Tajuk: Zaman khulafa al Rasyidin

KHULAFA al-RASYIDIN Di Madinah
-632-634 M – Khalifah Abu Bakar as-Siddiq
-634-644 M – Khalifah Umar AL-Khatab
-644-656 M – Khalifah Uthman bin Affan
-656-661 M – Khalifah Ali bin Abi Talib

-SISTEM PEMILIHAN KHALIFAH 

Selepas kewafatan Rasullulah, terdapat dua aliran yang besar untuk mencari penganti Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Aliran yang pertama mengatakan bahawa, hanya keturunan tertentu sahaja yang perlu memegang jawatan ini. Aliran yang kedua pula mengatakan bahawa mereka tidak setuju dengan cadangan aliran pertama. Pada hakikatnya, Islam tidak menetapkan sesuatu cara untuk memilih ketua ataupon pemimpin mereka. Apa yang perlu dituntut adalah menghormati konsep syura, atau dikenali sebagai Majlis Syura, iaitu system demokrasi menurut fahaman biasa. Walaubagaimanapun, sistem demokrasi ini terdapat batasannya, iaitu pemesyuaratan hanya dibenarkan dalam soal-soal yang masih kabur hukumnya dalam Islam, dalam soal-soal yang sudah jelas hukumnya, tidak perlu dipersoalkan lagi. Contohnya, hukuman potong tangan dan hukuman sebat. Oleh itu, tiada sistem yang tetap untuk memilih seorang khalifah atau pemimpin. Terdapat empat (4) cara untuk melantik khulafa al-rasyidin. Yang pertama, ialah melalui Bai’at atau pemberian taat setia, seperti yang dilakukan terhadap Abu Bakar as-Siddiq, yang terdapat dua peringkat. Peringkat pertama dinamakan ‘Al-Bai’ah’ ‘Al-Khassah’ iaitu pemberian taat setia dari golongan-golongan yang khas di dalam perhimpunan di Saqifah Bani Saidah sahaja.

 Cara kedua ialah melalui wasiat, seperti yang dilakukan kepada Umar al-Khatab apabila dipilih sendiri oleh Abu Bakar as-Siddiq sendiri. Abu Bakar mencadangkan nama Umar dan dipersetujui oleh sahabat-sahabat yang lain. Jadi sunguhpun pemilihan Umar adalah menurut sistem wasiat, tetapi telah mendapat sokongan ramai juga.

 Khalifah yang seterusnya telah dipilih melalui sistem majlis syura, iaitu majlis mesyuarat. Cara ini dilakukan oleh Umar al-Khatab dengan mencalonkan enam orang sahabat besar, iaitu, Usman Affan, Ali bin Abu Talib, Talhah bin Ubaidullah, Zubair Al- Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Auf. Setelah bermesyuarat, hanya Usman dan Ali sahaja yang tinggal untuk dipilih sebagai khalifah. Akan tetapi setelah ditinjau pendapat rakyat, mereka memilih Usman.

 Khalifah yang terakhir di dalam zaman Khulafah al-Rasyidin ialah Ali bin Abu Talib. Pemilihannya adalah dengan secara paksaan. Hal ini kerana, Usman telah gagal memerintah secara adil. Akibat kebencian rakyat tidak dapat dibendung lagi, Ali telah dilantik oleh penduduk-penduduk Madinah yang memandangnya sebagai tokoh yang paling layak untuk menjadi khalifah. Jadi sunguhpun, perlantikan Ali dilakukan secara paksaan, tetapi ianya menurut persetujuan rakyat terbanyak ketika itu yang mengira tidak ada calon lain yang lebih layak dari Ali.

-KHALIFAH ABU BAKAR AS-SIDDIQ
Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abi Quhafah. Dilahirkan di Mekah pada tahun 572 masihi, 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah. Berasal dari keturunan bangsawan Quraisy, Bani Tamim. Ahli perniagaan yang berjaya yang menyumbang kepada perkembangan Islam. Merupakan lelaki dewasa yang pertama memeluk Islam. Setelah memeluk Islam, beliau digelar Abu Bakar kerana beliaulah orang yang mula-mula beriman dengan dakwah Rasulullah. Diberi gelaran ‘As-Siddiq’ kerana sentiasa yakin dan membenarkan setiap apa yang dikatakan dan dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Dilantik sebagai khalifah yang pertama selepas Rasulullah wafat. Meninggal dunia pada tahun 13 hijrah ketika berusia 63 tahun. Beliau seorang yang sentiasa bersopan-santun, pengasih, bersifat lemah lembut, ikhlas dalam perjuangan, bercakap benar dan tabah menghadapi dugaan.

 Abu Bakar as-Siddiq telah berjaya menyelesaikan soal al-Riddah. Perpecahan umat Islam timbul apabila ada golongan yang enggan membayar zakat, golongan nabi-nabi palsu dan golongan murtad. Masalah ini perlu dibanteras dengan segera. Abu Bakar terpaksa menggunakan kekerasan dengan membentuk 10 pasukan tentera. Akhirnya beliau berjaya menyelesaikan masalah ini. Selain itu, khalifah Abu Bakar juga berjaya menangani masalah ancaman musuh luar Negara Islam apabila mengerakkan semula tentera yang dibentuk oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sebelum kewafatan baginda. Tentera di bawah pimpinan Usamah bin Zaid telah berjaya mengatasi masalah ancaman Rom. Kejayaan gemilang yang dicapai menyebabkan pihak tentera ini diamanahkan menjaga keselamatan kota Madinah sekali gus memadamkan ancaman golongan Zubyan dan Absy.

Abu Bakar juga berjaya mengumpulkan al-Quran. Usaha ini diketuai oleh Zaid bin Thabit untuk mengelakkan kehilangan al-Quran di muka bumi selepas kematian ramai al-hafiz dalam perang al-Riddah. Usaha pengumpulan al-Quran dicadangkan oleh Umar al-Khatab, awalaupun pada awalnya Abu Bakar ragu-ragu untuk melaksanakannya. Demi kepentingan dari segi jangka panjang, beliau akhirnya bersetuju dengan rancangan berkenaan. Sumbangan Saidina Abu Bakar ini sangat besar demi menyelamatkan al-Quran daripada terhapus. Beliau juga telah mewujudkan kestabilan politik dengan menyusun pentadbiran dengan membahagikan Negara kepada 10 daerah dengan diketuai oleh seorang Amir yang dibantu oleh, imam, hakim, setiausaha dan pegawai di Baitumal.

-KHALIFAH UMAR AL-KHATAB
Nama sebenar beliau ialah Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin ‘Adi bin Kaab. Nama gelaran beliau pula ialah Al-Faruq yang bermaksud dapat membezakan perkara yang benar dan yang bathil, bekuturunan Arab Quraisy. Dilahirkan pada 584 masihi, 13 tahun selepas kelahiran Rasulullah di Mekah. Beliau memeluk Islam pada tahun ke 6 kenabian ketika berumur 33 tahun. Dilantik menjadi khalifah yang kedua pada hari selasa 22 jamadilakhir tahun ke 13 Hijrah bersamaan 23 ogos 634 masihi. Beliau wafat pada bulan Zulhijjah tahun ke 23 hijrah ketika berusia 63 tahun. Beliau telah dibunuh oleh Fairuz (Abd Lukluk) iaitu hamba majusi yang berbangsa Parsi.

 Umar al-Khatab seorang yang taat pada perintah ALLAH Subhanahu wa ta’ala. Beliau seorang yang berani. Ketika memeluk Islam, beliau mengisytiharkan keislamannya kepada umum. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat. Sumbangan yang beliau telah beri dalam pentadbiran ialah mengemaskini Majlis Syura sebagai suatu badan yang penting dalam pentadbiran negara. Selain itu, mengasaskan Jabatan Cukai dan Harta, Jabatan ketenteraan dan Jabatan Persuratan. Beliau juga mengasaskan undang-undang dan peraturan di pasar seperti adab berjual-beli, pengawasan timbangan dan sebagainya.

 Sumbagan dalam bidang dakwah pula, beliau telah mengembangkan penyebaran dakwah ke wilayah-wilayah baru seperti Mesir, Rom dan Parsi. Beliau telah melantik gabenor di wilayah tersebut untuk melancarkan pentadbiran dan penyebaran dakwah Islam. Selain itu, Umar al-Khatab juga telah menghantar ulama ke serata tempat untuk menyebarkan dakwah Islam.

 Sumbangan dalam pembangunan pula, Umar al-Khatab telah mengemaskini Baitulmal sebagai institusi kewangan negara. Beliau telah mendirikan masjid dan rumah persingahan untuk kemudahan para musafir. Beliau telah membina sekolah-sekolah untuk pendidikan anak-anak dan juga meneroka kawasan-kawasan baru untuk pertanian dan saliran air. Selain itu, pusat-pusat pengajian Islam telah didirikan di kota-kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya, Guru-guru agama telah dihantar ke pusat-pusat ini, sedangkan imam-imam diadakan di masjid-masjid. Dan buat pertama kalinya Umar mengadakan calendar (taqwim) Islam sendiri yang bermula dari peristiwa Hijrah Nabi ke Madinah.

-KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN
Nama sebenar beliau ialah Uthman bin Affan bin Abu Al-As bin Umaiyah. Berketurunan Bani Umaiyah, telah dilahirkan di Mekah pada tahun 576 Masihi iaitu enam tahun selepas cahaya kerana beliau memperisterikan dua puteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Dilantik menjadi khalifah yang ketiga pada tahun ke 23 Hijrah bersamaan 644 masihi. Beliau wafat pada 18 Zulhijah tahun 35 Hijrah kerana dibunuh oleh pemberontak. Beliau seorang yang taat kepada ALLAH dan rasul. Seorang yang pemalu dan lemah lembut dan juga seorang yang zuhud dan dermawan.

 Uthman bin Affan seorang yang bersifat dermawan, beliau telah menafkahkan hartanya sebanyak 300 ekor unta dan 10 ribu dinar untuk kegunaan tentera Islam dalam Perang Tabuk. Beliau juga telah memerdekakan hamba pada setiap hari Jumaat. Selain itu, beliau juga membeli sebidang tanah untuk membesarkan Masjid Nabawi. Dalam bidang politik Uthman bin Affan, telah menjadi utusan Rasulullah dalam Perjanjian Hudaibiyah dan menubuhkan angkatan tentera laut untuk mengawasi perairan negara.

 Sumbangan dalam bidang ekonomi, beliau telah menyumbangkan harta yang banyak untuk perkembangan Islam. Selain itu, beliau juga telah mempertingkatkan ekonomi rakyat. Dalam bidang soial pula Uthman bin Affan telah memperkenalkan sistem protokol dalam urusan kerajaan. Di samping itu, beliau berjaya mewujudkan masyarakat yang harmoni hasil sifat beliau yang lemah lembut. Untuk bidang dakwah, Uthman bin Affa telah membuka kawasan –kawasan baru untuk mengembangkan dakwah Islam. Selain itu, beliau mengumpul dan membukukan al-Quran. Di samping itu, beliau telah menumpaskan pemberontakan wilayah-wilayah yang telah ditakluki di zaman Umar al-Khatab, seperti Khusaran, Iskandariyah, Armenia dan Azerbijan. Beliau telah meneruskan gerakan penaklukan dan perkembanga Islam. Di zamannya tertakluklah daerah-daerah Jurjun, Talkan dan Balkh, sampai dapat malampaui Sungai Jihun. Demikian juga pulau-pulau Cypres dan Rhodes.

-KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB
Ali bin Abi Talib dilahirkan pada tahun 603 Masihi di Mekah. Lebih muda 32 tahun dari Rasulullah. Berketurunan Bani Hasyim. Beliau merupakan seorang tokoh Islam yang agung. Beliau memiliki akhlak yang amat terindah, selain daripada memiliki perlbagai jenis kemahiran dan kebijaksanaan. Beliau adalah seorang manusia yang mempunyai kepandaian dan kebijaksanaan yang luarbiasa. Beliau terkenal sebagai seorang cendiakawan, seorang jurudakwah yang berkaliber, seorang hakim yang adil, dan seorang pahlawan yang sukar dicari bandingannya baik dahulu mahupun sekarang.

 Selain itu, beliau juga terkenal sebagai seorang Ahli Ilmu (sarjana), terutama dalam bidang Fiqh(undang-undang) Islam, tafsir al-Quran dan ilmu Nahu. Ali bin Abi Talib juga merupakan salah seorang pahlawan-pahlawan Islam yang gagah dan berani dalam membela agama ALLAH dan Rasulnya. Antara peperangan yang pernah disertainya, ialah perang Badar, Uhud, Khaibar, Khandak, Siffin dan Jamal.

Di samping itu, Saidina Ali terkenal sebagai seorang ahli pidato yang hebat. Ini merupakan kepandaian semulajadi bagi beliau. Semenjak kecil lagi beliau telah pandai bersyair dan berpidato. Bahasanya baik, kemas, indah lagi tersusun. Jadi tidak hairanlah Ali bin Abi Talib muncul sebagai ahli pidato dan ahli sastera yang hebat selepas itu. Memandangkan kebijaksanaannya dalam berpidato itulah menyebabkan Rasulullah selalu mengirimkannya ke beberapa wilayah sebagai jurudakwah. Rasulullah juga selalu memilih Ali bin Abi Talib dalam menjalankan tugas-tugas yang banyak memerlukan kesabaran dan keberanian. Dari aspek itu, Ali bin Abi Talib dianggap paling terkemuka sekali di antara keempat-empat khalifah sebelumnya. Beliau juga menetapkan Tahun Hijrah bagi umat Islam.

Saidina Ali dipilih dan rela menjadi khalifah dalam keadaan negara yang huru hara akibat kewafatan Saidina Uthman bin Affan yang tidak mewasiatkan waris pengantinya. Pihak pemberontak pula telah sebulat suara meminta untuk melantik Saidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah. Memandangkan keadaan negara yang kian meruncing, beliau menerima jawatan tersebut dan disokong oleh ramai pihak berlandaskan kemahiran dan pengetahuan beliau yang luas dan kepakarannya tentang selok belok hukum. Perlantikannya juga telah banyak membantu dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan masyarakat dan undang-undang Islam.

Zaman Khulafah al-Rasyidin merupakan zaman pemerintahan Islam yang dijalankan oleh para sahabat selepas kewafatan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Corak pemerintahan yang dijalankan oleh kerajaan ini berdasarkan corak pemerintahan Nabi Muhammad serta berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Pemerintahan kerajaan Khulafah al-Rasyidin ini dikatakan merupakan zaman pemerintahan terbaik Islam yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Ini kerana pada zaman ini, semua hukum Islam dapat dijalankan sepenuhnya seperti hudud, qisas dan hukum-hukum yang lain. Kerajaan ini, telah dipimpin oleh empat orang khalifah Islam yang juga merupakan sahabat Agung Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Pemerintahan kerajaan ini telah berlangsung selama lebih kurang 29 tahun dan melalui banyak cabaran dan rintangan dalam usaha menyebarkan dakwah Islam.

Oleh itu, saya berharap perkara-perkara penting yang dapat ditemui pada kerajaan ini dapat menjadi rujukan supaya generasi pada zaman sekarang dapat mengambil pengajaran dan tauladan daripada sejarah kerajaan ini.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com