Disediakan Untuk :
Ustaz Abdul Aziz Bin Harjin
Disediakan Oleh :
Nur Athirah Binti Mukhtar
Pengenalan Ramadhan
Setiap umat Islam menantikan Ramadhan
kerana ia menyimpan jutaan pahala dan keberkatan yang tidak ada pada bulan yang
lain. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R. A bahawa
Rasulullah S. A. W bersabda yang bermaksud : “ Sudah datang kepadamu bulan
Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kamu semua berpuasa dalam
bulan itu. Pada Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan dikunci semua pintu
neraka. Pada bulan itu syaitan dibelenggu. Di dalamnya ada satu malam yang
lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang diharamkan kebajikannya, bererti
diharamkan segala rupa kebajikan. ”
Justeru sempena kedatangan Ramadhan,
masyarakat Islam digesa membuat persediaan terutama dengan menghayati beberapa
perkara berkaitan bulan itu termasuklah kelebihan beramal, amalan sunat, dan
teladan kisah daripada Rasulullah S. A. W serta sahabat.
Antara persediaan yang dituntut
menjelang Ramadhan ialah :
1) Setiap perkara berkaitan puasa di
ulangkaji seperti hukum berpuasa, adab berpuasa dan hikmahnya agar ia dapat
dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
2) Banyakkan doa agar ditambahkan
kekuatan, kelapangan, kesempatan, dan keikhlasan untuk menempuh Ramadhan.
3) Mencegah diri daripada melakukan
pembaziran seperti berbelanja lebih ketika berbuka.
4) Disambut dengan penuh keazaman
untuk melipatgandakan amalan.
5) Mengetengahkan rasa senang dan
gembira menyambut Ramadhan.
Bulan Ramadhan merupakan satu bulan
yang paling mulia dan besar darjatnya. Dalam bulan ini juga, al-Quran
diturunkan sebagai hidayah dan petunjuk kepada seluruh umat manusia dan di
bulan ini juga terdapat malam yang penuh keberkatan dan kerahmatan iaitu malam
“Lailatul Qadar ” yang mempunyai kelebihan kerohanian lebih daripada seribu
bulan.
Pengenalan Puasa
Dari segi bahasa, puasa bererti
menahan diri atau menguasainya. Dari segi istilah pula, menahan diri daripada
makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya mulai terbit fajar
hingga terbenam matahari.
Puasa terbahagi kepada dua iaitu :
1) Puasa wajib : puasa pada bulan
Ramadhan serta puasa qada’, puasa kifarat dan puasa nazar.
2) Puasa sunat : hari Isnin dan
Khamis, puasa enam (di bulan Syawal), puasa hari Arafah, hari ‘Asyura,
hari-hari putih (hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan), hari Mi’raj dan puasa
satu hari dalam bulan Muharam, Rejab, Zulqa’edah, Zulhijjah dan Syaaban.
Hari yang diharamkan puasa ialah pada
Hari Raya Pertama Aidilffitri dan Aidiladha, serta tiga hari sesudah Aidiladha
(hari tasyrik) iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Firman Allah S. W. T di dalam surah
al-Baqarah :
“ Wahai orang-orang yang beriman,
diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang
sebelum kamu agar kamu bertakwa. ”
Puasa bulan Ramadhan adalah rukun
Islam yang ketiga yang wajib ditunaikan oleh orang Islam yang cukup syarat.
Rukun Islam merupakan asas keislaman seseorang. Tidak sempurna seseorang jika
tidak menyempurnakan rukun yang lima itu dengan baik dan betul. Ibadah puasa
adalah satu ibadah yang paling istimewa. Allah S. W. T. menilai pahala dan
ganjarannya merangkumi aspek-aspek berikut :
1) Puasa bukanlah amalan yang boleh
dilihat, kerana amalan ini berkisar pada keikhlasan seseorang muslim untuk
menahan dirinya daripada makan minum dan melawan hawa nafsunya. Jika sembahyang
dan ibadah-ibadah yang lain dapat dilihat, tetapi bagi ibadah puasa hanya Allah
S. W. T. sahaja yang mengetahuinya.
2) Puasa merupakan satu benteng
pertahanan yang dapat menangkis serangan dan musuh Allah. Lantaran jalan
syaitan itu ialah melalui syahwat dan hawa nafsu yang sentiasa inginkan kepada
makanan dan minuman yang berlebihan.
Kategori puasa
Puasa terbahagi kepada tiga kategori :
1) Puasa umum : Darjat puasa seseorang
yang sekadar menahan perut dan farajnya dari mengecapi kesyahwatan, mulai
terbit fajar sehingga terbenam matahari. Puasa yang paling banyak sekali
dikerjakan orang dengan menyangka bahawa mereka telah berjaya mengerjakan
ibadah puasa. Rasulullah S. A. W. pernah mengingatkan akan keadaan sekian ramai
orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperolehi sesuatu dari puasanya, selain
daripada lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).
2) Puasa khusus : Puasa ini lebih
tinggi darjatnya. Puasa ini merupakan puasa anggota lahir dari sebarang dosa
seperti menahan pendengaran daripada mendengar perkara-perkara yang tidak
memberi faedah, menjaga penglihatan daripada melihat benda-benda yang dilarang
oleh agama dan menjaga lidah daripada bercakap mengenai perkara-perkara yang
tidak berfaedah. Selain dari itu tidak melakukan maksiat, tidak meludah, tidak
makan dan minum berlebihan (sewaktu berbuka), tidak boros berbelanja dan tidak
banyak tidur di siang hari.
3) Puasa Khususul Khusus : Berpuasa
dengan menyertakan semua perbuatan yang tersebut di atas tadi dan disertai
dengan berpuasanya daripada cita-cita kotor dan pemikiran-pemikiran duniawi.
Dengan yang demikian akan bersihlah seseorang itu daripada apa sahaja yang
tidak sesuai dengan iman dan keikhlasan.
Syarat wajib puasa
1) Beragama Islam
2) Berakal. Orang yang gila tidak
wajib berpuasa.
3) Baligh (cukup umur). Biasanya 15
tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan.
Sabda Rasulullah S. A. W. yang
mafhumnya :
“ Tiga orang yang terlepas
daripada hukum ialah orang yang sedang tidur sehingga ia bangun, orang gila
sampai ia sembuh, kanak-kanak, sampai ia baligh. ”
4) Berdaya (berkuasa) mengerjakan
puasa. Orang yang tidak berdaya kerana sudah tua atau sakit, tidaklah wajib ke
atasnya berpuasa.
5) Menetap di suatu tempat atau
bermukim.
Fadhilat Puasa
Fadhilat (keutamaan) puasa ialah
kesannya yang dapat membentuk peribadi yang baik dan mulia. Fadhilat-fadhilat
yang lain ialah :
1) Puasa mengajar kita bersabar iaitu
dalam melaksanakan ibadah kepada Allah S. W. T. Puasa juga melatih kita supaya
sabar menempuh dugaan dengan syaitan yang merupakan punca kejahatan dan
maksiat.
2) Puasa dapatmelahirkan perasaan insaf
dan berperikemanusiaan sebagai seorang hamba Allah. Seseorang akan merasai
betapa penat dan letihnya untuk menahan lapar dan dahaga. Ini membuatkan ia
akan terfikir, bagaimanakah keadaan orang-orang miskin yang ketiadaan atau
kekurangan makanan. Apabila perasaan ini tercetus di dalam hati, maka perasaan
insaf, ihsan, sikap tolong menolong dan sikap toleransi akan sedikit sebanyak
tumbuh di hati kecil mereka.
3) Menjauhkan maksiat zahir dan batin.
Seseorang muslim akan menjauhkan dirinya dari perkara-perkara yang mengurangkan
pahala puasa seperti melihat wanita dengan syahwat, mencela, mengumpat,
mencuri, dengki dan lain-lain lagi.
4) Menjadikan orang-orang Islam
berdisiplin. Orang yang berpuasa wajib mengikut syarat-syaratnya dan menahan
diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Bila manusia
muslim mengikut ajaran Islam, maka ia mempunyai identiti yang baik dan
berperibadi tinggi.
5) Puasa juga dapat mengawal hati. Puasa
merupakan satu ibadah yang memperlihatkan keagungan Allah dan kehambaan
manusia.
6) Puasa merupakan satu amanah Allah.
Melalui jalan berpuasa kita sebenarnya telah menunaikan satu amanah Allah. Oleh
itu ternyatalah puasa membentuk kita bersifat amanah dan bertanggungjawab yang
merupakan satu peribadi yang patut disanjungi tinggi.
7) Puasa baik untuk kesihatan. Mengikut
ahli-ahli sains dan pakar-pakar perubatan, puasa menolong mencapai kesihatan
yang baik kerana makanan yang lebih selalunya disimpan di dalam organ-organ
badan seperti limpa, hati dan di bawah kulit. Dengan berpuasa, makanan yang
disimpan itu akan digunakan untuk menjalankan pelbagai proses di dalam badan.
8) Orang yang berpuasa akan terhindar
daripada bersikap malas. Biasanya orang yang menghidapi penyakit malas ialah
orang yang perutnya penuh sesak dengan makanan. Perut yang terlalu kenyang akan
menyebabkan fikiran ‘lalai’.
9) Puasa dinilai baik disisi Allah.
Lantaran itu orang yang berpuasa akan diampun segala dosa-dosa kecilnya.
Rasulullah S. A. W. bersabda yang mafhumnya :
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana
beriman dan mencari keredhaan Allah, maka diampunkan segala dosa-dosanya yang
lalu. ”
Oleh kerana Allah telah menawarkan
janji-janji yang istimewa bagi orang-orang yang berpuasa dan orang-orang yang
melakukan amalan-amalan yang baik di dalam bulan puasa, maka akan membuatkan
manusia berkeinginan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang terbaik di
peringkat yang maksima.
10) Mengeratkan persahabatan atau
ukhuwwah Islamiah. Ketika mereka berkumpul membaca al-Quran secara tadarrus dan
sewaktu bersembahyang terawih beramai-ramai di masjid-masjid dalam bulan
Ramadhan.
Orang yang tidak dibenarkan berpuasa
Dari Anas bahawa Rasulullah S. A. W.
bersabda yang mafhumnya :
“ Sesungguhnya Allah azza wa jalla
telah melepaskan orang yang musafir dari kewajipan berpuasa dan sebahagian dari
sembahyang. Begitu juga terhadap perempuan yang hamil dan yang menyusukan anak,
Allah telah melepaskan kewajipan puasa dari kedua-duanya. ”
Dari keterangan hadis di atas,
menerangkan sebahagian dari golongan yang tidak dibenarkan berpuasa. Di antara
golongan tersebut ialah orang yang dalam perjalanan yang jauhnya lebih dari
81km (menurut mazhab Maliki, Shafie, dan Hanbali) dan tiga hari berjalan kaki
dari pagi hingga ke tengahari atau 120km (menurut mazhab Hanafi)
Perempuan yang hamil atau yang
menyusukan anak juga wajib tidak berpuasa, sekiranya takut mudarat kepada
dirinya sendiri atau beserta anaknya. Tetapi ia wajib qada’ sama halnya seperti
orang sakit. Tetapi jika ia tidak berpuasa lantaran melindungi kemaslahatan
anak sahaja, maka wajiblah ia qada’ puasa dan membayar fidyah untuk fakir
miskin.
Orang yang sakit tidak dibenarkan
berpuasa apabila tidak berdaya. Ini adalah kerana jika ia meneruskan puasanya
dibimbaangkan akan bertambah sakitnya atau melambatkan sembuhnya. Orang-orang
ini hendaklah mengqada’ puasa apabila sembuh.
Begitu juga dengan orang tua yang
sudah lemah tidak kuat lagi berpuasa kerana tuanya, atau kerana memang lemah
kerana kejadiannya, maka ia bolehlah berbuka. Tetapi ia wajib membayar fidyah
sebanyak satu mud atau secupak atau yang sama dengan beras dari jenis makanan
yang mengenyangkan kepada fakir dan miskin.
Kewajipan-kewajipan Lahiriah Puasa
Enam perkara lahiriah puasa :
Meneliti datangnya permulaan bulan
Ramadhan dengan rukyah iaitu dengan melihat anak bulan. Jika tidak kelihatan,
maka genaplah bulan Syaaban 30 hari. Rukyah atau melihat itu mestilah melalui
ilmu pengetahuan dan ini dapat disahkan dengan penyaksian seorang adil. Untuk
penyaksian permulaan Syawal atau anak bulan Syawal, dihukumkan tidak sah
melainkan dengan dua saksi adil, mengambil hukum yang lebih berat untuk
menyempurnakanibadat puasa.
Niat puasa pada setiap malam mestilah
ia berniat-niat yang khas dan tetap bagi kefardhuan puasa kerana Allah Taala.
Menahan diri daripada menyampaikan
sesuatu benda ke dalam perutnya dengan sengaja, tidak terlupakan dirinya sedang
berpuasa. Kalau dilakukan yang sedemikian, maka rosaklah puasanya iaitu dengan
makan atau minum. Memasukkan sesuatu ke dalam lubang hidung aatau dubur. Tidak
batal dengan suntik, berbekam, bercelak, memasukkan pembersih ke dalam telinga
atau melalui zakar ataupun sampai ke perut tanpa disengajakan seperti debu
jalan ataupun seekor lalat termasuk ke dalam perutnya. Jika air masuk ke dalam
perut disebabkan berkumur-kumur tidak membatalkan puasa, kecuali jika dia
terlalu kerap dan banyak berkumur-kumur, maka perbuatan serupa itu membatalkan
disebabkan kecuaian.
Menahan diri dari persetubuhan tetapi
sekiranya dia bersetubuh dengan terlupa, maka tidak dikira batal. Sekiranya ia
bersetubuh di sebelah malam ataupun ia bermimpi sehingga dia menjadi seorang
yang junubdi sebelah paginya, maka tiadalah batal puasanya.
Menahan diri dari berbaringan dengan
isteri, sehingga mengeluarkan mani dengan tujuan untuk bersetubuh ataupun
tidak, sebab kelakuan itu membatalkan puasa. Bercumbuan dengan isteri tidak
membatalkan puasa selagi tidak mengeluarkan air mani tetapi perbuatan sebegitu
adalah makruh.
Menahan diri dari muntah, sebab
sengaja mengeluarkan muntah dari perutnya membatalkan puasa, tetapi kalau
termuntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah batal puasanya. Sekiranya
tertelan kahak dari kerongkongnya atau dari dadanya maka tidaklah batal
puasanya kerana keringanan tidak dapat ditahan, melainkan kalau ia menelannya,
sesudah kahak itu sampai ke tengah mulutnya maka hal itu akan membatalkan
puasanya.
Perkara yang Harus Dilakukan Apabila
Batal Puasa
Qada’ puasa : Kewajipannya umum ke
atas setiap Muslim mukallaf yang meninggalkan puasa dengan uzur ataupun tanpa
uzur. Contohnya perempuan yang datang haid, harus qada’ kan puasanya, demikian
pula orang yang murtad. Orang kafir, anak kecil dan orang gila tidak wajib
qada’ puasanya.
Kaffarah : Berlaku hanya ke atas orang
yang bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan. Kaffarah yang dikenakan ialah
memerdekakan seorang hamba sahaya. Kiranya ia tidak mempunyai wang untuk
menebus seorang hamba sahaya, maka ia wajib berpuasa dua bulan berturut-turut.
Jika tidak mampu, hendaklah ia memberi makan kepada 60 orang miskin, setiap
orang satu cupak beras.
Mengeluarkan fidyah : bagi orang yang
mengandung atau ibu yang masih menyusukan anaknya kerana khuatir kemudaratan ke
atas bayi jika berpuasa. Maka dikeluarkanlah fidyah kerana tiada berpuasa itu,
setiap hari satu cupak beras kepada seorang miskin kemudian puasa itu
diqada’kan. Begitu pula dengan orang tua yang sudah lanjut usianya, tiada mampu
untuk berpuasa, dikeluarkan fidyah secupak beras bagi setiap hari yang
ditinggalkan.
Rahsia Puasa dari Aspek Spiritual
Memejamkan mata dan menahannya dari
meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama
dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati seperti melalaikannya
dari berzikir dan mengingat kepada Allah dan Rasulullah S. A. W.
Memelihara lidah dari bercakap bohong,
mencaci, maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riak. Memelihara
pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang
haram diucapkan, haram pula didengarkan.
Memelihara seluruh anggota yang lain
dari membuat dosa seperti tangan dan kaki, memeliharanya juga dari segala yang
dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang syubhat
waktu berbuka puasa.
Janganlah membanyakkan makan waktu
berbuka puasa sekalipun dari makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau
kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah S. W. T. daripada
perut yang penuh dengan makanan yang halal. Kadangkala makanan yang disediakan
itu berbagai-bagai rencamnya, seperti menjadi semacam adat pula di kemudian.
Hendaklah hatinya merasa bimbang
antara takut dan harapan, kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu
diterima oleh Allah S. W. T, sehingga tergolonglah ia ke dalam golongan
muqarrabin (hampir kepada Allah).
KESIMPULAN
Dari keterangan di atas jelaslah
kepada kita bila masanya diutamakan puasa, maka untuk menyempurnakannya hendaklah
setiap manusia Muslim memahami pengertian puasa yang sebenarnya dan rahsianya
dalam menjernihkan hati dan meringankan kesusahan yang dilakukan semata-mata
kerana Allah S. W. T. sahaja.
Moga dengan pelaksanaan dan fadhilat
puasa, dapatlah kita memperbaiki peribadi masing-masing dalam bulan yang penuh
berkat ini. Moga-moga puasa kita ini bukanlah puasa yang hanya mendapat lapar
dan dahaga tetapi juga menahan diri daripada sesuatu yang membatalkannya samada
yang berbentuk lahiriah ataupun batiniah.