Qada' dan Qadar


Muhamad Hilmi Said b. Abd Halim
Kelas: BMD2Cc
No.pelajar:2011399315 
1. 0 PENDAHULUAN
Pada zaman globalisasi masa kini, kita tidak dapat menyangkal masyarakat dunia khususnya masyarakat Melayu semakin maju dalam kehidupan. Walaubagaimanapun, adat-adat pantang larang melayu masih kuat diamalkan dalam kehidupan seharian. Masyarakat Melayu sememangnya sejak dahulu lagi sudah terkenal dengan adat-adat dan pantang larang yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Antaranya, tunduk atau membongkokkan diri sedikit apabila melintasi orang yang lebih tua. Pantang larang melayu pula seperti jangan membuang air di dalam hutan tanpa meminta izin terlebih dahulu.
Tetapi, soalan yang sering bermain di minda kita adakah adat-adat serta pantang larang melayu bertetapan dengan hukum syarak? Tidak dinafikan memang wujud pertikaian mengatakan adat-adat melayu banyak yang melanggar hukum syarak. Namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya yang beragama Islam yang mengetahui tentang kebenaran sebenar mengenai adat-adat yang masih kita amalkan. Ada di antara kita yang tidak sedar bahawa pantang larang atau adat yang dilakukan sudah menyalahi garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam.
Kepercayaan kepada qada’ dan qadar merupakan perkara keenam yang termaktub dalam rukun iman yang sewajibnya di ketahui oleh seluruh umat islam. Setiap umat Islam seharusnya mengetahui apakah makna sebenar atau lebih mendalam lagi tentang qada’ dan qadar Allah S.W.T. .

1.1        Definisi Qada’ dan Qadar
Qada’ dari sudut bahasa Arab bermaksud meletakkan dan memutuskan sesuatu hukum. Manakala dari sudut syarak ialah perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluknya sama ada dari sudut menciptakannya, meniadakannya, ataumengubahnya.
 Qadar dalam bahasa Arab pula ialah menetapkan suatu kadar tertentu. Manakala dari sudut syarak ialah perkara yang ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmuNya yang mendahului setiap perkara.
1. 2 Perbezaan antara qada’ dan Qadar
Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qada’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qada’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah. Ibn al-Athir mengumpamakan dengan mengatakan Qadar adalah asas atau tapak binaan, dan Qada’ pula ialah binaan yang dibangunkan di atas asas tersebut. Sayyid Sabiq melalui kitabnya Aqidah Islam menyebut, dalam al-Quran al-Karim berkali-kali disebutkan masalah qadar atau takdir itu seperti: Segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan. Firman Allah SWT:-
 (Surah al-Ra’d: 8) yang bermaksud: Dan segala sesuatu itu di sisi Tuhan adalah ketentuan takdir.
Segala sesuatu diciptakan dengan takdir sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud (Surah al-Hijr: 21)Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu. Segala sesuatu diciptakan dengan takdir.
Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT (Surah al-Qamar: 49) yang bermaksud:Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir.
Kesimpulan yang dapat diambil daripada ayat di atas ialah bahawa makna qadar atau takdir itu ialah suatu peraturan yang tertentu yang telah dibuat oleh Allah SWT untuk segala yang ada di alam semesta. Oleh itu, peraturan-peraturan tersebut merupakan undang-undang umum atau kepastian yang diikatkan di dalamnya sebab dengan musababnya, juga antara sebab dan akibatnya. Imam al-Nawawi Rahimahullah memberikan definisi takdir itu dan berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT sudah digariskan sejak zaman dahulu lagi. Allah SWT Maha Mengetahui setiap yang terjadi pada segala sesuatu tersebut dalam waktu-waktu yang telah ditentukan, sesuai dengan garis yang ditetapkan oleh-Nya. Oleh itu, terjadinya hal ini, pasti akan sesuai menurut sifat-sifat dan keadaannya yang khusus. Dalam Syarah Jauharah al-Tauhid oleh Syeikh Ibrahim al-Laqani menyatakan, mengenai makna dari Qada’ dan Qadar telah menjadi perselesihan antara Asya’irah dan Maturidiah. Makna Qadar menurut Asya’irah adalah: “Allah menjadikan segala sesuatu di atas ketetapan yang dikhususkan dan rupa yang ditentukan yang dikehendaki oleh Allah SWT. ”Berdasarkan makna ini, maka Qadar adalah sifat fi’il kerana ia merupakan satu ibarat daripada kejadian dan kejadian atau al-ijad adalah di antara sifat-sifat af’al. Menurut Maturidiah pula tentang Qadar:“Pembatasan Allah pada azali akan tiap-tiap makhluk dengan batasan-Nya yang Dia menjadikan atasnya berupa kebaikan, keburukan, kemanfaatan dan kemudharatan hingga yang lainnya dalam erti mengetahui Allah SWT pada azali akan semua sifat-sifat makhluk. ”Berdasarkan pengertian ini, maka Qadar adalah di antara sifat-sifat zat, sedangkan Qada’ menurut Asya’irah pula adalah: “Kehendak Allah SWT akan segala sesuatu pada azali berdasarkan apa-apa yang sesuai atasnya pada masa yang sudah tidak azali. ”Oleh itu, Qada’ adalah di antara sifat-sifat zat berdasarkan pengertian ini. Manakala Qada’ menurut Maturidiah pula ialah: “Allah menjadikan segala sesuatu beserta dengan tambahan pengukuhan dan penelitian. ”Qada’ menurut pengertian ini adalah di antara sifat-sifat af’al. Dengan demikian, makna Qadar itu ialah bersifat hadis dan Qada’ itu bersifat qadim menurut Asya’irah. Sedangkan menurut Maturidiah, Qada’ itulah yang hadith dan Qadar adalah qadim.

Pengulas bait ini membawa kalam musannif tersebut di atas mazhab Maturidiah dalam hal Qada’ dan Qadar, bukan mazhab Asya’irah kerana Qada’ dari sudut bahasa mempunyai lebih kurang tujuh makna dan makna yang paling masyhur adalah al-Hukmu iaitu “penghukuman” yang kembalinya kepada fi’il (perbuatan) maka yang sesuai adalah menafsirkannya pada istilah dengan fi’il. Adapun Qadar maka tidak pernah datang bahawa maknanya dari sudut bahasa adalah fi’il, maka yang sesuai adalah tidak menafsirkannya pada istilah dengan fi’il melainkan dengan ilmu. Maka kita dapat melihat bahawa Ajhuri menjadikan Qada’ adalah iradah beserta taalluq yang azali menurut qaul yang pertama atau ilmu beserta taalluq yang azali menurut qaul yang kedua. Berdasarkan setiap dari dua qaul ini, maka Qada’ adalah qadim. Menjadikan Qadar adalah penjadian di atas kesesuaian iradah atau penjadian di atas kesesuaian ilmu. Berdasarkan setiap dari dua qaul ini, maka Qada’ adalah baru. 

2. 0 DEFINISI KHURAFAT

Definisi khurafat dari segi etimologi berasal dari bahasa Arab, kharafa-yakhrifa-kharfan-khurafaratan. Bahasa Inggerisnya merujuk kepada superstition atau supertitio dalam bahasa Latinnya yang membawa maksud sesuatu hal yang tidak masuk akal atau sesuatu yang dusta tetapi menarik. (Ensiklopedia Hukum Islam 1997, Ensiklopedia Islam 1994 dan al-mu’jam al-Falsafi 1983).
Menurut kamus dewan bahasa khurafat ditakrifkan sebagai tahyul, dongeng atau karut. Di samping itu, terdapat pula catatan yang menjelaskan bahawa khurafat atau khuraf sebenarnya merujuk kepada nama seorang lelaki Arab dari Bani ‘Udhrah yang hidup pada zaman jahiliyyah. Lelaki berkenaan dikatakan telah dicekup oleh makhluk jin untuk hidup bersama mereka untuk satu tempoh tertentu. Apabila lelaki tersebut kembali semula kepada kaumnya, beliau bercerita tentang pelbagai peristiwa dan kejadian yang aneh dan menakjubkan yang pernah beliau saksi dan alami semasa berada bersama dalam kelompok jin tersebut. Namun, cerita-cerita berkenaan dianggap dusta dan tidak dipercayai oleh kalangan orang yang mendengarnya, lantas mereka mengunkapkan cerita-cerita tersebut sebagai “cerita khurafah”dan bertitik tolak daripada peristiwa tersebutlah, maka ungkapan khurafah tersebut digunapakai untuk merujuk kepada setiap perkara yang menarik dan menakjubkan (Saliba 1981: “al-khurafah)dan Ensiklopedia Hukum Islam 1997. 

2. 1KONSEP KHURAFAT

AKIDAH adalah merupakan antara salah satu cabang ilmu Islam yang penting dalam kehidupan setiap umat kerana ia berkaitan keimanan dan kepercayaan kepada Allah. Malah, ilmu akidah, ilmu fardu ain yang wajib dituntut dan dipelajari. Biarpun konsep akidah Islam mudah difahami dan dihayati, masih ramai umat Islam terpengaruh dengan kepercayaan khurafat yang karut-marut yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang terdahulu. Pada hal, amalan khurafat adalah bertentangan dengan akidah Islam sekali gus menjejaskan iman seseorang atau menyebabkan syirik kepada Allah, iaitu salah satu dosa yang tidak diampuni Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa juga), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar. " Surah al-Nisa’, ayat 48)

Oleh demikian, setiap Muslim wajib berhati-hati ketika menjalani kehidupan global supaya tidak mudah terjerumus ke kancah khurafat dengan memperkukuhkan ilmu akidah di samping mengenal pasti ciri amalan khurafat. Khurafat ditakrifkan sebagai cerita mempesonakan yang dicampur-adukkan dengan perkataan dusta. Syeikh Idris al-Marbawi mendefinisikan khurafat sebagai cerita yang karut marut.

2. 2 Contoh ciri amalan dan kepercayaan khurafat.

Ia tidak bersumberkan nas syarak sama ada daripada al-Quran mahu pun hadis; cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut; didasarkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam; berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam; mengguna objek tertentu seperti kubur, pokok, benda dan sebagainya untuk tujuan tertentu dan ada unsur negatif pada akidah dan syariat Islam.

Demikianlah antara ciri amalan dan kepercayaan khurafat jika dihalusi secara mendalam, memang banyak berlaku dalam masyarakat Islam masa kini. Bahkan, ia masih lagi menebal dalam tradisi dan kepercayaan umat Islam dalam kehidupan seharian.

2. 3 Faktor-faktor yang mendorong berlakunya khurafat.

Faktor pertama, mudah mempercayai benda-benda tahyul. Selain itu, kecetekan ilmu agama. Selain itu, sikap iri hati dan dengki melihat kesenangan orang lain mendorong seseorang itu berdamping dengan mahkluk halus.

2. 4 Kesan khurafat terhadap umat Islam.

Antara kesan perbuatan khurafat terhadap umat islam ialah merosakkan akidah, menambahkan amalan bid’ah, hilang kepercayaan qada’ dan qadar, hilang sikap usaha dan mudah putus asa apabila kita menganggap menjumpai jalan mudah dalam kehidupan.

2. 5 Bentuk-bentuk khurafat yang masih berterusan dalam masyarakat Melayu

Dalam kalangan masyarakat sekarang, negara kita umumnya terdapat banyak gejala khurafat. Ia adalah hasil budaya orang kita yang terlalu percayakan hal-hal yang dibawa oleh orang terdahulu daripada mereka tanpa membuat rujukan secara mendalam di dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta para alim ulama. Hal ini kerana iman yang kurang mantap termasuk sikap masyarakat yang inginkan jalan mudah dalam mencari kesenangan dan kebahagiaan hidup. Selain itu, sikap orang kita yang amat kuat berpegang kepada adat seperti peribahasa yang berbunyi “Biar mati anak, jangan mati adat. ”

Khurafat masih wujud di dalam masyarakat Islam sekarang, bahkan ia juga telah muncul dalam pelbagai bentuk yang berlainan samada dalam bentuk perbuatan tertentu, ungkapan tertentu, cerita atau kisah tertentu, bilangan tertentu, serta konsep, prinsip atau mazhab tertentu. Amalan mengunjungi kubur yang dianggap keramat, mempercayai binatang seperti burung boleh membawa tuah atau sial, membuang ancak bagi menghalau hantu dan mempercayai azimat yang boleh menahan sesuatu bahaya kepada seseorang adalah sebahagian bentuk gejala khurafat.

2. 6 Contoh khurafat dalam masyarakat Melayu:

2. 6. 1 Melenggang Perut

Adat melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di Selatan Semenanjung manakala di sebelah Utara Semenanjung lebih dikenali dengan panggilan kirim perut. Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan ke atas seorang wanita yang telah genap tujuh bulan hamil dan ia bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut dan di tempat yang sepatutnya, iaitu bahagian kepala di pintu rahim bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut. Antara kelengkapan tersebut disediakan adalah seperti tujuh helai kain yang berlainan warna, satu gantang beras, sebiji buah kelapa, beberapa urat benang, satu batang dammar, sedikit minyak kelapa atau minyak urut, beberapa batang lilin, satu tepak sirih, yang lengkap dengan isinya, pengeras wang sebanyak lima suku ($1. 25) di dalam tepak itu


2. 6. 2 SMS Atau Surat Berantai
Tercetus akibat kemajuan teknologi yang dikecapi oleh masyarakat masa kini dan hangat diperkatakan. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak perasan, terlepas pandang dan tidak mengambil berat mengenai perkara ini bahawa bentuk amalan ini mempunyai unsur-unsur khurafat yang amat halus. Contoh pengakhiran suatu SMS atau surat berantai lebih kurang begini :
“Barang siapa yang tidak menyebarkan SMS kepada tujuh orang atau mengabaikannya, maka dia akan ditimpah kesusahan selama tujuh hari. Manakala siapa yang mereka menyebarkannya pasti ada akan dilimpahi kesenangan daripada Allah s. w. t selama tujuh minggu. ”
Justeru, orang yang menerima SMS atau surat tersebut mudah terpedaya dan menyebarkannnya kepada tujuh orang kerana takut dengan kesusahan yang diperkatakan itu sama ada secara terpaksa atau tidak.
2. 6. 3 Membuang Ancak
Membuang ancak pula adalah dari segi perubatan orang dulu-dulu. Berkaitan juga dengan perbomohan. Dalam pengubatan ini bomoh akan memberitahu bahawa si pesakit "terkena" itu dan ini, ditempat itu dan ini. Timbul dari penyakit itu, keluarga pesakit akan diminta menyediakan "ancak" untuk diberi makan "hantu". Bila hantu sudah dapat makan, penyakit yang dihidapi oleh pesakit tadi akan sembuh. Cara beri makan "hantu" itu ialah dengan melepaskan "ancak" tadi ke dalam sungai. "Ancak" itu dibuat dari pelepah pokok pinang iaitu "upeh". "Upeh" ini dibentuk menjadi empat segi. Ia merupakan seperti bakul. Di dalamnya diletakkan berteh, 2 biji pisang, dan 2 biji telur. Sebiji telur itu mesti direbus. Keempat-empat penjuru "ancak" tadi dipasang 4 batang lilin. "Ancak" itu kemudian dibawa ke sungai untuk dihanyutkan.
2. 6. 4 Memakai Tangkal
Tangkal atau azimat juga merupakan salah satu perkara khurafat yang masih kita amalkan. Tangkal ini mengandungi kesan yang berbeza-beza mengikut keperluan si pemakai seperti pendinding, pelindung diri dari penyakit, makhluk halus dan sebagainya. Kepercayaan bahawa dengan memakai tangkal, mereka akan menjadi kuat dan sebagainya. Antara lain perkara yang berkaitan tangkal, batu, kayu dan seumpama dengannya ialah kristal yang kononnya dipercayai mempunyai kuasa tertentu. Sememangnya batuan mempunyai khasiat tertentu namun tidak bermakna dengan memakainya, si pemakai benar-benar mendapat tuah, di murahkan rezeki yang berkaitan dengan perkara-perara tersebut yang mana tuah atau rezeki dikurniakan oleh Nya kepada hamba-hambaNya.

3. 0 KAITAN PERBUATAN KHURAFAT DALAM MASYARAKAT MELAYU DENGAN QADA’ DAN QADAR
3. 1 Dilarang memberi hadiah berupa baju atau pakaian kepada pasangan yang bertunang
        Perbuatan ini dilarang kerana dikhuatiri hubungan pasangan tersebut tidak kekal lama. Ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan ini adalah khurafat. Hal ini tidak langsung berkaitan dengan jodoh pasangan tersebut.
        Malahan, amalan memberi hadiah adalah suatu perkara yang mulia. Islam juga menggalakkan umatnya supaya selalu memberi hadiah kepada orang lain kerana amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara manusia. Ini juga akan menimbulkan perasaan bersangka baik terhadap seseorang itu.
        Jika hubungan pasangan tersebut tidak kekal lama, ini tidak ada kena mengena dengan hadiah tersebut. Perkara ini berlaku atas ketentuan Allah S.W.T. Allah telah menetapkan jodoh yang lebih sesuai untuk mereka. Pasangan tersebut juga mestilah berfikiran positif.
3. 2 Larangan mengambil gambar tiga orang sekali gus
        Dipercayai bahawa perbuatan ini akan menyebabkan salah satu dari tiga orang yang terdapat dalam gambar tersebut akan meninggal dunia. Ajal dan maut telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Jika kita percaya bahawa perbuatan ini akan menyebabkan kematian, ini juga bermakna kita juga menafikan yang Allah sahaja berhak menentukan hidup mati seseorang manusia itu.
        Jika perbuatan ini boleh menyebabkan seseorang itu mati, sudah pasti ramai yang telah menjadi mangsa. Jika betul pun perkara ini berlaku, ia mungkin berlaku secara kebetulan. Hal ini berlaku kerana Allah igin menguji tahap keimanan seseorang itu. Sama ada dia akan terpedaya dengan tipu daya syaitan atau pun dia masih percaya bahawa semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah SWT.

3. 3 Kenduri tolak bala
        Kenduri ini dilakukan setahun sekali di tengah padang sesebuah kampung. Setiap penduduk mesti membawa sepinggan makanan. Tok imam dijemput untuk membaca doa manakala tok bomoh pula dijemput untuk membaca jampi serapah supaya kampung tersebut selamat dari bala bencana.
        Kenduri tolak bala sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua dengan syarat tidak bercampur antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dalam majlis tersebut. Melaksanakan kaedah-kaedah yang tidak menjadi tegahan syarak dalam majlis itu.

4. 0KESIMPULAN
Beriman dengan qada’ dan qadar merupakan salah satu rukun iman. Setiap yang terjadi merupakan kehendak Allah dan tidak dipengaruhi oleh sesiapapun. Contohnya seperti mati, tiada siapa yang dapat mengelak daripada kematian kerana semua perjalanan hidup manusia telah di atur oleh Allah kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Oleh itu, kita sebagai hamba-Nya yang lemah, haruslah sentiasa redha atas setiap ketentuan-Nya. Kita wajib beriman dengan qada’ dan qadar Allah dan tidak mempercayai amalan-amalan khurafat yang kononnya untuk menolak bencana dan sebagainya. Justeru, kami mendapati dan meyakini amalan-amalan khurafat adalah haram diamalkan kerana tiap-tiap sesuatu yang berlaku adalah dengan kehendak Allah.

------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com