Tajuk: Perkahwinan

PENDAHULUAN
Allah Subhanahu wa ta’ala telah menetapkan fitrah ke atas manusia bahawa kaum adam dijadikan kepada kaum hawa. Maka ia perlulah dituruti dengan baiknya. Perkahwinan adalah sesuatu perkara yang dituntut bagi yang mampu. Rasulluh juga menyatakan bahawa: “Maka kejilah mereka yang tidak mendirikan sedangkan mereka mampu mendirikannya”. Oleh dengan itu, hidup berumah tangga adalah dituntut. Ianya bukanlah sekadar perkara yang dituntut oleh agama tetapi peranan terbesar dalam perkahwinan adalah untuk mendapatkan keberkatan Yang Maha Esa. Sebab lain juga perkahwinan ini adalah menghindar manusia daripada cenderung kepada maksiat. Barangsiapa yang tidak mampu maka berpuasalah mereka, kerana dengan berpuasa maka perkara yang tidak baik dapat dielakkan. Selain itu, mendirikan rumah tangga juga dapat meningkatkan taraf bilangan umat islam dan melahirkan zuriat yang baik dan menjaga nama keturunan umat islam.

KUNCI PERKAHWINAN BAHAGIA
Bermula dengan perkenalan, pertunangan, majlis perkahwinan (pernikahan) dan alam penuh persefahaman. Alam rumah tangga yang merupakan destinasi yng perlu dijelajah oleh setiap pasangan yang berumah tangga. Selok belok kehidupan kadangkala memang penuh dengan dugaan dan hikmah jika kita tahu kepentingan dan keistimewaan di sebaliknya ia merupakan suatu yang penuh bermakna dalam menjalani kehidupan berumah tangga di dunia fana ini. Setiap likuan, dugaan perlu dihadapi dengan penuh keikhlasan dan kesabaran agar setiap apa yang kita kehendaki. Alam perkahwinan merupakan suatu yang realiti. Semua perlu dilakukan dengan azam, kesungguhan dan keyakinan. Setiap pasangan yang mempunyai azam bagi mendirikan rumah tangga, perlu mengabadikan cintanya terhadap pasangan hingga ke jinjang pelamin. Oleh itu, bagi individu yang ingin menyelami kehidupan berumah tangga, mereka perlu diisi hati mereka dengan garis panduan yang disarankan oleh agama bagi mewujudkan kehidupan berumah tangga dengan bahagia dengan niat bagi mengharapkan keredhaan dri Yang Maha Esa.
Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman: “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan untuk berpasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)”. Perkahwinan adalah merupakan sunnatullah yang perlu berlaku kepada semua ciptaanNya, mahupun manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan iaitu merupakan cara yang ditentuka oleh Allah sebagai jalan bagi mereka (manusia) untuk mengekalkan hidup setelah pasangan sedia melakukan ijab kabul dan mewujudkan tujuan perkahwinan. Allah telah mengaturkan hukum sesuai dengan martabatnya sehingga hubungan antara lelaki dan perempuan diatur secara terhormat berdasarkan rasa saling meredhai dengan majlis ijab kabul kepada pasangan. Perkahwinan adalah cara bagi memberikan jalan yang aman kepada naluri (seks), memelihara keturunan pasangan dengan baik dan menjaga kaum perempuan kerana atas kemuliaannya.

Islam mengingatkan bahawa dengan perkahwinan, Allah akan memberika kepada pasangan kehidupan yang sempurnan, menghilankan kesusahan dan kekuatan yang mampu mengatasi kemiskinan. Bagi lelaki yang baik, isteri merupakan perbendaharaan tang terbaik. Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman: “Dan nikahkanlah orang-orang bujang antara kamu, dan orang-orang soleh dari hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah amat luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya). Lagi amat mengetahui”.

Thabrani diriwayatkan hadith dengan sanad yang baik dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  pernah bersabda: “Ada empat perkara, siapa yang memilikinya bererti mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat, iaitu hati yang selalu bersyukur; lisan yang selalu berzikir dan sabar pada waktu sakit, serta isteri yang mahu dinikahi bukan kerana ingin menjerumuskan ke dalam kemaksiatan dan menginginkan hartanya”

Nikah diterjemahkan sebagai salah satu sunnah para Nabi dan petunjuknya. Mereka tokoh yang perlu diikuti jejaknya. Allah Subhanahu wa ta’ala telah berfirman: “Kami telah utuskan beberapa orang Rasul sebelum kamu dan Kami telah berikan kepada mereka isteri dan keturunan”. Nikah juga disebut sebagai sesuatu kurniaan yang baik. Mengenai hal ini Allah Subhanahu wa ta’ala  telah berfirman: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri) dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu; Anak-anak dan cucu-cicit serata dikurniakan kepada kamu dari bend-benda yang baik lagi halal”. Isteri yang solehan merupakan limpahan keuntungan yang menghiasi rumah tangga dan memenuhi kegembiraan, keseronokan dan kemuliaan.

Dalam agama islam, amat dilarang bagi inidividu yang membujang jika dia mampu untuk memiliki kebahagiaan rumah tangga. Hanya Islam satu-satunya agama yang menggalakkan dan memberi motivasi kepada setiap umatnya untuk berumah tangga. Malah agama lain sangat memuji bagi orang yang bujang kerana mereka mengatakan orang yang bujang adalah suci kerana tidak mahu beristeri. Tetapi amat bertentangan dengan agama islam kerana amat tercela bagi individu yang tidak mempunyai keinginan untuk tidak berumah tangga. Jadi jika waktu membenarkan kita untuk berkahwin, tetapi masih menunda dengan berbagai alasan maka kita akan mati dalan keadaan seburuk-buruk orang mukmin yang mati. Allah akan melaknat kepada siapa yang berkemampuan untuk berkahwin tetapi tidak mahu bendirikan rumah tangga. Kahwin adalah fitrah bagi manusia untuk melakukannya melalui jalan yang diredhai Allah. Kerana itu orang yang hidupnya membujang akan terganggu keseimbangan perasaan diantaranya ialah, keseimbangan untuk melangkah pada sesuatu yang seharusnya dikerjakan, lebih mudah mengutamakan diri sendiri atau egoisme dan menghindari tanggungjawab yang lebih berat.

Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman: “Dan di antara tanda kekuasaanNya membuktikan (dan rahmatNya bahawa Ia menciptakan bagi kamu (wahai kaum lelaki) isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kaumu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi ketenangan bagi orang yang berfikir”.

Di alam perkahwinan terdapat hikmah-hikmah kepada pasangan. Sesungguhnya naluri seks adalah naluri yang paling kuat dan sentiasa mencari jalan keluar. Apabila jalan keluar tidak baik maka disebabkan itu ramai manusia yang menjerumuskan diri ke jalan yang jahat. Hikmah utama perkahwinan ialah badan menjadi segar, jiwa menjadi tenang, mata dipelihara dari melihat perkara yang haram dan perasaan yang tenang menikmati barang yang halal. Hikmah rumah tangga juga adalah dapat meneruskan zuriat, membanyakkan keturunan dan mengekalkan keturunan serta memelihara nasab.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda: “Hai golongan pemuda! Bila di antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah kahwinm kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan bilamana belum mampu kahwin, hendaklah dia berpuasa, kerana puasa adalah sebagai pendinding”. Apabila individu berazam untuk berkahwin, maka perlu mempersiapkan bekalan seperti nafkah untuk makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Perkahwinan adalah sesuatu tanggungjawab kepada individu yang berasa dia (lelaki) mampu bagi memeliharan rumah tangga yang aman. Jika tidak mampu dan meminta-minta kepada mertua itu adalah tidak baik apatah lagi kepada saudar kita seislam. Jika dia (lelaki) berasa tidak mampu untuk menanggung isteri maka dia tidak digalakkan berkahwin sehinggalah dia benar-benar mampu untuk menanggung rumah tangga.

Jalan keluar bagi individu yang tidak mampu mewujudkan rumah tangga adalah berpuasa, kerana dengan berpuasa maka dorongan syahwat seksualnya dapat dikawal dengan berpuasa. Bagi yang tidak mampu, adakah dia boleh meminta? Boleh jika itu dapat membantu bagi menyelamatkan agamanya dari kerosakan akidah dan akhlak. Oleh itu seorang lelaki muslim yang menginginkan perkahwinan, maka persiapkan lah diri dengan mengumpul harta dengan cara yang halal bagi mewujudkan rumah tangga yang harmoni.

Rasullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda: “Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara, iaitu kecantika, keturunan, hartanya dan agamanya dan agamanya. Tetapi pilihlah berdasarkan agamanya, agar kamu selamat”. Isteri adalah tiang rumah tangga terpenting keran dia dijadikan untuk memuliakan anak-anak. Islam menyarankan supaya memilih isteri yang solehah dan sebagai perhiasan yang terbaik dalam rumah tangga. Dalam perkahwinan, tujuan utamanya bukanlah mencari kepentingan dunia semata-mata tetapi yang wajib dilihatkan adalah daripada aspek keagamannya, kerana dengan agama itu akal dan jiwa dapat dipimpin. Dalam hadith yang diriwayatkan Thabrani, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda: “Sebaik-baik wanita iaitu yang paling murah permintaan mas kahwinnya”. Perempuanyang ingin dipilih, hendaklah melihat cara pergaulannya dengan bukan mahram dan dari itu kita dapat menilai bagaimana dia menjaga kesuciannya dan bagaimana dia menghormati agamanya.

Bagi wanita yang inginkan pasangan islam juga ada menyarankan beberapa cara pemilihan yang baik kepada kaum hawa ini. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  bersabda: “Bila datanf seorang lelaki yang kamu redha agama dan akhlaknya, hendaklah kamu nikahkan dia. Kerana kalau engkau tidak mahu menikahkannya, nescaya akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang meluas”. Yang paling penting bagi memilih suami adalah dengan melihat agamanya dan yang lain boleh dinilai. Oleh itu, bagi memilih sama ada calon isteri atau suami, individu digalakkan melakukan solat ikhtiharah bagi memberi petunjuk kepada pasangan agar tidk memilih pasangan yang tidak dikehendakinya.

Sebelum diijab kabulkan, proses sebelumnya adalah meminang. Meminang juga boleh dikatakan sebagai pra perkahwinan bagi mengenal pasangan yang bakal dinikahi antara satu sama lain. Terdapat beberapa perkara bagi perempuan yang boleh dipinang. Antaranya ialah, pada waktu dipinang tidak ada halangan hukum yang melarang dilangsungkan perkahwinan dan belum dipinang oleh orang lain secara sah. Jika terdapat halangan-halangan hukum maka perempuan tersebut haram dikahwinkan selamanya atau sementara atau telah dipinang oleh peminang pertama jikanya sah. Dan ditegaskan dengan keras, amat dilarang bagi lelaki meminang pinangan orang lain kerana ianya haram sama sekali kerana dapat menyakiti hati saudaranya, memecahkan hubungan kekeluargaan dan menggangu ketenteraman.

Bagi kehidupan untuk memulakan rumah tangga, dan mengekalkan kesejahteraan maka sebaiknya lelaki lebih dulu melihat perempuan yang akan dinikahinya. Melihat tunang dalam agama adalah sunnah dan digalakkan. Bagi perempuan juga boleh bagi melihat bakal suami yang akan dinikahinya. Terdapat juga larangan terhadap ketika bertunang, contohnya pasangan yang bertunang berada di tempat yang sunyi. Ini disebabkan kerana apabila pasangan berdua-duaan di tempat yang sunyi maka akan datang lah yang ketiga iaitu syaitan yang bakal menolak kita kearah maksiat. Ini juga islam menyarankan, kita tidak boleh bersekedudukan bersama perempuan yang bukan mahram kecuali sekadar melihatnya sebagai menilai perempuan yang bakal dinikahinya.

Mengikut yang telah diriwayatkan menjadi sunnah apabila waktu perkahwinan dilangsungkan pada bulan Syawal kerana bulan itu adalah dimana berlangsng perkahwinan antara Rasulullah dan Aisyah. Tetapi hal ini tidak terlalu ditegaskan di dalam agama. Dalam hadith yang telah diriwayatkan bahawa: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam  telah bersabda: “ Umumkan pernikahan ini dan tempatkan dia dia masjid dan adakan keramaian rebana untuk itu. Bagi melangsungkan pernikahan, rasulullah menyuruh supaya dilakukan dengan penuh keramaian, antara lain dengan memukul rabana.

Seterusnya, dalam perkahwinan salah satu perkara yang wajib adalah pemberian mahar iaitu mas kahwin. Mahar adalah pemberian yang wajib yang dilakukan oleh suami kepada isterinya ketika dilakukan akad nikah sebagai bukti terikatnya seorang wanita dengan seorang lelaki yang memberikan mas kahwin. Dari segi jumlah mahar, islam tidak menetapkan jumlah mahar walaupun banyak ataupun sedikit. Mas kahwin ditentukan dalam islam hanyalah sekadar mengikut kemampuan individu untuk diberikan kepada pihak pengantin perempuan. Mahar tidak semestinya dari segi wang untuk diberikan kepada pasangan tetapi boleh juga sesuatu yang memberi manfaat kepada perempuan (isteri) secara berterusan. Dalam perkahwinan, harus ada wali dan mahar. Walaupun mahar itu tidak berupa benda. Selain itu, janganlah pula pihak perempuan menggunakan kesempatan mdengan mahar bagi kesenangan dirinya sendiri, kerana akan mengakibatkan perpecahan dan pelbagai permasalahan di kemudian hari.

Setiap upacara perkahwinan mestilah disertakan dan dituntut oleh agama dengan mendengar khutbah nikah daripada ka’di. Ini kerana supaya dikategorikan sebagai peringatan kepada pasangan yang akan mendirikan masjid agar kekal bahagia dan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Di dalah setiap khutbah nikah, harusah ada beberapa perkara yang perlu disertakan iaitu, ayat-ayat Al-quran iaitu, “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-sebenarnya”. “Dan bertakwalah kamu kepada Allah, Tuhan yang menjadi bagi kamu saling memohon; dan peliharalah kamu dalam urusan kerabat”. “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berkatalah dengan kata-kata yang benar supaya kamu dapat membaiki amal perbuatanmu dan semoga Allah mengampuni dosa kamu”. Khutbah nikah bukanlah syarat sahnya perkahwinan, melainkan sesuatu kewajipan yang harus kita laksanakan sebelum mahupun sesudahnya akad.

Dalam upacara perkahwinan, wali ada perkara yang paling penting untuk mengesahkan sebuah perkahwinan. Wajib bagi seseorang perempuan yang ingin bernikah harus mendapat kebenaran wali mereka dan dinikahkan oleh wali mereka. Bagi perempuan yang tidak mempunyai wali sebagai ganti adalah penguasa. Kedudukan wali dalam perkahwinan hanyalah bersifat sunnah. Ertinya jika seorang perempuan yang bernikah tanpa wali tetapi perkahwinannya tetap sah. Walaubagaimanapun, akan mendapat pandangan dari sekeliling masyarakat kurang baik atau tidak terpuji menurut akhlak. Maka dengan adanya wali, jadi sebuah perkahwinan akan menjadi lengkap dan baik dari segala segi dan pandangan masyarakat sekeliling.

Apakah yang dimaksudkan dengan ijab dan kabul? Definisinya ialah mengemukakan atau menyatakan sesuatu perkataan. Kabul ertinya terima manakala ijab kabul ialah seseorang yang menyatakan sesuatu kepada seseorang kemudian orang itu menyatakan terima. Dalam perkahwinan, ijab dan kabul adalah seorang wali dari pihak perempuan atau wakilnya mengemuka kepada calon suami anak perempuannya untuk menikahkan anak perempuannya dengan lelaki yang mengambil anaknya sebagai isteri lalu lelaki akan menyatakan penerimaan tersebut. Wali juga boleh menikahkan pasangan tidak kira sesiapa yang disetujui oleh perempuan yang ingin bernikah. Dalam upacara ijab dan kabul haruslah disertakan dengan saksi sekurang-kurangnya dua orang lelaki yang adil. Jika hanya seorang saksi, maka perkahwinan tersebut batal. Sebaik-baiknya saksi yang akan mengesahkan perkahwinan adalah daripada agama islam, jika bukan islam maka akan timbul kekeliruan, selain itu mereka juga tidak dapat membetulkan kesalahan jika terdapat dalam upacara ijab dan kabul. Dari itu, saksi haruslah berasal daripada orang yang dapat mengerti nilai-nilai yang perlu ada dalam upacara ijab dan kabul.

Lafaz yang diucapkan dalam upacara ijab dan kabul ialah “Aku nikahkan saudara Fulan bin Fulan (nama pengantin lelaki) dengan mas kahwinnya sekian banyak tunai/berhutang. “ Aku terima nikahnya; kepada diriku dengan (nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sekian banyak tunai/berhutang yang diucapkan mempelai lelaki setelah wali atau imam menikahkannya. Dijelaskan kepada kita semua apabila seorang lelaki dan perempuan yang menjadi pengantin haruslah ada perasaan suka sama suka dan redha diantara satu sama lain dan tiada paksaan. Jika adanya persetujuan keredhaan dan saling suka sama suka maka itu akan dikatakan sebagai ijab dan kabul. Dalam pengertian ijab dan kabul adalah wajib. Selepas upacara ijab dan kabul, pasangan digalakkan berdoa selepas ijab dan kabul seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  kepada pasangan yang berkahwin, doa tersebut ialah: “Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan”.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam  pernah bersabda: “Bila seseorang diantara kamu mengahwini seorang wanita, peganglah ubun-ubunnya dan sebutlah nama Allah Tuhan Maha Mulia dan Maha Tinggi; mintalah berkat dan ucapkan: “Ya Allah aku mohon kepada-Mu keberkatan dan kebaikan yang melekat pada dirinya, dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya dan keburukan yang melekat pada dirinya”. Hadith diatas menerangkan bahawa, seorang suami yang baru sahaja diijab kabulkan disunatkan memegang ubun-ubun isterinya dan mengataka sepatah doa. Isi doa itu adalah: “Allahumma majabalat alaihi”. Doa sesudah akad nikah diingatkan sekali lagi bahawa ianya adalah sunnah kerana mengikut perkara yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Solat adalah segala-galanya punca bagi mendapatkan keberkatan dan pahala dari Allah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Oleh itu, sebelum majlis atau upacara akad nikah dilakukan maka pasangan yang berkahwin disunatkan untuk melakukan solat dua rakaat bagi memberkati majlis dan menunjukkan rasa syukur kepada Allah Maha Besar. Waktu solat 2 rakaat yang diajarkan oleh sebahagian sahabat Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam  kepada Abu Said di atas ialah sebelum pasangan yang bakal dinikahkan. Kerana para sahabat ada menyatakan bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam  mengingatkan iaitu: “Engkau lakukan solat 2 rakaat, dan waktu seterusnya adalah urusan kamu dan isterimu”. Hal ini menggambarkan bahawa dengan solat 2 rakaat dapat mengeratkan lagi hubungan dengan lebih intim dan bahagia. Solat 2 rakaat ini juga dikategorikan sebagai solat syukur.

Seperti yang selalu kita lihat sekarang, setiap pesangan yang berkahwin tentunya ingin kelihatan menarik, cantik dan anggun ketika mereka menjadi raja sehari tetapi ada pula yang melakukannya dengan cara yang ditegah dalam agama seperti tidak menutup aurat ketika bersanding dan menunjukkan susuk tubuh kepada para undangan. Dalam agama, ada menggariskan tidak salah jika menghias diri pengantin perempuan tetapi selagi ia tidak melanggar syarak. Tidak perlu menayang segala-galanya bagi menarik perhatian sekadar dengan memperkemaskan diri dan sedikit perhiasan diri untuk nampak berseri. Islam amat menegah tentang aurat, terutama kepada pasangan (perempuan) dengan mendedahkan aurat ketika bersanding. Bersanding itu tidak salah, tetapi yang salah adalah apabila pengantin perempuan dipandang oleh orang lar yang bukan mahram dan hanya boleh dilihat oleh keluarga dan kaum perempuan sahaja. Islam menggalakkan menghiaskan diri pengantin perempuan tetapi jangan sesekali melanggar apa yang dilarang.

Telah menjadi perkara biasa apabila adanya majlis perkahwinan, maka banyak undangan untuk para tetamu. Perkara tersebut juga adalah perkara yang dituntut dan menjadi sunnah kepada pasangan untuk membuat undangan kepada orang yang dikenali bagi mengumumkan perkahwinan tersebut. Walimah adalah acara kenduri yang dilakukan setelah akad nikah. Yang diutamakan dalam upacara walimah adalah makan bersama oleh orang-orang yang menyaksikan upacara akad nikah. Biasanya walimah dilakukan setelah selesainya upacara akad nikah pada hari yang sama. Walimah tidak seharusnya dengan membuat makanan sehingga boleh mendatangkan pembaziran, hanya sekadar bagi mensyukuri dan semoga mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Walimah itu wajib dilakukan oleh orang yang mengadakan perkahwinan, bahan makanan tidak perlu yang terlalu mahal, cukup sekadar mengikut kemampuan orang yang mengadakan perkahwinan. Rasulullah pernah bersabda: “Makanan yang paling buruk adalah makanan dari pesta perkahwinan yang tidak diundang. Barangsiapa tidak memperkenankan undangan, maka sesungguhnya dia derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Keluarga adalah yang terpenting dalam kehidupan, maka itu perkahwinan perlu direstui oleh keluarga. Setelah upacara pernikahan, kita hendaklah mendengar nasihat orang tua supaya dapat mengekalkan pedoman dalam menjaga rumah tangga kelak. Isi nasihat itu hendaklah diisi dengan perkara yang berkenaan dengan urusan diri anaknya dalam mengabdi kepada suaminya. Dan jangan isteri mempunyai sifat yang tidak baik kerana sifat itu adalah penyumbang terbesar dalam penceraian serta janganlah ada sifat yang suka mencela suami dan mengecam ekurangan suaminya sehingga membuat suami laksana hidup sebagai seorang tertuduh.

Bagi pengantin lelaki pula, mereka juga perlu memberi nasihat ataupun peringatan kepada isterinya. Rasulullah s. aw bersabda: “Nasihatilah wanita itu baik-baik. Kerana sesuatu yang paling bengkok ialah tulang rusuk bahagian atas sekali. Jika engkau luruskan dengan kekerasan, maka bereti engkau patahkan dia. Oleh itu, biarkan dia mengikuti kebengkokannya itu”. Pengantin lelaki haruslah memberikan nasihat kepada pengantin perempuan agar mereka sentiasa mengikut diatas landasan yang lurus. Isi nasihat pengantin lelaki kepada perempuan adalah mesti berupa ajakan bertakwa kepada Allah, mengikuti tuntutan rumah tangga Rasulullah meminta isteri bersabar menghadapi perilaku suami, bila melakukan kesilapan maka tegurlah dengan nasihat bukan celaan. Contoh nasihat pengantin lelaki kepada pengantin perempuan antara ialah: “Wahai dindaku sayang, aku dan engkau telah ditakdirkan Allah sebagai suami isteri. Aku mencintaimu kerana Allah. Dan semoga engkau pun mencintaiku kerana Allah. Kita telah berikrar dengan nama Allah, dengan disaksikan oleh orang-orang yang kita hormati dan kita cintai, bahawa aku dan engkau akan melayari bahtera rumah tangga dengan penuh cintam kasih sayangm kerinduan dan saling mempercayai. Dindaku sayang, aku punya kekurangan, dan engkau punya kelebihan. Tutuplah kekuranganku dengan kelebihanmu dan akan kututpkan kekuranganmu dengan kelebihanku. Semoga Allah menjadikan semua itu sebagai kekuatan kita dalam membentuk rumah tangga yang diredhaiNya”.

Telah menjadi tradisi bahawa apabila selesai uapacara perkahwinan, pengantin perempuan akan dihantar ke rumah pengantin lelaki. Dan sebaik-baiknya diadakan hiburan bagi menggembirakan kedua mempelai dan ahli keluarga. Hikmah perkahwinan juga adalah bagi menutup perlakuan yang tidak baik dan haram bagi umat islam seperti hubungan perempuan dan lelaki dalam penzinaan, menyimpan perempuan dan pelacuran. Bahkan apabila mereka berkahwin maka akan halal bagi mereka untuk perkara tersebut dengan cara yang halal dan menggembirakan.

Setelah sahnya perkahwinan dan terdirinya sebuah masjid dengan perkahwinan yang sah mak terpikullah tanggungjawab yang bakal dipikul oleh kedua pasangan yang berkahwin. Allah berfirman: “ Dan bergaullah dengan isteri kamu menurut cara yang mak’ruf (selayaknya). Kemudian bila kamu tidak lagi menyukai mereka (hendaklah kamu bersabar), kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya banyak kebaikan”. Maka dengan itu, tenggungjawab yang perku dipikul oleh suami kepada isteri amatlah dititik beratkan kerana akibat jika tidak mematuhi akan menyebabkan perpecahan, penceraian dan pertelingkahan bermasam muka antara satu sama lain kerana lelaki adalah pemimpin utama kepada wanita seperti memberi nafkah kepada isteri.

Walau bagaimanapun, isteri juga perlu ada tanggungjawab kepada suami. Suami yang bahagia adalah suami yang memandang isterinya dengan sebagai kawan hidup. Rasulullah bersabda: “Sekiranya aku boleh memerintah orang menyembah orang lain, tentu isteri diperintahkan menyembah suaminya!’. Diantara kewajipan isteri kepada suami adalah menghormati ibu bapanya, serta memberikan dorongan kepada suami supaya memperhatikan mereka. Kewajipan seterusnya ialah mengasuh, memelihara dan mendidik anak-anak. Rasulullah bersabda: “Jika seorang isteri menunaikan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga kesucian dirinya dan taat kepada suami, dia akan masuk syurga dengan mana-mana pintu yang dikehendakinya”. Dan perkara penting yang perlu diingatkan, menceritakan rahsia keluarga kepada orang lain adalah dilarang dalam islam kerana ia boleh membawa kesan yang negatif.

Setelah apa yang telah dicoretkan dalam segala hal tentang perkahwinan maka, dengan cara-cara demikian lah umat islam dapat melahirkan zuriat, memperkembangkan masyarakat dengan lebih baik. Kerana apa yang dinyatakan adalah sesuatu yang mungkin atau bakal berlaku pada setiap pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga yang bahagia. Perkahwinan adalah masjid, jika berpecahnya rumah tangga maka robohlah sebuah rumah tangga yang penuh dengan kebaikan. Bukan sekadar berhujah tetapi memberika sesuatu yang semoga dapat kita mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala dan mendapat keredhaan-Nya didunia dan akhirat. Wallahualam.

PENUTUP
Perkahwinan yang sempurna dijanjikan kebaikan didunia dan diakhirat. Maka kita sebagai hamba yang perlu patuh dengan perintahnya dan menurut apa yang diperintah. Rumah tangga sesuatu yang suci dan perlu dijaga dengan baik agar ianya mendapat keberkatan kepada pasangan yang berkahwin. Perkahwinan yang halal juga bukan sekadar diatas keseronokan tetapi apa yang diinginkan ialah keredhaan dan menjamu perkara yang halal dengan tidak berasa ragu-ragu. Sempurna perkahwinan maka sempurna kedua pasangan yang mencintai pasangan antara satu sama lain dengan kerana Allah Subhanahu wa ta’ala. Wallahualam.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com