Tamadun Islam


NAMA PENYELIA: 
USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN

FAKULTI: 
PENGURUSAN PERNIAGAAN

DISEDIAKAN OLEH: 
WAHIDAH BINTI HUSSIN 2011395271

TARIKH HANTAR:
12 SEPTEMBER 2012

SETULUS PENGHARGAAN

 Pertama sekali, saya ingin melahirkan syukur ke hadrat Allah di atas segala petunjuk dan hidayah-Nya. Alhamdulillah, tugasan ini telah berjaya disiapkan dengan ilham, kurnia dan petunjuk yang telah dianugerahkan oleh-Nya. Saya Wahidah bt Hussin telah dipertanggungjawapkan untuk menyempurnakan tugasan yang diberi iaitu kertas kerja Tamadun Islam dan Tamadun Asia(TITAS). Dengan ini kami dengan berbesar hati ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Abd. Aziz bin Harjin selaku pensyarah kami yang terlalu banyak membantu, membimbing dan juga sebagai pemudahcara kami sepanjang proses menyiapkan tugasan ini. Tanpa tunjuk ajar yang begitu jitu dan padu daripada beliau, mana mungkin kami dapat menyiapkan tugasan ini dengan jayanya. Seterusnya terima kasih kepada ibubapa kami yang telah memberi sokongan dan dorongan. Tidak lupa juga untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberi semangat disamping berkongsi idea-idea yang bernas pada masa kami ketandusan idea.
Terima kasih sekalung budi.

Pengenalan

 Sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini, kita perlulah berpengetahuan luas tentang tamadun. Tamadun mempunyai banyak maksud dan mempunyai satu persamaan iaitu suatu disiplin ilmu yang penting kepada semua manusia. Tamadun berasal dari bahasa Arab iaitu al-madaniyyah. Tamadun juga berasal dari bahasa inggeris iaitu Civilization, Culture, Renaissance. Tamadun dari segi pengertian, menekankan dua perkara yang penting iaitu kehalusan budi pekerti dan pembangunan perbandaran atau penempatan. Gaya peradaban dan ketamadunan yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun contohnya, mengambil kira segala segi kehidupan termasuk rohani, fizikal, spiritual dan fitrah manusia. Sesebuah tamadun lazimnya dipengaruhi oleh kepercayaan, agama, budaya dan bangsa. Oleh sebab itu, sesebuah tamadun yang dibangunkan berpotensi untuk berkembang atau merosot. Dalam keadaan dunia yang maju, sesebuah tamadun mungkin akan bertembung dengan tamadun yang lain. Oleh itu, mencari dan memahami persamaan dan perbezaan antara tamadun yang lampau dan sementara, amat penting terutamanya dalam persoalan berkait dengan semua contohnya alam sekitar, keluarga, masyarakat, negara dan lain-lain. Selain itu, interaksi antara tamadun merangkumi pelbagai bentuk seperti interaksi dalam lingkungan budaya yang sama, interaksi budaya yang berbeza dan interaksi antara tamadun yang kuat dan lemah. Interaksi ini boleh mendatangkan dua kesan iaitu kesan positif dan kesan negatif. Bagi menanganikesan negatif, dialog antara peradaban dianjurkan. Prinsip dan etika dialog perlulah dipatuhi bagi memastikan dialog berkesan dengan jayanya.

Pengenalan tamadun islam :
 Kelahiran tamadun islam adalah daripada islam itu sendiri. menurut Syed Qutb, islam itu lah tamadun. Oleh itu, untuk memahami tamadun islam, kita perlulah memahami islam itu terlebih dahulu. Islam merupakan ajaran yang dibawa dan disampaikan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul semenjak Nabi Adam A. S. sehinggalah rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Untuk mengajak manusia beriman kepada Allah S. W. T Tuhan Yang Esa, pencipta dan pemilik segala yang ada di bumi dan di langit seluruhnya. Dalam sejarah ketamadunan manusia, Allah mengutuskan rasul dan nabi silih berganti untuk mengajak dan mengembalikan manusia mengikut jalan kehidupan yang benar. Tanpa petunjuk dari Allah S. W. T, manusia akan sesat kerana akal fikiran dan pengalaman manusia amat terbatas. Islam berbeza dengan agama-agama yang lain kerana agama islam tidak sekadar agama yang mengatur hal-hal kerohanian bahkan ia meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Islam adalah cara hidup yang menjadi panduan dalam semua perkara termasukla hal-hal keduniaan dan hal-hal kerohanian.


Pandangan semesta tamadun islam :
 Merangkumi tiga aspek iaitu konsep keimanan, konsep kekuasaan dan konsep kemanusiaan. Konsep keimanan bererti Allah adalah pencipta manusia dan manusi adalah hambanya. Konsep kekuasaan pula ialah manusia adalah pemegang amanah dan penggerak tamadun. konsep ini dapat mengawal sebarang bentuk penyelewengan, penindasan dan kezaliman apatah lagi pengkhianatan terhadap amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Yang terakhir ialah konsep kemanusiaan iaitu bermaksud manusia adalah makhluk Allah yang bererti manusia adalah makhluk yang diberi tanggungjawab dan kewajipan –kewajipan tertentu yang harus dilaksanakan.

Sumber tamadun islam :
 Tamadun islam dibangunkan berpandukan dua sumber iaitu sumber ketuhanan(wahyu) yang merupakan sumber utama iaitu Quran dan Sunnah. Kedua ialah sumber kemanusiaan(akal fikiran) yang merupakan sumber sampingan seperti ijtihad, khazanah tamadun dan budaya lain. Quran ialah wahyu yang diturunkan oleh Allah S. W. T kepada Nabi Muhammad S. A. W melalui perantaraan malaikat Jibril A. S. Quran merupakan mukjizat agung yang diturunkan kepada Rasulullah S. A. W mengandungi prinsip-prinsip asas agama islam dan ilmu pengetahuan untuk digunakan oleh manusia bagi membangunkan ketamadunan mereka. Sunnahadalah setiap perlakuan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah S.A.W. Sunnah merupakan sumber utama tamadun islam selepas Quran. Sunnah adalah pelengkap kepada al-quran iaitu menjadi sumber inspirasi umat islam dalam membentuk, membangun dan mengembangkan tamadun. Ijtihadialah ilmu dan kepakaran. Umat islam digalakkan menjalankan penyelidikan dan penerokaan bagi memajukan tamadun mereka.
Asas tamadun islam :
 Tamadun islam dibangunkan di atas 3 dasar iaitu akidah, syariah dan akhlak. Pertama ialah akidah yang bermaksud kepercayaan atau keimanan kepada hakikat dan nilai-nilai mutlak, tetap dan kukuh dalam jiwa setiap muslim. Ia adalah perjanjian yang diikat di antara makhluk dengan pencipta iaitu Allah S.W.T. Syariah ialah undang-undang, peraturan dan ketetapan Allah S.W.T. Ia diperuntukkan kepada manusia bagi mengatur hubungan manusia dengan penciptanya, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam untuk mencapai kesejahteraan, keamanan dan kedamaian di dunia serta kebahagian abadi di akhirat. Akhlak ialah sikap rohaniah yang memuliakan perbuatan manusia terhadap Allah S. W. T, terhadap diri sendiri dan makhluk lain.


Ciri-ciri keistimewaan tamadun islam:
 Tamadun islam mempunyai banyak keistimewaan. Salah satu ialah Rabbani iaitu bermaksud tamadun islam tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada aspek ketuhanan. Allah S. W. T adalah punca segala kekuasaan dan manusia adalah hambanya. Kedua ialah Sesuai dengan fitrah dan akal manusia. Ketiga ialah tidak membebankan dan keempat ialah sempurna dan menyeluruh. Keenam ialah keseimbangan antara rohani dan jasmani dan akhir sekali ialah sesuai sepanjang zaman.


Tamadun melayu(teras tamadun Malaysia):
 Kewujudan tamadun melayu boleh dikaitkan dengan kewujudan bangsa melayu itu sendiri. dari sudut sejarah, Tamadun Melayu adalah satu tamadun yang telah lama bertapak di rantau Asia Tenggara. Tamadun ini telah berkembang dalam kebudayaan orang melayu yang tergolong dalam kumpulan penduduk asal rantau ini.
 Konsep melayu merupakan tamadun melayu yang kompleks. Ia juga merujuk kepada budaya. Budaya ialah ilmu pengetahuan sesuatu kumpulan manusia yang diwarisi dan diturunkan dari stu generasi ke generasi yang lain. Bahasa adalah sistem pertuturan yang digunakan untuk berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain, malah bahasa boleh dikategorikan sebagai salah satu cabang kebudayaan manusia. Kebiasaannya melayu akan bertutur dalam kumpulan keluarga bahasa melayu-indonesia yang terdiri dari bahasa-bahasa melayu, jawa, sunda, Madura, Acheh, Sasak, Minangkabau dan lain lain lagi.
 Alam melayu merangkumi kawasan kepulauan yang merentasi seluruh Asia tenggara sehingga sempadan Australia. Ia merujuk kepada pusat pertumbuhan melayu awal kerana tersebarnya rumpun melayu dari pulau Madagaskar ke kepulauan pasifik. Orang-orang melayu mengenalkan konsep perantauan yang bermakna orang melayu akan hidup keluar dan pergi dari tempat asalnya. Orang-orang melayu yang merantau berhijrah ke luar kepulauan melayu di gelar Melayu Diaspora.

Asas-asas tamadun melayu:
 Pembentukan tamadun melayu iaitu pembentukan masyarakat yang mempunyai susunan struktur sosial yang rumit merupakan penanda aras dalam pembentukan sesebuah tamadun. Struktur organisasi masyarakat melayu dengan raja sebagai pemimpin, golongan ulama, pembesar, pedagang dan petani mempunyai perkaitan dalam asas pembentukan tamadun melayu.
 Kemunculan pusat-pusat kerajaan melayu iaitu komuniti masyarakat yang hidup dalam persekitaran sosiobudaya yang sama memerlukan susunan organisasi masyarakat secara umum seperti raja sebagai pemerintah dan seterusnya.
 Penguasaan teknologi pertanian iaitu kemampuan menghasilkan makanan yang mampu menampung keperluan masyarakat tanpa bergantung kepada pengumpulan sumber makanan mengikut musim tertentu adalah teknologi yang diperlukan untuk meyokong pembentukan masyarakat seterusnya dan kerajaan yang stabil. Antara contoh kerajaan melayu yang maju akibat teknologi ialah empayar Funan dan Kerajaan Angkor di Tanah Besar Asia Tenggara.
 Penguasaan laluan perdagangan. Secara umumnya, perdagangan jarak jauh dikuasai oleh para pemimpin kerajaan yang turut menjadi bukti kewujudan susunan masyarakat yang agak maju.
Pandangan semesta tamadun melayu:
 Masyarakat melayu pada asalnya mempunyai pandangan tradisional yang berubah dan terpengaruh dengan persekitarannya. Penerimaan agama islam membawa kepada pembentukan semula pandangan semesta tamadun melayu kepada acuan akidah islam. contohnya ialah Allah sebagai pencipta, Islam sebagai al-Din, ganjaran kebaikan dan balasan kejahatan, niat dan matlamat, kesempurnaan iman, bersederhana dalam kehidupan, akidah islam dan banyak lagi.



Pencapaian dalam pelbagai bidang:
 Pertama ialah organisasi ketenteraan iaitu mempunyai sistem ketenteraan yang cekap. Kedua ialah perubatan iaitu memiliki sistem perubatan secara tradisional dan perubatan secara moden. Ketiga ialah persuratan melayu iaitu budaya penulisan dan aktiviti intelektual melalui penulisan kitab-kitab atau buku-buku dan persuratan melayu ini dibahagikan pada dua era iaitu persuratan sebelum islam dan persuratan selepas kedatangan islam. Persuratan sebelum islam ialah lebih menumpukan kepada bentuk lisan dan sastera hikayat manakala persuratan selepas kedatangan islam pula banyak menumpukan kepada kenegaraan, undang-undang, kitab-kitab perubatan, astronomi dan matematik. Keempat ialah kesenian iaitu hasil ciptaan manusia yang mempunyai ciri-ciri kehalusan, simbolik dan keindahan. Contohnya ialah seni tari, muzik, seni ukir, khat, seni bela diri, seni pertukangan, seni tenunan dan sulaman dan lain-lain.
Tamadun india:
 Tamadun india merangkumi dua bahagian utama benua india iaitu selatan dan utara. Kedudukan geografi ini mewujudkan perbezaan yang ketara antara kedua-duanya. Masyarakat di utara india pada amnya dikenali sebagai masyarakat Indo-Arya yang lazimnya menggunakan bahasa Sanskrit, manakala masyarakat di selatan India dikenali sebagai masyarakat Dravidia yang lazimnya menggunakan bahasa Tamil. Perkembangan bahasa, kesusasteraan dan juga agama amat berkait rapat dengan perbezaan yang wujud antara benua india selatan dan utara. Perkembangan agama pula dikatakan bermula dari utara ke selatan. Walaubagaimanapun, perkembangan agama islam lebih tertumpu pada bahagian utara india. Di samping perbezaan yang wujud, kedua-dua masyarakat utara dan selatan mempunyai persamaan dalam sistem keluarga dan masyarakat yang dicorakkan oleh Ashrama Dharma dan Purusartha serta sistem kasta yang membahagikan masyarakat kepada empat kelas sosial. Perkembangan tamadun ini juga amat berkait rapat dengan unsure kerohanian. Tamadun ini melahirkan beberapa agama besar dunia dan menekankan nilai-nilai moral yang bersifat khusus dan juga sejagat. Manakala dalam bidang sains dan matematik, ia memperkenalkan trigonometri, sistem pernomboran, angka sifar, nombor negatif, dan dalam bidang sains pula, perkembangan ilmu fizik, kimia dan perubatan amat berkembang maju dan pesat.



Tamadun cina:
 Tamadun Cina merupakan salah sebuah tamadun tertua dan ada sehingga masa kini. Sepanjang sejarahnya ia pernah dicabar oleh tamadun-tamadun lain tetapi tidak diserap oleh tamadun lain. Selalunya, setiap tamadun merujuk kepada bangsa dan tempat. bangsa Cina digabungkan dengan lima kaum besar yang dipanggil sebagai Zhonghua Minzu(bangsa Tionghua). Pada peringkat awal, bangsa Cina dikenali sebagai bangsa Huaxia dan kemudian bertukar kepada bangsa Han dan bangsa Tang pada dinasti Tang(618-890M) dan terdiri daripada golongan etnik seperti Han, Hui, Manchu, Mongol dan Zang.
 Tamadun cina juga mempunyai wilayahnya sendiri iaitu Huang He(Sungai Kuning) merupakan pusat pertumbuhan tamadun Cina di utara dan Chang Jiang merupakan pusat pertumbuhan tamadun Cina di bahagian selatan. Kedudukan China yang agak terpisah dari kawasan peradaban utama yang lain serta kewujudan banjaran-banjaran gunung dan faktor lain menyebabkan benua China terasing daripada dunia lain dan membolehkan tamadun Cina berkembang dengan sendirinya dan membentuk peradaban dan keperibadiannya tanpa gangguan dan saingan yang boleh mengancamnya.
 Masyarakat dan budaya mengikut hierarki sosial dan terbahagi kepada empat kelas yang utama iaitu golongan cerdik pandai, peniaga, tukang dan petani. Pertama, cerdik pandai adalah golongan pemerintah atau elit. mereka merupakan golongan yang mendapat pendidikan yang sempurna serta lulus dalam peperiksaan awam dan kebiasaannya memegang jawatan sebagai pegawai kerajaan. Kedua ialah golongan peniaga iaitu mereka yang melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan dan pekedai. Golongan ini biasanya dianggap istimewa dan dihormati. Ketiga ialah masyarakat petani iaitu tergolong dalam masyarakat miskin dan bergantung hidup kepada hasil pertaniannya. Terdapat golongan petani yang bekerja dengan tuan tanah dan hanya diberi makanan dan minuman serta tempat tingggal sebagai upah. Tetapi, golongan petani memainkan peranan penting dalam masyarakat Cina kerana hasil pertanian mereka dikeluarkan bagi dinikmati oleh seluruh warga China.
 Setiap tamadun mempunyai bahasa dan sistem tulisan dan begitu juga dengan tamadun Cina. Bahasa pertuturan Cina adalah pelbagai berdasarkan pelbagai bangsa. Pada zaman dinasti Han, bahasa pertuturan dan sistem tulisan diseragamkan yang dikenali sebagai Hanyu(bahasa) dan Hanzi(tulisan). Hanyu juga dikenali sebagai Mandarin oleh kuasa-kuasa asing. Tetapi, pada masa kini bahasa cina menggunakan sistem Pinying iaitu sebutan berdasarkan ejaan yang dirumikan. Sistem tulisan Cina dibentuk berdasarkan kombinasi tiga unsure utama iaitu makna, bunyi, dan bentuk. Tulisan cina merupakan tulisanbergambar yang berlandaskan pada tiga unsur ini.
 Terdapat banyak jenis agama dan kepercayaan yang diikuti dalam tamadun Cina. Salah satunya ialah kepercayaan tradisional iaitu Yin dan Yang yang bermaksud apabila kekacauan berlaku dan telah reda, ia akan berpecah kedalam dua kuasa iaitu Yin dan Yang maka alam semesta akan menjadi tersusun.
 Kedua ialah pemujaan langit dan bumi. Bagi kebanyakan orang cina, udara, tanah dan objek-objek semulajadi dihuni oleh roh-roh seperti roh baik dan roh jahat. Roh baik akan membantu manusia jika mereka melakukan kebaikan manakala roh jahat akan membawa bencana kepada manusia jika mereka membuat kejahatan. Perkera penting dalam dalam agama tradisional ini ialah pemujaan Tian(Tuhan) serta pemujaan roh nenek moyang dan kewajipan pemujaan terhadap kuasa-kuasa ghaib merupakan adat istiadat dan kewajipan moral yang penting bagi mereka.
 Ketiga ialah konfusianisme iaitu menekankan sifat kemanusiaan dan keadilan yang merangkumi aspek-aspek falsafah, pendidikan dan sosial politik. Konfusianisme juga dikenali sebagai konfusis. konfusis diasaskan oleh Kungfutzu. Beliau lahir di negeri Lu, di China Timur. Konfusis menitikberatkan beberapa perkara dalam ajarannya iaitu kepentingan akhlak mulia, mengingati nenek moyang, taat setia kepada negara dan lain-lain lagi.
 Keempat ialah buddhisme Cina iaitu satu kepercayaan yang diamalkan orang Cina yang banyak mempengaruhi budaya dan pandangan semesta masyarakat. Ajaran Buddha ini telah mengalami proses pengubahsuaian sehingga menjadi suatu sistem keagamaan yang menyerapkan ciri-ciri kecinaan akhirnya dikenali sebagai buddhisme Cina. Ia juga bersetuju tentang teori karma(yeh) yang bermaksud setiap yang kita lakukan akan mendapat balasan yang sama. Contohnya, jika manusia melakukan kejahatan akan mendapat balasan buruk dan jika melakukan kebaikan akan mendapat balasan yang baik. itulah yang dipanggil karma.
 Yang terakhir ialah agama islam iaitu agama yang dibawa masuk dan diperkenalkan ke negara China melalui dua jalan iaitu jalan barat dan jalan laut seawal abad ke-7M. Pedagang Arab dan Parsi yang mendarat di selatan China telah mendirikan masjid di Guangzhou dan Quanzhou. Kemuncak kegemilangan islam di China adalah pada zaman Yuan(1271-1368M) dan pada zaman inilah tokoh-tokoh islam telah memberikan sumbangan besar dalam tamadun Cina seperti astronomi, takwim islam, perubatan, sains dan teknologi. Sebagaiman Buddha tersebar di China, agama islam juga melalui proses yang hampir sama. Konsep Zhen Yi(kebenaran yang satu) ini merupakan kepercayaan dan keimanan orang Muslim terhadap Tuhan Yang Maha Esa.
Pencapaian dalam pelbagai bidang :
 Antara sumbangan besar tamadun Cina adalah dalam bidang kesusasteraan. Dalam sejarah kuno, dua bidang sastera yang dipandang tinggi oleh orang Cina iaitu puisi dan prosa. Kedua-dua bidang sastera ini mempunyai kepentingan dalam peperiksaan awam. Terdapat pelbagai pencapaian lain iaitu drama, fiksyen, kesenian, kaligrafi, muzik klasik, seni lukis, seni bina, sains dan teknologi, teknologi pertanian, bidaang computer dan banyak lagi.
 Kesimpulannya, tamadun Cina adalah antara tamadun Asia yang memiliki kekuatan dari pelbagai aspek bagi mengekalkan kelangsungan peradabannya. Budaya adalah satu kekuatan yang dapat dikenalpasti. Budaya Cina turut diperkukuhkan dengan pencapaian cemerlangnya dalam kesusasteraan yang banyak memainkan peranan secara langsung dan tidak langsung.

Isu-isu semasa dan masa depan:
 Kepelbagaian tamadun antara manusia dengan ciri-ciri khas adalah sesuatu yang amat istimewa bagi membuka ruang dan peluang untuk saling mengenali, hormat-menghormati, dan mempelajari tamdun lain. Pendedahan ini juga membolehkan penilaian yang lebih tepat dapat dibuat dan mengakui kewujudan perbezaan antara tamadun. Seterusnya, dapat mencapai kesepakatan dan kerjasama dalam hal-hal yang berkaitan dengan moral, kemanusiaan dan alam sekitar kerana semua tamadun menitikberatkan hal-hal tersebut.

 Masyarakat timur memiliki pengalaman beratus tahun hidup bersama dengan tamadun-tamdun lain dan telah biasa menjalani hidup secara harmoni dan berprinsipkan nilai toleransi dan persefahaman. Nilai seperti inilah sebenarnya yang harus diikuti dan disedari oleh setiap tamadun terutamanya tamadun di Barat. Hal ini merupakan sumbangan besar tamadun timur kepada tamadun manusia khususnya tamadun Barat.
 Namun begitu, dunia yang semakin maju menyebabkan pelbagai cabaran wujud bagi mengekalkan ketamadunan ini. Ini berlaku akibat dari globalisasi yang berlaku secara jelas. Globalisasi merujuk kepada pensejagatan nilai-nilai kehidupan Barat yang menghakis cara hidup ketimuran. Globalisasi ini berjaya mengecilkan dunia kerana maklumat tentang peristiwa yang terjadi di seluruh dunia mudah diperolehi dan tersebar dengan cepat.
 Sarjana tempatan Chandra Muzaffar telah menyenaraikan lapan lapan kebaikan globalisasi dan 13 keburukannya. Antara kebaikannya adalah peranan pelaburan asing mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di sebilangan negara, peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah, komunikasi yang lebih murah dan mudah, peluang yang lebih luas untuk pelbagai etnik dan manusia berinteraksi, penonjolan hak-hak asasi kaum wanita dal lain-lain.
 Manakala antara 13 keburukan glabalisasi ialah kualiti alam sekitar yang semakin merosot sebagai akibat terlalu mementingkan faktor keuntungan, pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi, pengabaian keperluan asas hidup rakyat termiskin di banyak negara terutamanya negara-negara di Selatan, modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat menjadikan wang semendiri sebagai komoditi keuntungan, pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapat yang semakin melebar di negara-negara utara sendiri, jenayah semakin meningkat, penyebaran budaya pop Amerika yang menyegarkan pancaindera dan mematikan roh, penyakit berjangkit turut meningkat, sesetengah negara senang memanipulasikan isu-isu politik dunia dan banyak lagi.
 Meskipun kini kebanyakan negara atau masyarakat islam dan Asia telah merdeka, tetapi kesan pemerintahan dan dominasi penjajah masih ada sehingga kini. Terdapat banyak bukti dan dominasi yang dimonopoli oleh penjajah. Contohnya ialah dominasi dalam politik, dominasi ekonomi, dominasi ekonomi dan dominasi budaya.
 Kesimpulannya, dunia globalisasi ini penuh dengan cabaran yang menuntut kita proaktif dalam membincangkan wacana ketamadunan kita demi untuk mempertahankan kelangsungannya. Walaupun tiada siapa dapat menafikan ini, manfaat dan kebaikan yang dinikmati berada dalam dunia tanpa sempadan ini, namun kerosakan yang ada padanya wajar diberi perhatian serius. Menangani isu-isu yang berkaitan ketamadunan atau kehidupan dan pandangan alam yang berlainan sehingga berlakunya pertembungan antara tamadun terutam tamadun Barat dan tamadun Islam. Justeru itu, perbezaan dan kepelbagaian yang menjadi faktor pertelingkahan dan pertembungan ini tidak sewajarnya dibiarkan. Maka, kaedah yang terbaik adalah kita wajar berfikir bersama bagi menghadapi situasi sedemikian dan dialog tamadun adalah salah satu kaedah yang sesuai untuk menghadapi cabaran globalisasi.

------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com