Tajuk: Syirik

KONSEP
Syirik dari segi bahasa ialah menyamakan sesuatu dengan sesuatu. Dari segi istilah pula ialah menyamakan Allah dengan sesuatu atau menyamakan sesuatu dengan Allah sama ada secara iktikad, perbuatan atau perkataan.

Dalil dari Al-Quran menyebut : “ Maka janganlah kamu membuat sekutu untuk Allah padahal kamu mengetahui ( bahawa Allah adalah Maha Esa ) Surah Al-Baqarah: Ayat 22 

Muhammad Rashid Ridha dalam mentafsirkan ayat 79 surah Al-An’am telah menyebut dua perkara berhubung dengan dorongan pemujaan yang membawa kepada syirik. Sesetengah orang yang lemah pemikirannya menyangka bahawa tanda-tanda kekuasaan Allah yang terdapat di alam ini, itulah penggerak seluruh alam ini yang mempunyai kekuatan sendiri, bukan sebagai satu sunnah alam yang ditentukan oleh kuasa yang Maha Agung disebaliknya. Kesilapan anggapan ini terjadi disebabkan oleh kelemahan manusia untuk mengetahui hakikat yang sebenar disebalik kekuatan yang ada di alam ini. Bagi mereka kuasa ghaib Yang Maha Agung di sebalik alam ini yang menentukan segala-segalanya tidak ada. Yang ada hanya benda-benda dengan segala kekuatan yang tersendiri.

Perbuatan syirik yang telah dilakukan sehingga sekarang sama ada jelas atau tidak, pada asasnya berpunca daripada tabiat manusia yang suka memuja dan mengangungkan sesuatu yang dianggap istimewa. Tetapi di dalam melakukan perbuatan untuk tujuan tersebut manusia selalunya silap. Kesilapan itu disebabkan oleh sama ada kerana terlupa kepada perbatasan yang dibenarkan seperti kasihkan kepada makluk sehingga keterlaluan sehingga sampai had kasih yang sepatutnya diberikan kepada Allah.

Syirik terbahagi kepada dua iaitu syirik besar (syirik jali) dan syirik kecil( syirik khafi ). Perbuatan syirik adalah perbuatan yang sangat berbahaya kepada manusia. Ia mendatangkan akibat yang sangat buruk kepada kehidupan manusia sebagai makluk yang dijadikan Allah untuk tunduk kepadanya. Antara bahaya-bahaya syirik ialah kemurkaan Allah

1. KEMURKAAN ALLAH
Syirik adalah perlakuan dan perbuatan yang sangat dimurkai Allah. Dengan itu syirik sangat dilarang dan sesiapa yang melakukannya bererti dia telah melakukan dosa yang paling besar. Ada beberapa seba kenapa syirik sangat dimurkai Allah. Antaranya ialah :
1. Berlawanan dengan tauhid
2. Sebesar-besar kezaliman
3. Menghina Allah
4. Manusia sebagai hamba Allah

BERLAWANAN DENGAN TAUHID
Syirik adalah berlawanan dengan konsep tauhid yang diasaskan di atas ucapan kalimah syahadat “ Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”. Jadi tauhid itu adalah menentukan dengan tegas segala yang layak bagi Allah itu bagi-Nya sahaja dan menafikan yang tidak layak bagi-Nya. Oleh yang demikian syirik berlawanan dengan konsep tauhid kerana ia telah memecahkan keesaan Allah. Dengan kata lain ucapan tauhid yang diikrar itu dileraikan atau dipecahkan

SEBESAR-BESAR KEZALIMAN
Menyamakan Allah dalam darjah yang bagaimanapun dengan makluk-Nya tidak wajar dan tidak patut sama sekali. Perbuatan manusia yang sedemikian adalah perbuatan yang amat zalim kerana manusia itu mempunyai akal fikiran yang dapat dipergunakan bagi memahami akan hakikat kejadiannya oleh Allah. Tentulah tidak ada fikiran yang boleh menerima akan sesuatu persamaan dalam apa jua darjah persamaan antara makluk dan Zat Yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya.

MENGHINA ALLAH
Memberi tempat yang tinggi pada makluk, sedangkan tempat itu adalah semata-mata milik Allah bererti menyamakan makluk dengan Allah. Perbuatan yang sedemikian merupakan sesuatu satu perbuatan yang menghina Allah kerana tidak sepadan dengan munasabah dengan Zat-Nya yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa itu. Tidak ada sesuatu pun yang boleh diletakkan sama dengan-Nya. Oleh kerana Allah tidak berkongsi dengan sesiapa pun dalam melakukan sesuatu, maka taat setia makluk-Nya juga tidak boleh dikongsikan.

MANUSIA SEBAGAI HAMBA ALLAH
Nikmat dan pemberian Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya. Hanya Allag sahajalah yang member nikmat itu, tidak yang selain dari-Nya. Oleh yang sedemikian manusia mestilah hanya memperhambakan dirinya hanya kepada Allah. Manusia tidak patut memperhambakan dirinya kepada yang lain kerana yang lain itu tidak pernah memberi apa-apa nikmat dan pemberian dan tidak mampu berbuat sedemikian walaupun sedikit. Tetapi kebanyakkan manusia lalai dan tidak mengenang jasa. Walaupun ramai di antara mereka yang percaya Allah dan nikmat-nikmatnya, tetapi mereka tetap juga memperhambakan dirinya kepada yang lain selain daripada Allah. Di dalam Al-Quran Surah Yusuf 106 Allah berfirman yang maksudnya :  “ Dan sesungguhnya kebanyakkan manusia itu beriman kepada Allah sedangkan dalam hal keadaan mereka itu mensyirikkan Allah”

PERBINCANGAN
SYIRIK DAN KUFUR
Kufur ialah tidak mempercayai apa-apa yang dibawakan oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam walaupun dalam perkara yang kecil sampai kepada kita dengan cara menyakinkan dan tidak syak lagi. Sesetengah ulama memberikan takrif kepada kufur itu sebagai tidak mempercayai walaupun dalam hal yang kecil, apa-apa yang memang sebenarnya perkara itu dating dari Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. Daripada kedua-dua takrif itu dapatlah diambil kesimpulan bahawa kufur itu ialah penafian dan keengkaran terhadap apa-apa sahaja yang dating daripada Allah melalui Rasul-Nya setelah tanpa sebarang keraguan sedikit pun ia dating dari Rasullulah.

Jelaslah perbezaan antara syirik dan kufur iaitu bahawa syirik dilihat dari sudut taraf dan kedudukan antara Allah dengan makluknya. Jika di antara kedua-duanya disamakan atau disyariaatkan maka berlakulah syirik. Contohnya seperti mempercayai bahawa makluk juga dapat memberi keuntungan atau mendatangkan mudarat kepada makluk yang lain dil luar daripada kehendak Allah sebagaimana Allah itu sendiri dapat memberikannya. Kufur pula dilihat dari sudut penerimaan atau penolakkan apa-apa yang didatangkan dari Allah. Kalaulah ia ditolak maka berlakulah kufur.

Pada dasarnya syirik terbahagi kepada dua jenis iaitu syirik besar ( syirik jali ) dan syirik kecil (syirik kafi).



SYIRIK BESAR ( SYIRIK JALI )
Syirik Jali ialah syirik yang dapat dilihat secara terang-terangan. Syirik ini berlaku secara lisan dan perbuatan. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menerangkan tentang syirik ini. Firman Allah “ Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa syirik dan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang syirikkan Allah, sesungguhnya telah sesatlah dia dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya” ( An-Nisa ayat 116 ) “ Seandainya mereka mempersekutukan Allah, niscaya lenyaplah dari mereka amalam yang telah mereka kerjakan” ( Al-An’am ayat 88 ) 

Syirik yang dimaksudkan oleh ayat Al-Quran seperti yang tersebut di atas ialah syirik besar, yang akibatnya tidak diampunkan Allah dosa orang yang melakukannya dan diharamkan daripada memasuki syurga. 

ANTARA CONTOH-CONTOH SYIRIK BESAR ( SYIRIK JALI )
1. Meragui atau menafikan kewujudan Allah. Oleh hal yang demikian, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah syirik
2. Perbuatan manusia seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan, bintang atau objek-objek yang lain yang dianggap sebagai bahan pemujaan. Disamping itu perbuatan manusia seperti memuja nasib dan meminta nombor ekor di sesuatu tempat yang dianggap boleh menolong seperti kubur atas dakwaan kubur itu keramat adalah unsur syirik.
3. Ulama juga menjelaskan perbuatan terlalu memuja atau mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah salah satu perbuatan syirik.
4. Perbuatan manusia menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam juga boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang muslim
5. Perbuatan manusia yang mengakui Nabi Isa sebagai anak tuhan juga merupakan salah satu syirik besar
6. Memakai tangkal yang dianggap boleh menyembuhkan penyakit dan percaya bahawa tangkal tersebut dapat menyembuh penyakit merupakan syirik besar

SYIRIK TERSEMBUNYI ( SYIRIK KHAFI)
Syirik kecil ialah syirik tersembunyi tidak meletakkan Allah sebagai yang mutlak dalam niat terutama ketika beribadah. Sedar atau tidak sedar, syirik kecil merupakan syirik yang selalu dilakukan oleh orang-orang Islam. Banyak orang tidak menghiraukan bahaya syirik ini kerana mereka menganggap syirik itu syirik kecil sahaja. Syirik ini berlaku melalui hati. Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam telah memberi gambaran mengenai kebimbangan baginda terhadap dosa syirik ini. Baginda bersabda

“Sesungguhnya perkara yang aku paling takut sekali berlaku ke atas umatku ialah mereka mensyirikkan Allah. Sesungguhnya akan mengatakan demikian, tidaklah semata-mata apabila mereka itu menyembah matahari, bulan atau patung, tetapi syirik itu terjadi apabila seseorang itu melakukan amalan-amalan yang bukan kerana Allah dan dorongan nafsu keduniaan”

ANTARA CONTOH-CONTOH SYIRIK KECIL (SYIRIK KHAFI)
1. Riak – Abu Bakar Al Jazairi menyatakan bahawa riak itu ialah kemahuan manusia dalam ketaatan kepada Allah untuk mendapat habuan dari kalangan manusia dan kedudukan di hati mereka. Al Iman Al-Ghazali telah memberikan beberapa contoh yang boleh menjadi panduan kepada perbuatan riak. Antaranya ialah
a. Berpuasa dengan tujuan mendapat faedah kesihatan disampaing bertujuan kerana Allah
b. Menuntut ilmu (suruhan agama) untuk mendapat kemudahan mencari harta atau supaya
dipandang terhormat di kalangan keluarga disamping kerana Allah.
c. Melakukan sesuatu kebaikkan supaya dikenang disamping melakukan kerana Allah
d. Menunaikan haji untuk mendapat faedah daripada perjalanan dan pergerakkan badan
ketika haji, untuk melarikan diri daripada sesuatu tempat yang tidak selamat, kerana
melarikan diri dari kerja yang berat atau untuk menghilangkan diri daripada keluarga
disamping kerana Allah.
e. Mengambil air sembahyang untuk kebersihan atau menyejukkan badan disamping kerana
Allah.
f. Mandi ( wajib atau sunat) untuk mengharumkan tubuh disamping kerana Allah
g. Menziarahi orang sakit dengan harapan apabila dia sakit akan diziarahi disamping
ziarah kerana Allah.
h. Bersedekah untuk memberhentikan gangguan orang meminta disamping melakukannya
kerana Allah.
Sabda Nabi Saw :
“ Sedikit sahaja adalah riak “
2. Ujud ( mengagumkan diri )
3. Takabur ( membanggakan diri )

SYIRIK BENTUK JAHILIAH
Orang-orang jahiliah pada masa Nabi Saw dahulu tidak syak dan ragu pada sifat-sifat Allah seperti mencipta, berkuasa, memberi rezeki, mentadbir ala mini dan sebagainya. Mereka yakin dan percaya sepenuhnya bahawa Allah memiliki sifat-sifat tersebut. Allah menceritakan kenyataan ini. Antara Firman Allah :

“ Dan sesungguhnya jika engkau bertanyakan mereka ( orang musyrik jahilaih) siapa yang menciptakan langit dan bumi dan mudahkan matahari dan bulan sudah tentu mereka, menjawab Allah “( Al-Ankabut ayat 61)

Dari sudut “Tauhid Rububiyah “ ( menentukan Allah sahaja sebagai Tuan, Pencipta, Pentadbir dan Pemberi rezeki kepada alam ini) orang jahiliah yang disebut sebagai orang musyrik itu tidak menyeleweng. Mereka mengakui hakikat tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat-ayat sebelum ini. Apa yang membuatkan mereka syirik ialah “ Tauhid Ketuhanan” ( menentukan hanya pada Allah segala peribadatan dan perhambaan diri). Disamping mereka mengakui Tauhid Rububiyah, mereka menghambakan diri kepada peraturan dan adat resam peninggalan nenek moyang mereka yang berlawanan dengan peraturan Allah.

Kesetiaan mereka mengikut peraturan dan adat resam nenek mereka itulah yang membawa mereka terjatuh ke dalam syirik. Ini kerana mereka meletakkan peninggalan nenek moyang mereka di tempat yang tinggi lebih tinggi atau paling tidak standing dengan peraturan Allah yang dibawa oleh rasul-rasul.

SYIRIK BENTUK SEKARANG
Di dalam masyarakt Islam sekarang telah wujud pelbagai peraturan ciptaan manusia dengan nama bermacam-macam dan menarik perhatian. Peraturan tersebut walaupun banyak berlawan dengan Islam tetapi tetap diikuti oleh masyarakat Islam sendiri. Orang yang faham tentang Islam berpendapat bahawa masyarakat Islam sekarang dengan bentuk dan cara demikian telah tejerumus ke dalam syirik. Dalam hubungan tersebut Said Hawa menjelaskan

“Termasuklah di dalam yang demikian itu apa yang dinamakan “Demokrasi” kerana demokrasi itu ialah suara terbanyak yang digambarkan melalui majlis perwakilan rakyat atau lainnya diserahkan untuk membuat peraturan dan undang-undang sekehendak mereka ( perwakilan) tanpa ikatan kecuali ikatan perlembagaan bagi sesetengah negara. Manakala perlembagaan pula boleh diubah dan ditentukan mengikut suara terbanyak tanpa ikatan kecuali berdasarkan pandangan dan pendapat mereka sahaja. Dalam bentuk seperti ini telah berlakulah pemberian “ hak membuat peraturan”, meghalalkan dan mengharamkan kepada manusia. Ia adalah syirik.

FAKTOR BERLAKUNYA SYIRIK
1. Tidak pernah bersyukur dengan nikmat dan kurniaan yang diberikan oleh Allah.
2. Manusia terpengaruh dengan godaan syaitan dan pujukkan dunia sehingga menolak segalan ajaran Islam.
3. Manusia terlalu lemah dan terlalu mengikut hawa nafsu yang inginkan keseronokkan tanpa mengira dosa atau pahala.
4. Manusia memandang rendah terhadap hukum Allah Sallallahu ‘alaih wa sallam 
KESAN PERBUATAN SYIRIK KEPADA INDIVIDU
1. Terkeluar dari agama Islam dan merosakkan iman
2. Tidak diampunkan oleh Allah kecuali taubat nasuha, istigfar
3. Allah murka
4. Tidak dapat pahala atas segala perbuatan yang dilakukan
5. Hilang tempat pergantungan Allah
KESAN PERBUATAN SYIRIK KEPADA MASYRAKAT
1. Masyarakat akan berpecah belah dan hubungan silaturahim akan terputus
2. Masyarakat akan mundur
3. Masyarakat akan hancur
4. Masyarakat akan dipandang hina dan dibenci masyarakat

PENUTUP
Syirik merupakan penyakit akidah. Akidah pula berpunca daripada kepercayaan dan keyakinan. Manakala kepercayaan dan keyakinan pula datangnya dari kefahaman dan didikan. Cukup jelaslah bahawa lubang-lubang syirik yang akan membawa kesengsaraan lepada orang-orang yang terjerumus ke dalamnya terbuka luas. Melihat kepada kelakuan umat Islam sekarang, didapati terlalu ramai yang telah terjerumus telah lama sampai ke perbatasan syirik dan sedang menunggu masa untuk masuk kedalamnya. Memandangkan syirik adalah penyakit yang paling bahaya kepada manusia kerana ia menyetuh akidah maka setiap orang yang mengaku dirinya muslim perlu memberi tumpuan yang banyak terhadapnya. Tumpuan itu ialah berusaha sedaya upaya untuk menghapuskan penyakit tersebut. Wujudnya penpadat-pendapat dan tafsiran-tafsiran yang tidak tepat mengenai syirik dan dikemukan oleh buku seumpanya membuatkan penyakit ini sukar dihapuskan. Apa pendapat mengenainya hendaklah berdasarkan dalil-dalil yang tepat sahih dan bersesuaian dengan cara ulama-ulama yang muktabar. Tauhid ertinya mengesakan atau mengkhususkan penciptaan, pemilikkan, pentadbiran dan pemberian rezeki itu hanya kepada Allah. Segala bentuk penghambaan diri dan taat setia itu mestilah dikhususkan kepada Allah sahaja begitu juga dengan sifat yang khusus kepada Allah itu hanya kepada Allah sahaja.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com