Sunday, October 21, 2012

Sistem kekeluargaan dan perkahwinan dalam Islam

DISEDIAKAN UNTUK: USTAZ ABDUL AZIZ BIN HARJIN
DISEDIAKAN OLEH: AHMAD AZHARI BIN AHMAD JELANI 2011719223
PROGRAM: DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN
TARIKH HANTAR: 12 SEPTEMBER 2012

SISTEM KEKELUARGAAN DAN PERKAHWINAN DALAM
ISLAM

Kedatangan Islam telah membawa suatu perubahan besar dan amat berkesan dalam sejarah kehidupan manusia, sama ada dari segi pegangan, akhlak dan peraturan kehidupan. Islam telah menggariskan peraturan untuk manusia, bertujuan menjadi pedoman bagi membina masyarakat yang berdisiplin, sekaligus menyeru manusia kepada kehidupan yang lebih teratur.
Di antara dasar-dasar yang menjadi tapak tegaknya masyarakat Islam ialah sistem kekeluargaan. Kekeluargaan adalah asas dan sumber kekuatan masyarakat. Ini kerana masyarakat ini terdiri dari unit-unit keluarga. Menurut Dr. Abdul Karin Zaidan keluarga umpama sel-sel yang berbentuk tubuh. Jika keluarga baik, nescaya masyarakat pun akan menjadi baik, sebaliknya jika keluarga itu rosak maka masyarakat seluruhnya akan menjadi rosak.
Kekeluargaan menurut Kamus Dewan ialah yang berkaitan dengan keluarga atau hubungan sebagai anggota di dalam sesuatu keluarga, ianya berasaskan perhubungan keturunan atau disebabkan perkahwinan. Sesungguhnya yang dikatakan seisi keluarga adalah yang terdiri daripada suami isteri atau beserta anak-anak. Jelaslah bahawa pembinaan institusi keluarga mempunyai hubungkaitnya dengan perkahwinan. Memandangkan kepentingan inilah Islam telah mensyariatkan perkahwinan sebagai titik mula membina keluarga
 Agama-agama wahyu memperakui bahawa perkahwinan pertama di kalangan manusia telah berlaku antara Adam a. s. dan Hawa. Perkahwinan ini berlaku dengan satu cara perhubungan yang dibenarkan oleh Allah Taala kepada mereka berdua. Ini merupakan suatu sistem perkahwinan yang disyariatkan bagi membiakkan manusia untuk meneroka bumi Allah dan menduduki nya buat sementara waktu.
 Selain daripada Al-Quran dan Al-Hadis, di dalam Old Testement dan New Testement, turut menceritakan kejadian Adam a. s dan Hawa sebagai pasangan yang pertama. Di dalam Taurat atau dikenali dengan perjanjian lama di bahagian permulaan kitab Bible di dapati beberapa ayat, di antaranya yang bermaksud “Tuhan telah berkata tidak baik Adam berkeseorangan sahaja, maka aku akan jadikan seorang penolong sepertinya”.

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syara’ pula ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan wanita yang diucapkan dengan kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.
Perkahwinan zawaj digunakan dalam Al-Quran bermaksud pasangan dalam ertinya perkataan ini bermaksud perkahwinan. Allah Taala menjadikan manusia itu berpasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Tidakkah kita melihat pada bumi, betapa banyak Allah jadikan benda yang berpasangan di atasnya. Malah Al-Quran memberitahu kepada kita bahawa kita juga akan mempunyai pasangan dalam syurga, firman Allah Surah Al-Baqarah ayat 25 bermaksud;“dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya”. Sebagai contoh ialah kejadian di langit dan kejadian di bumi, jelas menunjukkan kebenaran bahawa Allah S.W.T. menjadikan semua ciptaannya dalam berpasangan. Keadaan tanah di muka bumi tidak rata semuanya, bahkan dijadikan berpasangan antara tinggi dan rendah. Di suatu kawasan penuh dengan tumbuhan menghijau malah di kawasan lain berpadang pasir. Daratan berpasangan dengan lautan, pokok-pokok yang meliputi bumi ini ada yang jantan dan betina. Demikian pula manusia sedangkan atom yang sangat halus yang tidak dapat dilihat dari pandangan mata terdiri dari komponen-komponen yang berpasang-pasangan.
 Jika kita berfikir apakah hikmah Allah S.W.T. menjadikan berbagai-bagai jenis kejadian ini dalam keadaan berpasangan?. Kita sudah tentu dapat memahaminya dengan mudah. Cuba kita bayangkan bagaimana keadaan alam ini sekiranya ia sentiasa dalam keadaan malam atau siang sahaja, bumi berkeadaan kering, semuanya berpadang pasir. Manusia semuanya lelaki atau perempuan. Keadaan dunia seperti ini tentu membosankan dan kejadian ini tidak melahirkan keturunan malah manusia akan pupus dalam jangka masa yang singkat. Dengan adanya berpasangan, dunia kelihatan indah dan sesungguhnya kejadian Allah S.W.T. ini sangat indah.
Dengan memberikan sedikit perhatian kepada kejadian ini, pasti anda mengerti mengapa anda dijadikan lelaki atau perempuan. Kedua-duanya dari acuan yang sama iaitu manusia yang dibentuk dari unsur-unsur kemanusiaan, seorang berwatak keras dan satu lagi berwatak lemah gemalai. Gerak langkah melambangkan kekuatan dan gerak langkah melambangkan keindahan. Sifat-sifat tersendiri yang ada pada lelaki dan wanita itu menunjukkan bahawa kekuatan lelaki dijadikan sebagai pelindung kecantikan wanita.
Betapa indahnya kehidupan manusia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosan kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya, atau perempuan semuanya. Jadi, kejadian berpasangan antara lelaki dan wanita itu merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan. Allah S.W.T. berfirman: ”Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan diantara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. ”(a-rRuum:21)
Selain itu, kejadian berpasangan juga sebagai saluran untuk meneruskan keturunan manusia. Allah S.W.T. berfirman: “wahai manusia bertakwalah kepada tuhan kamu yang menjadikan kamu semua dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan…. ”(An-Nisa:1). Dengan keterangan ini jelaslah bahawa kejadian berpasangan antara lelaki dan wanita adalah untuk mengindahkan kehidupan manusia itu sendiri. Selain itu untuk mengekalkan keturunan manusia di muka bumi dalam masa jangka panjang sehingga Allah S.W.T. menentukan berakhirnya sejarah manusia di bumi ini. Ini semuanya adalah rahmat Allah S.W.T. kepada manusia yang diamanahkan untuk mengendalikan utusan di bumi sebagai Khalifah-Nya di muka bumi.


Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam sejarah manusia iaitu, poligami, poliandri dan monogamy. Perkahwinan jenis poligami ialah perkahwinan lelaki dengan ramai wanita dan amalan ini hampir diamalkan oleh semua bangsa di dunia. Mereka mengamalkan poligini tanpa had dan batas. Contohnya ada agama di negeri China yang membolehkan kahwin sampai 130 orang isteri. Pada syariat Yahudi, dibenarkan poligami tanpa batas. Berbeza dengan agama Islam hanya membenarkan poligami tidak melebihi empat orang isteri dengan syarat-syarat yang ketat.
Manakala poliandri pula bermaksud perkahwinan yang berlaku antara seorang wanita dengan beberapa orang lelaki. Perkahwinan bentuk ini jarang berlaku kecuali di Tibet, orang-orang bukit di India dan di Arab pada masa jahiliah. Contohnya dalam masyarakat tradisi kaum Juansuwaris apabila saudara lelaki yang tua mengahwini seorang wanita, maka wanita itu menjadi isteri untuk semua saudara-saudaranya. Amalan ini dirujuk kepada kitab Mahabhrata.
Akhir sekali poligami iaitu perkahwinan yang berlaku antara seorang lelaki dan seorang wanita sahaja. Perkahwinan bentuk ini merupakan perkara biasa pada semua bangsa dan agama. Agama Kristian memandang perkahwinan itu adalah satu ikatan antara seorang lelaki dan seorang perempuan untuk sepanjang zaman, maka oleh kerana itu penceraian tidak diiktiraf sama sekali. Seorang lelaki hanya dibenarkan berkahwin sekali sahaja seumur hidup.
Perkahwinan dalam syariat Yahudi membolehkan berpoligami tanpa batas manakala syariat Masehi iaitu pada setengah mazhab tidak dibenarkan berpoligami dan tidak dibenarkan bercerai, contohnya pada mazhab Khatolik. Jika diperhatikan dengan teliti, sistem perkahwinan Islam adalah lebih teratur dan menepati fitrah manusia. Jelaslah bahawa setelah kedatangan Islam, peraturan-peraturan perkahwinan yang telah berlaku itu telah diperbaiki dengan menghapuskan peraturan yang tidak baik dan mengekalkan mana-mana peraturan yang baik, malah dijadikan satu sistem baru yang lengkap dan sesuai bagi menjamin keselamatan dan kebahagiaan manusia.
Islam sebagai satu agama fitrah dan bersifat universal serta sesuai dengan tabiat semulajadi manusia dan tidak bertentangan dengan kehendak naluri mereka. Malah Islam sentiasa membuka peluang kepada mereka untuk mencapai nikmat hidup dan keindahan manusia.
 Manusia seringkali tewas dengan godaan hawa nafsu untuk melakukan perkara kejahatan, juga sering melakukan perkara-perkara yang melanggar batas-batas kesopanan dan dasar-dasar akhlak yang mulia. Justeru, Islam secara logiknya berusaha untuk menutup pintu-pintu kerosakan dan keburukan demi kebahagiaan kepada seluruh umat manusia. Ini jelas boleh dilihat kepada falsafah perkahwinan di dalam Islam.
Manusia akan menghadapi berbagai kepincangan sekiranya pergaulan lelaki dan wanita tidak diatur dan disusun mengikut peraturan tertentu. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan diantara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan. Kerana itu, perkahwinan disyariatkan. Dalam perkahwinan, ditentukan kewajipan-kewajipan dan peraturan-peraturan yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan yang mematuhinya. Sebabnya jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, samada kerana kejahilan atau sengaja mengingkarinya, pasangan itu sentiasa dilanda arus yang menjadikan suasana hidup mereka tidak tenteram.
Islam amat menggalakkan seseorang itu berkahwin, sebagai memperjelaskan lagi bagaimana Islam sangat menggalakkan perkahwinan, dimana dalam sesetengah keadaan Allah mewajibkan sseorang itu berkahwin. Hukum perkahwinan dalam Islam adalah wajib, sunat, makruh, haram. Hukum perkahwinan menjadi wajib adalah kerana seseorang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan diri kelembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu. Dalam masalah ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kalau takut terjatuh ke lembah zina, tetapi kalau tidak ditakuti hendaklah didahulukan haji yang wajib. Manakala sunat pula ialah orang yang mampu, tetapi aman dirinya dari terjatuh ke dalam zina, ini adalah hukum asal perkahwinan.
 Seterusnya hukum perkahwinan menjadi makruh adalah kerana seseorang yang tidah mampu memberi nafkah lahir dan batin, tetapi sekadar yang tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya dan tidak ada nafsu yang kuat. Akhir sekali hukum menjadi haram pula kerana tidak mampu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan teraniaya isteri kalau ia berkahwin.
Perkahwinan dalam Islam mempunyai hikmah dan tujuannya yang tersendiri, dimana ianya bukan hanya bersifat biologis semata-mata, tetapi adalah lebih tinggi dan lebih mulia. DI antara tujuan atau hikmah perkahwinan menurut Syariat Islam ialah untuk memperoleh ketenangan hidup, memelihara kesucian diri, melaksanakan salah satu tuntutan syariat dan menjaga keturunan. Pada hakikatnya Islam membentuk kaedah bagi mengatur fungsi kekeluargaan supaya pasangan suami isteri dapat memperolehi ketenangan, kasih sayang, ketenteraman dan seumpamanya. Sesungguhnya cinta yang sebenarnya antara lelaki dan wanita hanya akan lahir dari perkahwinan. Firman Allah Taala dalam surah Al-rum ayat 21 yang bermaksud:“dan di antara tanda-tanda membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya diantara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang berfikir”.

Di dalam tafsir Fi Zilaf Al-Quran yang dimaksudkan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah) ialah menjadikan hubungan suami isteri itu sebagai sumber ketenangan kepada jiwa, memberi kekuatan jasmani dan rohani, serta kemesraan hati nurani dan ketenteraman kepada kedua-duanya. Penjelasan Al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan wanita ini dengan gambaran yang amat menarik seolah-olah gambaran itu diambil dari lubuk hati dan perasaan kedua-duanya.

Seterusnya memelihara kesucian diri, Manusia mempunyai naluri seks, naluri ini biasanya menjerumuskan manusia ke dalam maksiat yang merosakkan kehormatan diri. Keinginan seks ini hanya akan dapat dibendung melalui perkahwinan. Hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;“wahai golongan pemuda, barang siapa diantara kamu yang mampu kahwin maka hendaklah ia kahwin kerana kahwin itu dapat menundukkan pandangan mata dan lebih mampu dapat mengekang hawa nafsu”. (Hadis riwayat Al-Bukhari, Abu Daud, al-Tarmizi dan an-Nasai. )
Kemudian melaksanakan salah satu tuntutan syariat. Syariat Islam adalah syariat yang syumul, rasional dan selaras dengan tabiat manusia. Ia bertujuan untuk menjaga maslahat manusia di dunia dan di akhirat. Perkahwinan bertujuan untuk menyempurnakan tujuan manusia diciptakan iaitu beribadat kepada Allah Taala. Konsep ibadat sangat luas, setiap usaha harian. Malah setiap perkataan dan perbuatan yang baik termasuklah hubungan suami isteri itu sendiri adalah ibadat bagi orang yang beriman kepada Allah Taala.
 Pada zaman Nabi S.A.W. terdapat sebahagian sahabat yang cenderung untuk hidup dengan cara kerahiban. Mereka ingin mengasingkan diri dari masyarakat untuk memudahkan beribadah dengan berpuasa di siang hari, qiyam di malam hari di samping menjauhi wanita. Lantas Nabi mengumpulkan mereka dan member nasihat secara tegas dengan sabdanya yang bermaksud:”aku adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kamu sekalian dan paling bertakwa kepadanya, akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bangun dantidur dan aku menikahi wanita. Barang siapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia bukanlah dari gologanku”

Akhir sekali perkahwinan juga boleh menjaga maruah keturunan sesebuah keluarga. Perkahwinan merupakan sebaik-baik jalan untuk memelihara dan mengembangkan keturunan yang suci. Firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 72 yang bermaksud: ”dan Allah telah menjadikan bagi kamu isteri daripada diri(jenis)kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu dari isteri-isterikamu anak-anak an cucu”. Sesungguhnya keturunan yang baik adalah merupakan saham yang tidak akan putus pahalanya sehingga akhirat, sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:”bila mati seorang anak Adam putuslah amalannya, melainkan tiga perkara, sedekah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya. ”
Kesimpulannya, jelaslah bahawa ajaran Islam bersifat syumul dan meliputi keperluan dan keinginan naluri fitrah manusia itu sendiri. Tegasnya Islam menentang sikap mereka yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haramcontohnya ialah sikap mengekang nafsu daripada berkahwin (rahbaniyah) dan sikap terlampau menurut hawa nafsu atas dasar kebebasan individu sepenuhnya.
Di barat mereka menyangka dengan menghalalkan pergaulan bebas, ianya telah mengembalikan kedudukan wanita sebagai manusia. Maka muncul perjuangan yang berbentuk feminism yang radikal yang memperjuangkan persamaan hak total antara lelaki dan wanita.
 Selain daripada factor lain yang turut menghancurkan institusi keluarga hari ini ialah sikap masyarakat yang mementingkan meterialisma. Pengaruh materialisma turut melanda masyarakat Islam dengan munculnya sikap sesetngah lelaki dan wanita Islam menolak perkahwinan itu kerana mementingkan kerjaya padahal dalam masa yang sama mereka tidak dapat mengawal nafsu mereka daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam. Justeru itu satu-satunya penyelesaian yang Islam berikan kepada umat manusia dalam mengatasi masalah ini ialah mensyariatkan perkahwinan. Oleh kerana perkahwinan itu adalah salah satu bahagian dari syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah Taala dan Rasullullah S.A.W., maka penghayatan dan perlaksanakannya merupakan satu ibadah kepada Allah Taala.

No comments:

Post a Comment