Batas Pergaulan Dalam Islam

Disediakan untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam

Disediakan oleh:
Nur Iliyana Binti Suhaimi

1.0. PENDAHULUAN
Seperti yang kita semua maklum, akhlak merangkumi skop yang luas seperti hubungan dengan ALLAH S. W. T, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam. Untuk tugasan ini, kami telah memilih tajuk ‘Pergaulan Bebas’. Tujuan kami memilih tajuk ini adalah kerana fenomena pergaulan bebas ini menyebabkan akhlak manusia semakin lama semakin rosak. Contoh yang dapat kami berikan adalah pergaulan bebas antara para remaja lelaki dan perempuan masa kini sehingga terlupa bahawa mereka dilahirkan ke dunia adalah sebagai seorang muslim. Kes- kes maksiat seperti pembuangan bayi, menyukai sesama jantina, berzina, dan lain-lain telah menjadi salah satu budaya dalam negara kita, Malaysia. Oleh yang demikian, kami telah mengambil inisiatif untuk membuat tugasan yang berkaitan dengan pergaulan bebas agar dapat menjadi panduan dan tauladan kepada kami dan juga rakan-rakan yang lain dalam usaha menjadi mahasiswa cemerlang.

Abu Hurairah r. a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Orang- orang yang terbaik di antara kamu ialah orang- orang yang paling lanjut usianya di antara kami dan yang paling baik di antara kamu dari segi akhlaknya”

2. 0. PENGERTIAN PERGAULAN DALAM KONTEKS ISLAM
Dalam dunia ini, Allah S. W. T telah menciptakan dua kaum yang berbeza jantina iaitu lelaki dan perempuan. Dia juga telah menciptakan Syariat untuk mereka. Dalam Syariat Islam ada sesetengah hukum atau peraturan yang berbeza di antara lelaki dan perempuan dan ada yang tidak berbeza. Di dalam kehidupan ini, dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang melibatkan tugasan- tugasan sekolah ataupun tugasan- tugasan kerja, pasti akan berlakunya pergaulan di antara lelaki dan perempuan di dalam masyarakat kini.

Pergaulan dalam bahasa Arab disebutkan ikhtilat berasal daripada kalimah “ khalata yakhlutu khaltan” yang bererti bercampur.

Melalui konteks ini, pergaulan (ikhtilat) bermaksud bergaul atau bercampur di antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang dah kahwin) di satu tempat yang berlaku interaksi dalam bentuk pandang- memandang atau perbuatan di antara seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bermakna ia berlaku antara tiga orang atau lebih. Perkara ini berbeza dengan khalwat yang hanya terdiri daripada dua orang sahaja.

Walaubagaimanapun, mengikut pandangan para ulama yang lain, ikhtilat merupakan terminologi yang baru diperkenalkan dalam Islam dan membawa konotasi dan makna yang tidak sesuai dengan Islam. Istilah yang tepat ialah Liqa’ (pertemuan) atau musyarakah (penyertaan) di antara lelaki dan wanita. Ia sepatutnya berbunyi batas pertemuan atau penyertaan antara lelaki dan wanita.

Seperti yang kita boleh lihat, modal penyertaan lelaki dan wanita ketika zaman Rasulullah SAW adalah ketika pembentukan masyarakat madani qur’ ani oleh Rasulullah SAW. Masyarakat madani dapat kita himpunkan dengan :

- Wanita turut serta solat berjemaah dan solat Jumaat dalam masjid yang tidak bertirai atau benteng

- Wanita turut serta dalam solat hari raya

- Iktikat pada 10 malam terakhir Ramadhan

- Wanita turut serta dalam bersama lelaki dalam majlis- majlis ilmu dan berebut dengan lelaki dalam mengajukan soalan- soalan kepada baginda

- Mereka turut serta dalam medan perang; Ummu Atiyah turut serta dalam 7 medan pertempuran; Riwayat Imam Ahmad terdapat satu ketumbukan khas wanita ketika tentera Islam mengepung kota Khaibar; tugas utama tentera wanita ialah mengumpul panah, memberi rawatan, memberi motivasi dan sebagainya

- Wanita juga terlibat secara aktif dalam penyebaran dakwah sama gagah dengan lelaki; Ummu Haram bersama suaminya Ubadah telah belayar ke Cyprus dan kuburnya ada di Cyprus

- Perbualan di antara Nabi Sulaiman AS dan Ratu Balqis al- Yemeni (ayat an- Naml: 42- 43)

2. 1. SENARIO YANG DIHADAPI OLEH UMAT ISLAM
Semakin maju dunia yang kita singgahi ini, semakin bertambah permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam sekarang. Hal ini dapat dilihat melalui tiga senario yang dihadapi oleh umat Islam:

- Aliran Barat/ Sekuler
Aliran ini mahukan wanita dan lelaki bercampur- gaul sesama mereka semaksima mungkin

- Aliran ke Timuran
Manakala untuk aliran ini, yang diwarnai Islam tradisi yang mempunyai makna dan tafsiran tersendiri bagaimana seharusnya batas pergaulan antara jantina

- Aliran Kejumudan
Melalui aliran ini, menunjukkan dalam banyak masyarakat Islam abad ini, wanita terpenjara dan dinafikan hak- hak mereka yang sudah dijelaskan dalam Al- Quran.

Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa ketiga- tiga pandangan di atas adalah beberapa pandangan yang sudah pasti mempunyai banyak kelemahan dan mendatangkan banyak masalah kepada umat Islam.

2. 2. HUKUM PERGAULAN
Seperti yang kita semua maklum, setiap perkara yang dilaksanakan pasti akan ada hukum- hukumnya. Perkara ini juga tidak terkecuali dalam pergaulan seharian kita.

Hukum asal pergaulan dalam Islam adalah harus. Pergaulan sesama manusia adalah dituntut jika untuk tujuan menuntut ilmu, menjayakan dakwah dan tarbiyah, jihad atau apa sahaja yang memerlukan penggembilan tenaga antara wanita dan lelaki.

Liqa’ itu memenuhi adab- adab Islam seperti mana yang digariskan oleh syarak. Hal ini dapat dilihat melalui ayat- ayat yang terdapat dalam Al- Quran, kitab suci umat Islam sepanjang zaman :

- Menjaga pandangan (Nur: 30- 31)
- Memakai pakaian yang menutup aurat (Nur: 31)
- Dalam adab bercakap, kita disuruh untuk menjauhi nada menggoda (Ahzab: 32)
- Adab berjalan, tertib dan sopan (Nur: 31)
- Adab bila melakukan gerakan adalah dengan menjauhi gerakan yang seksi, manja dan ghairah
- Jauhi daripada menggunakan sebarang unsure yang menggoda seperti make- up dan wangi- wangian yang bermotifkan dan berniat menggoda
- Jauhi bersunyi- sunyian tanpa ada muhrim

Akhir sekali, yang paling penting adalah Liqa’ dalam perkara- perkara yang benar- benar perlu sahaja.

Walaubagaimanapun, terdapat juga hukum yang mengatakan pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (harus nikah) adalah haram. Namun demikian, pengharaman ini tidak didasarkan kepada nas yang sarih kerana tiada nas sarih mengenai kes ini. Pengharamannya hanya diasaskan kepada hukum lain yang pada asalnya dikhususkan bagi kaum wanita kerana dalam hukum- hukum terbabit terdapat unsur- unsur pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Hukum- hukum yang dimaksudkan ialah :

- Larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram

- Solat berjemaah di masjid bagi wanita

i. Larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram
Perkara ini bermaksud perempuan dilarang bermusafir bersendirian tanpa mahram dan dilarang berkhalwat dengan lelaki ajnabi (sah kahwin dengannya).

Kedua- dua larangan ini didasarkan kepada hadis- hadis berikut :
Maksudnya : “ Perempuan tidak harus musafir kecuali ada bersamanya mahram dan lelaki tidak harus masuk (dalam rumah) perempuan kecuali ada bersamanya mahram”

Berdasarkan hadis di atas, diterangkan melarang lelaki ajnabi berkhalwat dengan wanita di dalam bilik atau rumah.
Maksudnya : “ Lelaki tidak harus berkhalwat dengan perempuan kecuali bersamanya mahram dan tidak harus musafir kecuali bersamanya mahram”

Hadis kedua pula menerangkan melarang wanita keluar mengerjakan haji tanpa mahramnya.
Kedua- dua hadis di atas ini telah dijadikan oleh para fuqaha’ sebagai dalil pengharaman pergaulan lelaki dan perempuan kerana kedua- duanya mengandungi unsur pergaulan.

Walaubagaimanapun, satu kesimpulan dapat dibuat iaitu pergaulan perempuan dengan lelaki bukan mahram adalah diharamkan. Namun, pengharaman ini bukanlah didasarkan kepada suatu nas syarak yang sarih kerana tiada nas syarak yang dengan jelas menyatakan demikian. Pengharaman ini hanyalah didasarkan kepada pengharaman khalwat yang terdapat dalam hadis pertama di samping larangan bergaul yang boleh difahami dari larangan ke atas wanita mengerjakan haji tanpa mahram. Dengan erti kata lain oleh kerana khalwat antara wanita dan lelaki bukan mahram diharamkan maka pergaulan antara wanita dan lelaki bukan mahram juga adalah haram. Perkara ini juga sama dengan perempuan yang dilarang mengerjakan haji tanpa mahram kerana perbuatan itu mendedahkannya kepada pergaulan dengan lelaki maka semua bentuk pergaulan wanita dengan lelaki bukan mahram adalah haram.

Begitu juga hukum sebaliknya iaitu oleh kerana wanita tidak haram berkhalwat dengan lelaki mahram kerana darurat, maka ia juga tidak haram bergaul dengan lelaki mahram atas alasan darurat. Hal ini sama dengan hukum boleh dan tidak boleh dia berkhalwat dengan lelaki mahram, begitu juga boleh dan tidak boleh beliau musafir tanpa mahram.

ii. Hukum perempuan solat berjemaah di masjid
Bagi rujukan kedua di atas, hal ini membincangkan tentang pengharaman pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi ialah keizinan bagi wanita melakukan solat berjemaah di masjid. Solat berjemaah di masjid digalakkan bagi kaum lelaki dan tidak bagi kaum wanita. Malahan sebaliknya solat wanita di rumah mereka adalah lebih afdhal bagi mereka.

Keizinan bagi wanita solat berjemaah di masjid tidak mutlak. Ia diikat dengan pelbagai syarat iaitu keizinan suami atau wali, tidak memakai bau- bauan dan tidak berhias dan tidak bercampur gaul dengan lelaki semasa solat berjemaah di dalam masjid. Syarak telah menentukan iaitu saf bagi wanita dalam solat berjemaah mestilah di belakang saf lelaki. Penentuan ini sabit melalui nas hadis seperti yang dinyatakan oleh Abdullah bin ‘ Abbas yang beliau mendirikan solat di sebelah Rasulullah SAW dan Aisyah r. a mendirikan solat bersama- sama di belakang mereka. Beliau berdiri di sebelah kanan Rasulullah SAW. Mereka menunaikan solat bersama- sama.

Syarat- syarat yang dikenakan dalam kes wanita solat berjemaah dengan lelaki ini menunjukkan bahawa pergaulan antara lelaki dan wanita adalah haram. Lebih- lebih lagi jika dihalusi persoalan kedudukan saf bagi wanita iaitu di belakang saf lelaki. Perkara ini bererti wanita tidak boleh berada dalam satu saf dengan lelaki. Kalau dalam solat yang suasananya penuh taqwa, jauh dari fitnah pun wanita tidak dibenarkan bergaul dalam satu saf dengan lelaki apatah lagi dalam situasi lain yang jauh lebih tidak taqwa dan lebih terdedah kepada fitnah, sudah semestinya tegahan bergaul dalam keadaan itu lebih ditegah. Kesimpualan yang dapat dibuat daripada tajuk kedua ini adalah pengharaman pergaulan lelaki dan perempuan adalah dirujukkan kepada nas yang melarang wanita bergaul dalam satu saf sewaktu melakukan solat berjemaah bersama lelaki di samping syarat- syarat yang lain. Hal ini bermakna kebolehan berlaku pergaulan dengan wanita dan lelaki ajnabi adalah bergantung kepada syarat boleh berlakunya solat jemaah wanita bersama lelaki. Dengan erti kata yang lain pergaulan wanita dan lelaki ajnabi bukan secara mutlak, tetapi boleh dengan syarat- syarat yang ditentukan.

2. 3. BATAS- BATAS PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN WANITA
Seperti yang kita semua sedia maklum, tipulah jika dunia ini tidak ada interaksi di antara lelaki dan wanita. Tidak berkembanglah sesuatu umat jika lelaki hanya berinteraksi dengan kaum lelakinya sahaja dan wanita berinteraksi dengan kaum wanitanya sahaja. Jikalau hal ini berlaku, tidak akan adalah generasi cucu cicit Nabi Adam di dunia ini. Dalam Islam, pergaulan di antara lelaki dan wanita diharuskan. Keadaan dan situasi yang dimaksudkan ialah darurat, hajat (keperluan), mashalat Syar’ ie dan kebiasaan adat setempat.

i. Pergaulan antara lelaki dan wanita kerana darurat
Dalam syarah Sahih Muslim, al- Imam al- Nawawi menyatakan bahawa tidak ada perbezaan hukum berkhalwat antara wanita dan lelaki ajnabi di dalam dan luar solat kecuali dalam keadaan darurat. Sebagai contoh, situasi di mana seorang wanita bersendirian dalam satu perjalanan yang mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang lelaki ajnabi bersama dengannya sekadar untuk membantu dan melindungi daripada bahaya.

Penjelasan al- Nawawi menyakinkan bahawa pergaulan wanita dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan wanita terbabit daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan- tujuan lain.

ii. Pergaulan antara lelaki dan wanita kerana keperluan
Pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi kerana hajat (keperluan) Syar’ ie adalah dibolehkan. Antara keperluan- keperluan Syar’ ie ialah :

- Pergaulan antara lelaki dan wanita untuk mengurus muamalah maliyah (urusan harta)
Pergaulan antara lelaki dan wanita untuk tujuan seperti jualbeli dan aktiviti transaksi lain dibolehkan kerana tabiat urusan jenis ini memerlukan berlakunya interaksi di antara dua pihak sebelum berlaku akad. Pergaulan semasa muamalah maliyah (urusan harta) dibolehkan dengan syarat menjaga batas- batas syarak seperti pakaian menutup aurat, menundukkan pandangan dan percakapan biasa.

- Pergaulan antara lelaki dan wanita semasa bekerja
Semasa melaksankan kerja, pada kebiasaannya berlaku pergaulan di antara lelaki dan wanita. Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat kedua- dua pihak menjaga batas- batas syarak seperti berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan, percakapan biasa yang tidak mengandungi unsur- unsur fitnah dan tidak berkhalwat.

Khalifah ‘ Umar al- Khattab pernah melantik al- Syafi, seorang wanita sebagai pegawai penguatkuasa di pasar untuk memerhati supaya tidak berlaku penyelewengan. Tabiat penguatkuasa di pasar menuntut pegawai terbabit bergaul dengan peniaga dan pembeli di pasar, lelaki dan wanita. Perlantikan wanita bekerja sebagai penguatkuasa menunjukkan pergaulan semasa kerja dibolehkan. Kalau pergaulan ini tidak dibolehkan pasti Khalifah ‘ Umar tidak melantik wanita bekerja sebagai penguatkuasa kerana tabiat kerja tersebut menuntut berlakunya pergaulan.

- Pergaulan di antara lelaki dan wanita semasa menjadi saksi
Wanita boleh bergaul dengan lelaki semasa menjadi saksi dalam kes- kes yang ditentukan oleh syarak bahawa wanita dibolehkan menjadi saksi seperti wanita harus menjadi saksi dalam kes- kes harta dan hak- haknya.

iii. Pergaulan mengikut kebiasaan adat dalam majlis
Pergaulan di antara lelaki dan wanita dalam majlis seperti kenduri kerana sesuatu dibolehkan dengan syarat menjaga batas- batas syarak seperti pakaian menutup aurat, tidak tabarruj, menundukkan pandangan, bercakap dengan suara biasa dan normal. Sekiranya batas- batas syarak tersebut tidak dipatuhi pergaulan di antara lelaki dan wanita tidak dibolehkan. Walaubagaimanapun, pengasingan tempat antara lelaki dan wanita semasa makan dan lainnya dalam majlis- majlis ini adalah lebih baik. Perkara ini didasarkan kepada kaedah “ Sadd al- Zari’ ah” (menutup pintu- pintu fitnah).

iv. Pergaulan di antara lelaki dan wanita semasa belajar
Pergaulan antara lelaki dan wanita semasa belajar dibolehkan dengan syarat mereka belajar dalam kumpulan di mana perkara ini dapat mencegah daripada berlakunya fitnah dan khalwat.

2. 3. 1. LANGKAH- LANGKAH PERGAULAN YANG BETUL ANTARA LELAKI DAN WANITA
 “ Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang – orang lelaki yang
beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.
Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesunguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan- perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”. (An- Nur: 30- 31)

§ Pertemuan itu hendaklah dalam suasana serius dan mengikut keperluan
§ Menahan pandangan daripada melihat aurat atau melihat bukan aurat dengan syahwat
§ Menghindari berjabat tangan
§ Memakai pakaian yang menepati syariat (menutup aurat)
§ Tidak bersesak- sesak dan elok jika ada pemisah
§ Menghindari khalwat (berdua- duaan) namun dibolehkan khalwat di kawasan awam yang ada orang ramai atau seorang lelaki dengan beberapa perempuan yang thiqah (boleh dipercayai dari sudut pegangan agamanya)
§ Tidak terlalu lama dan berulang
§ Menghindari tempat yang mencurigai
§ Menjauhi perbuatan dosa
§ Perempuan bercakap tidak menggunakan bahasa yang lunak dan gaya yang menggoda
§ Elakkan pergerakkan yang manja dan menggoda

2. 4. PUNCA- PUNCA BERLAKUNYA PERGAULAN BEBAS
Walaupun telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al- Quran dan hadis tentang bagaimana seseorang itu harus bergaul dengan kaum yang berlainan jantina dengannya, namun masih berlakunya pergaulan bebas di negara Islam terutama Malaysia. Perkara ini dapat kita lihat saban tahun melalui surat khabar dan media massa seperti televisyen dan radio. Pergaulan secara bebas di antara lelaki dan wanita telah menjadi perkara biasa dalam kehidupan kini. Soal maruah telah mereka tolak ke tepi. Di antara berlakunya bergaulan bebas adalah disebabkan oleh:

- Kurangnya perhatian dan didikan agama daripada ibu bapa terhadap anak mereka
Acapkali kita mendengar tentang permasalahan ini apabila ditanya kepada para remaja bagaimana mereka boleh terjebak dalam pergaulan bebas. Dan jawapan yang sering diberi adalah kurangnya perhatian dan juga didikan agama daripada kedua ibu bapa mereka. Apabila sesebuah keluarga telah terlepas pandang tentang perkembangan hidup anak mereka, maka bermulalah di saat itu seorang anak mencari perhatian dengan bergaul bersama- sama kawan yang dapat memahami masalah dan kehendak mereka. Maka apabila seseorang remaja perempuan berasakan rakan lelaki lebih memahami hidupnya dan memenuhi kehendaknya maka di situlah bermulanya pergaulan secara bebas di antara remaja perempuan itu dan lelaki itu tanpa memikirkan soal batasan dalam pergaulan mereka.

Kurangnya didikan agama yang diberi oleh ibu bapa kepada anak mereka juga menjadi punca berlakunya pergaulan bebas. Walaupun remaja tersebut di hantar ke sekolah agama dan diajar tentang agama, tetapi penekanan yang kurang daripada ibu bapa menyebabkan mereka rapuh dalam soal membabitkan pergaulan bersama jantina yang berlainan.

- Pengaruh rakan sebaya dan juga media massa
Pengaruh rakan sebaya juga menjadi faktor berlakunya pergaulan bebas tanpa batasan. Para remaja yang lemah imannya dan kurang cerdik akalnya akan mudah dipengaruhi oleh rakannya yang mempunyai ahklak yang buruk. Apabila remaja tersebut mempunyai sifat seperti di atas, memang tidak mustahil akan berlakunya pergaulan bebas dan mempunyai akhlak yang buruk disebabkan tiadanya pegangan iman yang kukuh dan juga tidak mahu dianggap kolot oleh rakannya yang lain. Telah diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang berbunyi :
“ Manusia itu (diukur) atas kelakuan temannya, sebab itu hendaklah seseorang kamu meneliti siapa orangnya yang diambil menjadi teman”.
 Dan sabdanya yang lain:
“ Awas anda berkawan dengan kawan yang jahat, nanti anda jadi sama seperti dia”.
Tambahan, media massa memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan para remaja. Media massa seperti televisyen yang menayangkan adegan pergaulan secara bebas menjadi faktor pendorong para remaja terjebak dalam gejala pergaulan bebas.

2. 5. KESAN- KESAN PERGAULAN BEBAS
Apabila berlakunya pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa sempadan, maka akan berlakulah kesan- kesan yang bukan sahaja akan memberi impak kepada para remaja tersebut tetapi juga kepada keluarga dan juga negara. Antara kesan pergaulan bebas adalah :

- Berlakunya zina dan lahirnya anak luar nikah
Apabila pergaulan antara lelaki dan wanita tidak dijaga, maksiat akan berlaku di antara mereka. Perkara ini kerana nafsu yang terdapat di dalam diri lelaki dan wanita tidak dapat dibendung apabila batasan pergaulan mereka tidak dijaga. Kita semua sedia maklum apabila duduk berdua yang ketiga pastinya syaitan. Maka apabila sudah berdua dan syaitan menjadi penghasut, nafsu tidak dapat dikawal maka akan terjadilah zina. Zina adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan Allah S. W. T selagi kita tidak bertaubat. Dan apabila Allah S. W. T ingin menguji penzina itu dengan menghidupkan benih lelaki dalam rahim perempuan itu maka akan mengandunglah penzina perempuan itu. Apabila ujian yang amat berat ini tidak dapat ditanggung oleh pasangan itu, maka akan terjadilah pembuangan bayi yang tersiar di dada- dada akbar. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan daripada pergaulan yang bebas tanpa mengenal batasan akan mencetuskan akibat yang besar kepada individu itu, keluarga dan negara.

- Terjadinya corak hidup para remaja yang tidak berkahwin dan tersebarnya penyakit- penyakit yang
membawa maut
Pergaulan bebas yang tidak terkawal akan mewujudkan satu corak hidup yang baru di mana para pemuda- pemudi tidak mahu berkahwin. Perkara ini ada rasionalnya kerana apabila cara hidup mereka telah biasa mendapat apa yang mereka inginkan tanpa mempunyai ikatan yang sah, kenapa harus mereka memberatkan fikiran mereka memikirkan untuk ke jinjang pelamin. Bersentuh- sentuhan, hidup bersama di dalam satu rumah tanpa ikatan yang sah dan melakukan hubungan seks bersama individu yang berlainan telah dapat mereka nikamti tanpa ada ikatan yang sah. Perkara ini terjadi disebabkan oleh kolotnya para remaja sekarang yang tidak tahu akan bahana pergaulan bebas yang melampau. Di sini dapat kita simpulkan bahawa pergaulan bebas memberikan impak yang terlalu besar kepada sesebuah masyarakat dan negara.

contoh yang dapat kita lihat adalah di sebuah bandar yang gah di mata dunia iaitu San Fransisco yang melakukan statistik di mana menunjukkan bahawa majoriti penduduk di situ terdiri daripada golongan yang tidak berkahwin pada tahun 1982. Ini merupakan kali pertama perkara seumpama ini berlaku di bandar itu disebabkan oleh pergaulan bebas yang ada di bandarnya. Bayangkan negara barat yang terkenal dengan kebebasan tanpa sempadan ini juga terkejut dengan penemuan mereka apatah lagi di negara kita yang terkenal dengan agama Islam yang menjadi agama rasmi kita.

Selain itu, penyakit berjangkit yang berbahaya akan menular dalam sesebuah masyarakat itu. Telah kita ketahui sejak kita memasuki sekolah rendah iaitu apabila melakukan perhubungan seks tanpa ikatan yang sah dan bertukar- tukar pasangan, nescaya akan terjadinya penyakit yang amat berat untuk ditanggung iaitu penyakit kelamin, HIV dan AIDS. Kanser rahim dan serviks juga akan menyerang kaum wanita di saat mereka telah melakukan hubungan seks sejak di awal usia mereka. Perkara ini dapat kita hindari dengan mengehadkan pergaulan kita bersama kaum yang berlainan jantina dengan kita. Tanpa kita sedari, pergaulan bebas adalah punca terjadinya permasalahan yang amat besar dalam kehidupan kita.

2. 6. STATISTIK SEMASA
Kesan daripada pergaulan bebas yang tidak terkawal di Malaysia maka tercetuslah masalah kelahiran anak yang tidak sah tarafnya di negara ini. Di sini kami ingin kemukakan statistik anak luar nikah di Malaysia pada tahun 2000 sehingga 2007.

Mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000- 2007, ada sebanyak 257, 411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa. Ia dikeluarkan sedemikian rupa sebab anak-anak berkenaan tidak mempunyai sah taraf atau anak luar nikah.

Ia juga telah disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan lisan R. Sivarasa (PKR Subang) semasa sesi soal jawab Dewan Rakyat pada 29hb Oktober 2008 untuk mengesahkan perkara ini. Kata beliau, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 229, yang tidak membenarkan pendaftar mencatat nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf atau luar nikah kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa.

Angka yang melebihi 200 ribu dalam masa tujuh tahun yang singkat itu adalah cukup banyak. Itu tidak termasuk dengan anak luar nikah yang dibenarkan didaftar di bawah nama orang yang mengaku ayah atas dasar persetujuan bersama.
Statistik Anak Luar Nikah di Malaysia
bagi tahun 2000- 2007
Mengikut Pangkalan Data Jabatan Pendaftaran Negara

2. 7. PENYELESAIAN MENGIKUT KONTEKS ISLAM
Setiap permasalah yang berlaku pasti akan ada jalan penyelesaiannya. Perkara ini juga sama dengan pergaulan bebas yang semakin berleluasa di negara kita Malaysia.

Cara untuk menangani masalah pergaulan bebas mengikut konteks Islam adalah :

i. Menjadikan Rasulullah SAW sebagai model yang patut dicontohi
Kita semua sedia maklum Rasulullah SAW merupakan model yang paling sempurna untuk dicontohi tidak kiralah dari segi ahklaknya, ibadahnya dan sebagainya. Kenabian itu adalah sesuatu tugas taklifiyah (kerahan) dan bukannya tugas iktisabiyah (usahaan) kerana Allah S. W. T itu lebih mengetahui di mana semestinya Dia meletakkan tanggungjawab perutusan itu. Dia lebih maklum siapa yang mesti dipilihnya dari manusia untuk menjadi Rasul- rasul yang akan membawa berita gembira dan berita ancaman-Nya. Oleh disebabkan itulah AlLAH S. W. T telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menjadi ‘ qudwah shalihah’ atau tauladan yang baik bagi kaum muslimin di sepanjang pergolakan sejarah dan juga sebagai cahaya yang menerangkan dan bulan penyuluh dan pembimbing kepada seluruh bangsa manusia pada setiap zaman dan tempat.

Allah S. W. T telah berfirman :
“ Sesungguhnya bagi diri kamu dari Rasulullah itu contoh tauladan yang baik”. (Al- Ahzab : 21)

Oleh yang demikian, para remaja haruslah menjadikan Rasulullah SAW sebagai model yang patut mereka contohi dan bukannya artis yang mereka lihat saban hari di kaca televisyen seperti Scha Al- Yahya, Rebacca Nur Al- Islam, Nabil dan Awal Ashaari. Dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai model hidup kita, nescaya tidak akan berlakulah pergaulan yang teruk di antara lelaki dan wanita. Hal ini kerana dengan akhlak yang mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, pastinya para remaja berasa malu untuk melakukan perkara yang ditegah oleh Allah S. W. T dan pastinya akan menjaga maruah dan pergaulan mereka dalam seharian. Apabila ini terjadi tidak akan berlakulah pergaulan bebas yang berleluasa di Malaysia.

ii. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan menunjukan contoh teladan yang baik
Kita pastinya pernah mendengar pepatah yang mengatakan jika ingin meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Perkara ini sama dengan peranan ibu bapa dalam mendidik anak mereka sedari awal agar akhlak mereka terpelihara daripada segala unsur negatif seperti yang tercatat di dalam buku Pendidikan Anak- anak Dalam Islam karya Abdullah Nasih Ulwan mengatakan contoh teladan di dalam membentuk anak adalah di antara cara- cara berkesan yang banyak manfaatnya pada melengkapkan si anak itu dari segi akhlaknya serta membentuknya dari segi rohani dan sosialnya. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa adalah contoh tauladan yang paling utama dan baik sekali dalam pandangan si anak.

Apabila ibu bapa menunjukan contoh dan teladan yang mantap dengan mempamerkan akhlak yang mulia, pastinya si anak akan meniru perlaksanaannya dan mempamerkan akhlak yang dicontohi daripada ibu bapanya kepada orang lain pula, sama ada dia sedar atau tanpa sedar. Secara tidak langsung juga tabiat dan perasaannya gambaran kata- bicara dan perilaku ibu bapa itu secara rohaniah dan maknawiahnya, sama ada si anak itu tahu atau tidak tahu.

Perkara ini dapat disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam menunjukkan contoh teladan yang baik kerana contoh teladan yang baik yang ditunjukan itu akan menjadi suatu gejala yang amat penting sekali dalam kelurusan si anak atau kebengkokannya. Oleh yang demikian, aktiviti pergaulan bebas pastinya dapat dicegah dan dibanteras jika si anak mendapat pendidikan teladan yang baik sejak dari bayi lagi. Semuanya bermula di rumah.

3. 0. CADANGAN
Ibu bapa, masyarakat dan pemerintah memainkan peranan yang amat penting dalam membanteras gejala pergaulan bebas dan mencegah para remaja daripada menjadikan aktiviti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita tanpa batasan sebagai satu budaya. Di dalam pelajaran Prinsip- prinsip Asas Islam (CTU 101) di bawah tajuk Syariah Dalam Kehidupan Muslim, telah diterangkan di bawah sub- topik Maqasid Syariah/ Objektif Syariah (Perlaksanaan) iaitu dalam dalam aspek perlaksanaan kepada perintah dan larangan Allah S. W. T. syariah Islam terbahagi kepada tiga iaitu :

- Kewajipan yang menjadi tanggungjawab individu serta harus dilaksanakan di peringkat individu

- Perintah di mana perlaksanaan dianjurkan supaya dilakukan secara kolektif atau berjamaah

- Perintah yang tidak mampu atau boleh dilaksanakan di peringkat individu mahupun kolektif tetapi ianya menjadi tugas serta kewajipan pemerintah

3. 1. PERANAN INDIVIDU
Peranan yang patut dimainkan oleh seseorang individu itu dalam mencegah dan membanteras pergaulan adalah dengan memilih teman yang boleh diikuti dari segi akhlaknya. Apabila memilih teman, pastikanlah teman yang dipilih itu dapat membimbing kita dengan baik dan sentiasa mengingatkan kita tentang kebaikan dan keburukan apabila melakukan sesuatu perkara. Teman yang baik adalah teman yang mengajak ke arah amal makruf dan mencegah kita dari melakukan nahi mungkar.

Perkara ini dapat dikaitkan dengan cara untuk mencegah dari terjebak dalam pergaulan bebas. Apabila kita bijak memilih teman, pastinya istilah pergaulan bebas tidak ada dalam kamus hidup kita. Pemilihan teman yang baik akhlak dan budi pekertinya adalah tonggak untuk kita terhindar daripada pergaulan bebas.

Antara lain, sebab individu haruslah sentiasa beristighfar dan bertaubat apabila melakukan dosa sama ada sekecil- kecil zarah atau sebesar- besarnya. Dengan bertaubat, hati kita dapat dijaga daripada unsur yang negatif dan sentiasa bermuhasabah diri. Selain itu, akan bertambah kuatlah iman dan keyakinan kita kepada Allah S. W. T dan apabila rakan kita mengajak kea rah maksiat terutama ke arah pergaulan bebas pastinya kita dapat menolak dan mengatakan ‘ TIDAK’ kepada ajakannya.

3. 2. PERANAN MASYARAKAT
Untuk membanteras pergaulan bebas daripada berleluasa di negara tercinta kita, Malaysia, masyarakat harus memainkan peranannya. Ini dapat kita lihat dalam seluruh perintah dalam Al- Quran yang ditujukan secara kolektif dikategorikan sebagai tanggungjawab bersama setiap umat Islam. Contohnya seperti perintah melakukan dakwah, jihad, menegakan amal makruf dan nahi mungkar serta tuntutan- tuntutan fardhu kifayah yang lain.

 Masyarakat memainkan peranan dengan memberi nasihat kepada golongan remaja yang telah terjerumus dalam aktiviti pergaulan bebas atau yang ingin menceburkan diri dalam aktiviti ini juga.

 Masyarakat juga haruslah menjadi mata- mata kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar norma- norma masyarakat kita. Masyarakat haruslah tampil ke hadapan dan berani menegakan kebenaran.


3. 3. PERANAN PEMERINTAH/ NEGARA
Perintah yang tidak mampu atau boleh dilaksanakan di peringkat individu mahupun kolektif tetapi ianya menjadi tugas serta kewajipan pemerintah. Perintah ini selalunya bersangkutan dengan perlaksanaan hukum bagi kesalahan jenayah seperti hudud, qisas dan ta’ zir. Perkara ini bermaksud apabila aktiviti pergaulan bebas tidak dapat dicegah dan dibanteras pada peringkat individu dan masyarakat, maka pemerintah haryslah memainkan peranannya. Peranan yang boleh diambil oleh pemerintah untuk mencegah dan membanteras aktiviti pergaulan bebas ini adalah dengan mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah- pesalah ini. Hal ini kerana dengan hukuman yang diberikan pastilah pesalah ini tidak akan mengulangi kesalahannya dan sedikit sebanyak perasaan insaf akan terbit di dalam diri individu itu. Tetapi hukuman yang dilaksanakan haruslah dilaksanakan dengan tegas dan tidak memilih kasih. Pemerintah yang berjaya adalah pemerintah yang dapat membentuk rakyatnya mengamalkan amal makruf nahi mungkar dalam kehidupan mereka.

4. 0. KESIMPULAN
Kesimpulannya, semua pihak haruslah memainkan peranan mereka sebaik- baiknya kerana jika aktiviti pergaulan secara bebas tidak dibendung, pastinya masalah yang lagi besar akan menimpa individu, masyarakat dan juga negara.

Selain itu, seperti yang kita lihat pergaulan bebas ini memberikan impak yang negatif berbanding positif dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Individu tersebut akan terjerumus ke arah penzinaan, masyarakat pula terpaksa menahan malu melihat kedangkalan individu ini dalam menyelesaikan masalah mereka seperti membuang bayi dan negara pula terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk peruntukan untuk membina tempat perlindungan bagi remaja perempuan yang mengandung anak luar nikah dan bayi yang dibuang. Semua ini tanpa kita sedari, hanya satu aktiviti, ia melibatkan seluruh pihak di sesebuah negara.

Antara lain, dalam mencegah pergaulan bebas daripada berleluasa, ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka dengan menunjukan contah tauladan yang baik kepada anak mereka sedari anaknya masih bayi. Seperti kata pepatah mencegah lebih baik daripada merawat. Para remaja juga haruslah mengambil inisiatif dengan lebih mempelajari agama Islam dan mengukuhkan iman mereka agar tidak terpesong dari landasannya.

Kesimpulannya, pergaulan bebas tidak akan terjadi jikalau semua pihak membanting tulang mencegah aktiviti ini daripada berleluasa dan tiada sifat pentingkan diri dalam diri mereka. Kita haruslah mencegah perkara ini daripada ia terus merosakan akhlak remaja kita dan janganlah kita tunggu sehingga Allah S. W. T yang menurunkan bencananya. Wallahualam.
Adat bersendi syarak,
syarak bersendi kitabullah.. bermaksud : Pergaulan di dalam masyarakat hendaklah sesuai dengan adat dan syarak. Kitabullah = Quran

------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com