sifat-sifat Allah dan kenikmatan-Nya adalah bahawa dia menampakkan keindahan dan menutupi keburukan. Kerana itu, tutupannya tidak boleh dirosakkan. Tindakan menampakkan kejahatan itu bererti kufur terhadap nikmat ini.

Taubat yang diterima Allah ialah taubat yang memenuhi syarat. Taubat adalah ungkapan penyesalan yang mewariskan kemantapan hati (tekad) dan tujuan. Sedangkan penyesalan itu sendiri dilahirkan oleh pengetahuan bahawa segala bentuk kemaksiatan hanya akan menjadi penghalang antara seseorang dan objek yang dia cintai. Penyesalan adalah rasa perit di hati akibat timbulnya rasa kehilangan objek yang dicintai, yang tanda-tandanya adalah rasa sedih, duka, titisan air mata, tangisan dan renungan yang panjang. Penyesalan, setiap kali terasa lebih besar, apabila bertaubat, apa yang diharapkan adalah keampunan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Ciri-ciri penyesalan itu adalah lembutnya hati dan derasnya cucuran air mata. Ciri-ciri ini juga termasuk rasa penyesalan adalah perasaan pahitnya dosa-dosa sebagai ganti dari rasa manis, sehingga menimbulkan perasaan benci kepada setiap dosa dan dengan kebencian kepadanya akan menerapkan sikap untuk lari darinya. Orang yang bertaubat merasakan kepahitan kepada semua jenis dosa sekalipun terhadap dosa-dosa yang belum pernah dilakukan sebelumnya.

Terdapat beberapa cara untuk memperbaiki kesalahan yang berlalu, yang pertama ialah memperbaiki kesalahan meninggalkan solat atau ketidak sempurnaannya. Jika seseorang pernah meninggalkan solat, atau pernah mengerjakan solat dengan pakaian yang najis atau dia mengerjakannya dengan niat tidak betul, maka, seseorang itu hendaklah meng-qadha’-nya dari solat yang terakhir kali dia melakukan ketidak sempurnaan itu. Seterusnya mekanisme taubat dari perbuatan meninggalkan puasa. Jika seseorang pernah melewatkan puasa atau meninggalkan puasa secara sengaja atau dia lupa untuk berniat pada malamnya, maka hendaklah dia berusaha menghitung jumlah puasa yang terlewat itu, kemudian berusaha untuk membayarnya. Jika seseorag itu tidak membayar zakat, maka hendaklah dia mengira semua kekayaannya dan mengingati pula hitungan tahunan sejak kali pertama berlakunya pemilikannya atas kekayaan itu. Jika dia telah mengeluarkannya tetapi tidak sesuai dengan peraturan mazhab yang diturutinya, maka hendaklah dia membayar semuanya.

Seterusnya, taubat dari tindakan meninggalkan haji. Jika seseorang mampu untuk menunaikan haji, tetapi tidak melaksanakannya, dan setelah itu dia jatuh miskin, maka seseorang itu tetap diharuskan kepadanya untuk menunaikan ibadah haji tersebut. Seseorang itu haruslah berusaha dari sumber yang halal untuk mencari sekadar perbelanjaan untuk perjalanannya. Namun, jika dia tidak mempunyai harta, dan tidak mempunyai usaha, maka diharuskan kepadanya meminta bantuan daripada orang lain supaya menyalurkan kepada dirinya zakat atau sedekah agar dapat digunakan untuk menampung perbelanjaannya untuk menunaikan haji.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “ siapa yang meninggal dunia dan belum menunaikan ibadah haji padahal dia mampu, matilah dia sebagai Yahudi atau Nasrani”. Sebab, adanya ketidakmampuan setelah sebelumnya mampu, maka tidaklah dapat menggugurkan kewajipan haji dari orang bersangkutan. Yang terakhir ialah taubat dari berbagai macam perbuatan maksiat adalah dengan melakukan penyelidikan. Sejak pertama kali seseorang itu memasuki usia baligh, terhadap pendengaran, penglihatan, lidah, perut, tangan, kaki dan kemaluannya serta seluruh anggota tubuhnya. Kemudian, setelah itu perhatikan seluruh hari dan jam-jam yang telah dilaluinya, lalu menghuraikan semua catatan kemaksiatannya pada dirinya hingga dia benar-benar mampu untuk melihat keseluruhannya yang kecil-kecil dan yang sebesar-besarnya, kemudin memfokuskan perhatian kepadanya.

Dalam taubat, ketahuilah bahawa terdapat empat tahap orang-orang yang bertaubat. Tahap pertama ialah taubat jiwa yang tenang, iaitu seorang pelaku kemaksiatan bertaubat dan beristiqamah dalam taubatnya sehingga akhir hayatnya. Dia memperbaiki semua kelemahannya dalam semua urusan seta tidak pernah lagi mengatakan kepada dirinya untuk kembali kepada dosa-dosanya selain kesalahan-kesalahan kecil yang memang tidak ada seorang manusia pun yang boleh menghindarinya kecuali orang yang telah mencapai tahap kenabian. Orang-orang yang masuk dalam golongan ini juga bertahap-tahap mengikut kecenderungan mereka kepada syahwatnya di bawah kendali makrifat yang telah terhenti pergolakannya melawan syahwat dan sudah tidak lagi disibukkan oleh peperangan menghadapinya dalam menempuh jalannya.

Tahap yang seterusnya ialah taubat yang selalu mencela iaitu pelaku taubat yang menempuh jalan istiqamah pada ketaatan-ketaatan utama dan meninggalkan semua dosa besar, kecuali dosa-dosa kecil yang tidak dihindarinya. Itu pun dilakukannya bukan kerana sengaja atau niat, tetapi hal itu memang merupakan ujian yang menghalang perjalanannya tanpa ada tekad pada dirinya untuk mengerjakannya. walaupun demikian, setiap kali ia terlanjur melakukannya, ia perlu mencela dirinya, menyesali perbuatannya, menjadi sedih kerananya dan memperbaharui tekadnya untuk menjaga diri secara lebih menyeluruh dari segala faktor yang mungkin akan menjerumuskannya. Tahap ini merupakan tahap yang tinggi, walaupun lebih rendah daripada tahap pertama, dan inilah keadaan kebanyakan pelaku taubat, lantaran keburukan itu mamang telah bercampur dengan tabiat manusia, sekali orang yang boleh terlepas darinya. Hanya saja, puncak dari usahanya adalah menjadikan unsur kebajikan lebih dominan atas keburukannya hingga menjadi beratlah timbangan kebaikannya kelak.

Tahap yang seterusnya ialah taubat jiwa yang selalu memujuk iaitu seseorang yang bertaubat dan terus beristiqamah selama beberapa waktu, namun setelah itu dia kembali dikuasai oleh hawa nafsunya pada sebahagian dosa-dosa sehingga dia mengerjakannya dengan keinginan dan kesedaran, lantaran ketidakmampuannya dalam mengendalikan hawa nafsunya. Ketakutan terhadap akhir hayat yang buruk semestinya terjadi sebelum taubat, dan setiap nafas merupakan penutup bagi nafas sebelummnya. Tahap yang seterusnya ialah jiwa yang banyak memerintah iaitu orang yang bertaubat kemudian istiqamah selama beberapa lama, tapi kemudian dia kembali melakukan sesuatu dosa atau beberapa dosa tanpa pernah mengigatkan dirinya agar bertaubat dan juga tanpa rasa menyesal terhadap perbuatannya. Bahkan seseorang itu semakin hanyut dalam mengikut hawa nafsunya. Ini jelas termasuk sifat orang yang rajin melakukan perbuatan dosa sedang nafsunya itu dinamakan nafsu yang banyak menyuruh kepada kejahatan ( an-Nafs Al-zammarah ) yang lari dari kebaikan. Dikhuatiri, atas pelaku taubat seperti ini akan mengalami nasib buruk di saat akhir hayatnya ( su’ al-khatimah), dan urusannya berada pada kehendak Allah.

Kesimpulannya, taubat haruslah disegerakan jika seseorang telah melakukan dosa, sama ada dosa kecil atau besar sesame hambanya atau kepada Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa menerima dan mengampunkan hambanya yang bertaubat dengan ikhlas. Sucikanlah jiwa yang telah kotor akibat dosa yang telah dilakukan dengan bertaubat. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala : sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu”. Jadi, berdoalah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala agar dia memberi hidayah kepada kita untuk bertaubat kepadanya memohon ampun diatas segala dosa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya manusia tidak pernah lari dari melakukan kesilapan.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com