Solat


FAKULTI : 
PENGURUSAN PERNIAGAAN

DISEDIAKAN UNTUK : 
USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN

DISEDIAKAN OLEH : 
NUR AMIRA IZATY BT ZAINURIN (2011503963)

TARIKH HANTAR : 
13 SEPTEMBER 2012

PENGHARGAAN
Assalamualaikum W. B. T.
Segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S. A. W, keluarga, sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syariatnya sampai hari kiamat.
 Dan dengan rasa syukur yang tidak terhingga berkat taufik hidayah-Nya dengan masa yang telah diberikan akhirnya saya dapat menyempurnakan tugasan ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah CTU151 saya bagi semester ini iaitu Ustaz Abd Aziz bin Harjin kerana telah banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar dalam menyiapkan tugasan ini. Saya juga berterima kasih kepada ibu bapa dan rakan-rakan sekelas yang juga banyak memberi sokongan dan pendapat mereka ketika saya melaksanakan tugasan ini. Disamping itu juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang turut memberikan tunjuk ajar kepada saya. Dengan galakan yang diberikan secara tidak langsung dapat membantu saya untuk menyempurnakan tugasan ini.

PERINTAH SOLAT
Setiap orang mukmin diwajibkan mendirikan solat kerana solat disifatkan oleh Rasulullah s. a. w sebagai ‘Tiang agama’. Solat juga Rukun utama dalam Rukun Islam yang lima sesudah ucapan Syahadah. Begitu penting kewajipan solat bagi orang mukmin dan mukminah hingga Allah telah membawa Rasul-Nya dari bumi ke langit dalam peristiwa Israk-Mikraj untuk menyampaikan perintah solat secara langsung kepada Rasul-Nya.
Bila seorang mukmin telah mendirikan solat dengan sempurna kewajipannya yang utama sebagai seorang mukmin telah terlaksana. Maka ibadah solat disifatkan oleh ulama’ sebagai ‘Jiwa Mukmin’ kerana tanpa solat orang mungkin seolah-olah tidak hidup. Rasulullah s. a. w pernah member amaran : ‘Seorang lelaki mukmin itu menjadi kafir bila dia meninggalkan solat’. Dan dalam Hadis yang lain baginda bersabda: ‘Apa yang memisahkan kami (orang mukmin) dengan orang kafir ialah solat. Siapa yang meninggalkan solat dia kafir’.
Ada beberapa tafsiran ulama’ mengenai hadis ini. Iaitu orang yang meninggalkan solat sambil ingkarinya hukumnya kafir tanpa ragu. Kedua, jika dia meninggalkan solat kerana baru masuk Islam (Muallaf) dan belum tahu hokum kewajipan solat atas dirinya belum dianggap kafir. Ketiga, jika dia meninggalkan solat hanya kerana malas tetapi masih beriktikad solat itu wajib atas dirinya dia dihukum sebagai fasiq. Seterusnya, orang Islam yang meninggalkan solat walau kerana apa pun tidak boleh dihukum kafir.
Pendapat ulama’ yang berbeza ini berdasarkan Hadis Rasulullah yang melibat berbagai orang dalam keadaan berbeza. Majoriti ulama’ berpendapat orang yang mengaku Islam tetapi meninggalkan solat dia hanya muslim tetapi imanya tipis. Sebahagian ulama’ menghukum orang seperti ini sebagai kafir amali. Sebaliknya, orang yang meninggalkan solat dan mengingkari perintah itu dari Allah dihukum sebagai kafir iktiqadi. Namun tidak ada keraguan terhadam hukum kufur atas orang yang meninggalkan solat sambil mengingkarinya sebagai perintah Allah atas orang mukmin.
RUKUN SOLAT LIMA WAKTU
Rukun solat adalah dasar ibadah yang paling utama kerana tanpa Rukun ibadah solat akan cacat dan tidak diterima. Fungsinya sama seperti Rukun Islam yang lima dan Rukun Iman yang enam. Semua ibadah ada rukunnya dan rukun sembahyang yang pertama :
1.          Niat
Tempat niat ialah di dalam hati. Maka solat tanpa niat dihukum tidak sah dan sia-sia. Setengah ulama’ menganggap niat sebagai syarat solat, tetapi semuanya sepakat bahawa tidak ada solat tanpa niat. Oleh kerana niat letaknya di permulaan ibadah solat dan ia ditujukan semata-mata kepada Allah maka niat itu menyertakan rasa ikhlas bahawa solat didirikan tidak untuk menyembah yang lain selain dari Allah. Niat juga menentukan rupa bentuk dan jenis solat yang ditunaikan, baik solat waktu yang lima, waktunya, atau sunat, berapa rakaat, sendirian, berjemaah atau sebagainya. Maka kesempurnaan solat bergantung pada kesempurnaan niatnya. Rasulullah s. a. w bersabda : ‘Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat’.
2.          Berdiri bagi yang berdaya
Orang yang sihat dan boleh berdiri wajib menunaikan solat dengan berdiri. Jika tidak berdaya boleh duduk malah boleh juga baring jika tidak berdaya untuk duduk. Kewajipan ini ditegaskan oleh Rasulullah s. a. w dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari sambil memetik firman Allah : ‘Allah tidak membebankan seseorang kecuali sesuai dengan kuasanya’. Dalam hadis lain Rasulullah s. a. w menyatakan bahawa orang yang menunaikan solat sambil berdiri mendapat pahala penuh, orang yang duduk mendapat separuh orang berdiri dan orang yang baring mendapat separuh pahala orang yang duduk.
3.          Takbiratul Ihram
Yang dimaksudkan dengan ‘Takbiratul Ihram’ ialah ucapan ‘Allahu Akbar’ permulaan solat. Rasulullah s. a. w pernah menegur seorang lelaki yang menunaikan solat tanpa Takbiratul ihram hingga orang itu terpaksa mengulang solatnya tiga kali. Rasulullah bersabda : ‘Kunci solat ialah wuduk, permulaannya Takbir dan penutupnya Salam’. Sebahagian ulama’ berkata ucapan Takbir Pertama untuk memulakan solat itu hendaklah dilakukan serentak dengan niat. Tetapi sebahagian yang lain membolehkan Takbir itu diucapkan kemudian daripada niat.
4.          Bacaan Al-Fatihah
Yang dimaksudkan dengan Al-Fatihah ialah seluruh surah Al-Fatihah dari awal hingga ke akhirnya. Rasulullah s. a. w bersabda : ‘Tidak sah solat orang yang tidak membaca Al-Fatihah’. Majoriti ulama’ merumuskan bahawa bacaan surah Al-Fatihah adalah wajib dan rukun pada setiap rakaat solat. Sebuah hadis lagi menjelaskan. ‘Kalimah ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’ adalah sebahagian daripada surah Al-Fatihah’. Maka tidak sempurna bacaan Al-Fatihah jika tidak dimulakan dengan ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’.
5.          Rukuk
Rukuk ialah gerakan pertama tubuh sesudah berdiri bagi orang yang menunaikan solat berdiri. Orang yang mendirikan solat hendaklah tunduk ke hadapan hingga tulang pinggangnya separas lehernya (90 darjah). Untuk memantapkan kedudukan rukuk kedua belah tangan diletakkan pada kedua belah lutut.
6.          Iktidal
Iktidal ertinya berdiri tegak semula sesudah rukuk seperti ketika membaca Al-Fatihah.
7.          Sujud
Yang dimaksudkan dengan Sujud ialah meletak dahi ke tempat sujud di lantai. Menurut sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim Rasulullah s. a. w bersabda : ‘Saya disuruh sujud dengan tujuh anggota : Dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan hujung kedua kaki’. Dan menurut sunnah Rasulullah S.A.W. baginda melakukan sujud sambil meletak punggungnya lebih tinggi daripada kepalanya.

8.          Duduk di antara Dua Sujud
Menurut hadis Rasul riwayat Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah duduk seketika (tamakninah) sesudah selesai sujud yang pertama diikuti dengan sujud yang kedua. Rasulullah s. a. w membaca doa atau tasbih ketika sujud atau duduk di antara dua sujud bagi mengisi masa untuk tamakninah sebelum berdiri kembali bagi rakaat yang kedua dan seterusnya.
9.          Duduk akhir
Maksud duduk akhir ialah duduk pada kali terakhir bagi orang yang solat, samada dua rakaat, tiga rakaat atau empat rakaat. Ketika duduk terakhir itulah Rasulullah S.A.W. membaca Tasyahhud Akhir dan Salawat. Oleh kerana duduk terakhir itu mengambil masa yang agak lama dengan sendirinya Rukun Tamakninah pada masa itu ditunaikan.
10.        Memberi Salam
Salam yang pertama ialah ucapan salam sambil menolehkan muka ke sebelah kanan sebagai tanda tamatnya solat yang ditunaikan. Hadis rasul riwayat Imam Abu Dawud dan Tirmizi bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda : ‘Permulaan solat ialah Takbir dan penamatnya Salam’. Ucapan salam yang sempurna ialah : ‘Semoga selamatlah kamu dengan rahmat dan barakah dari Allah.
11.        Tartib
Maksud tartib ialah menunaikan apa yang wajib ditunaikan dahulu dan mentakhirkan apa yang wajib ditunaikan kemudian. Kaedah solat yang ditunaikan hendaklah menurut peraturan yang ditetapkan oleh Rasulullah s. a. w kerana itulah kaedah yang ditentukan oleh Allah seperti yang diajar kepada Nabi Muhammad S.A.W. oleh malaikat Jibril. Maka cacat dan batal solat yang tidak selaras dengan amalan Rasulullah S.A.W.

WAKTU DAN KIBLAT SOLAT
Telah dijelaskan secara ringkas bahawa solat tidak sah jika tidak dilakukan pada waktunya yang tertentu. Dan solat juga tidak sah jika orang yang mendirikan solat tidak megadap ke arah kiblat. Waktu solat yang wajib ditunaikan oleh setiap mukmin dibahagi kepada lima waktu. Setiap mukmin wajib mengetahui setiap waktu solat supaya setiap solat yang ditunaikannya selaras dengan waktunya. Allah berfirman pada surah An-Nisa’ ayat 103 : ‘Sesungguhnya solat itu diwajibkan atas orang beriman menurut waktu yang ditentukan’.
Lima waktu solat setiap hari menurut penjelasan Nabi s. a. w ialah Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak, Subuh. Solat zuhur waktunya bermula ketika matahari beredar dari tengah langit ke barat sedikit. Edarannya boleh dipastikan dengan mencacak seutas kayu yang tegak ke langit hingga bayangnya tidak kelihatan. Bila matahari beredar sedikit ke barat bayang kayu itu akan kelihatan beredar ke timur sedikit untuk memulakan waktu zuhur. Sebaik-baik bayang kayu itu sampai melebihi ukuran kayu itu sendiri tamatlah waktu zuhur.
Waktu asar pula bermula sebaik-baik bayang kayu tadi lebih panjang dari ukuran kayu itu sendiri hinggalah matahari terbenam di ufuk barat. Manakala waktu magrib bermula sebaik-baik matahari terbenam di ufuk barat selama masih kelihatan cahayanya (mega atau syafaq) di sana hinggalah hilang cahaya itu. Pada waktu isyak, ia bermula sebaik-baik cahaya mega maghrib hilang di ufuk barat hinggalah terbit fajar di ufuk timur menjelang terbit matahari. Waktu subuh bermula sebaik-baik terbit fajar di ufuk timur hinggalah terbit matahari pagi.
Maka setiap mukmin yang mendirikan solat lima waktu wajib menjaga setiap waktu solatnya supaya setiap solat tidak ditunaikan di luar waktunya. Allah murka terhadap orang yang melalaikan solat hingga masuk ke waktu lain. Firman Allah : ‘Maka celakalah orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai terhadap solatnya’. surah Al-Maa’un ayat 4-5. Rasulullah telah meningatkan umatnya supaya menyegerakan solat pada awal waktunya. Dan baginda sendiri serta para sahabatnya sentiasa menunaikan solat berjemaah pada awal waktu. Maka sangat besar dosa orang yang melalaikan solat hingga termasuk ke waktu solat yang lain.
Berkaitan dengan kiblat solat, salah satu syarat sah solat ialah mengadap ke arah kiblat. Setiap mukmin wajib mengarahkan muka dan dadanya kea rah Baitullah yang terletak di dalam Masjid al Haram di Kota Mekah. Oleh kerana Baitullah itu kecil berbanding dengan keluasan Masjid al Haram maka orang mukmin yang tinggal ditempat yang jauh disuruh mengarahkan dada kea rah Masjid al Haram. Allah berfirman : ‘Maka hendaklah engkau arahkan mukamu kea rah Masjid al Haram. Walau di mana pun kamu berada arahkan muka kamu ke sana’. Surah Al-Baqarah ayat 144.
Perintah Allah ini jelas hingga setiap orang mukmin yang tidak mengarahkan muka dan dadanya ke arah Masjid al Haram dalam solat dihukum solatnya tidak sah. Pendapat ulama’ hanya berbeza bila jarak di antara orang mendirikan solat dengan Masjid al Haram sangat jauh hingga mereka tidak dapat melihatnya dengan mata kasar.
Satu golongan ulama’ yang dipelopori oleh Imam As-Syafie berpendapat bahawa orang yang dapat melihat Baitullah di dalam Masjid al Haram wajib mengarahkan dadanya secara tepat ke arahnya dan jika Baitullah tidak kelihatan oleh matanya wajiblah dia berusaha memastikan jurusan Kaabah di dalam Masjid al Haram sebelum menunaikan solat. Manakala golongan lain dipimpin oleh Imam Hanafi sependapat tentang arah Kaabah secara tepat dalam solat jika Kaabah dapat dilihat, dan cukup hanya menyakini bahawa dia mengadap jurusan Kaabah kalau dia menunaikan solat di tempat yang jauh hingga Kaabah tidak dapat dilihatnya.

JENIS SOLAT SUNAT
Selain dari solat fardu yang lima waktu, Islam mendorong orang mukmin mendirikan berbagai solat atau solat sunat. Solat sunat boleh dikerjakan dan boleh ditinggalkan. Hal ini, solat sunat tidak sama seperti wajibnya solat fardu yang lima waktu. Pahala diberi kepada orang yang menunaikannya sahaja dan tidak berdosa orang yang meninggalkan solat sunat.
1.          Solat Dua Hari Raya
Rasulullah s. a. w mendirikan solat dua Hari Raya Idul-Fitri dan Idul-Adha. Idul-Fitri pada 1 Syawal dan Idul-Adha pada 10 Zulhijjah. Hukumnya sunat Muakkadah. Menurut hadis Rasulullah S.A.W. sering mendirikan solat dua Hari Raya tidak di dalam masjid. Ulama’ berpendapat mungkin pada masa itu masjid yang ada terlalu kecil. Pada masa ini, saiz masjid biasanya besar dan boleh menampung ramai para jemaah, maka lebih afdal solat Hari Raya diadakan di dalam masjid.
2.          Solat gerhana bulan dan matahari
Pada zaman jahiliyah orang Arab menyembah bulan dan matahari ketika berlaku gerhana. Maka Allah menurunkan wahyu yang melarang perbuatan syirik itu, sebaliknya orang beriman disuruh menyembah Allah yang menjadikan kedua-dua gerhana itu. (Surah Sajdah ayat 37). Solat gerhana boleh dilakukan secara berjemaah atau sendirian.
3.          Solat minta hujan
Rasulullah s. a. w pernah berdoa meminta Allah menurunkan hujan ketika berlaku kemarau panjang di Madinah. Baginda juga pernah berdoa sesudah mendirikan solat Istisqak beramai-ramai di tanah lapang. Disunatkan juga para jemaah berpuasa selama 4 hari berturut-turut dan mendirikan solat pada pagi hari yang keempat.

4.          Solat sunat Rawatib
Solat sunat Rawatib ialah solat sunat yang dilakukan sebelum dan sesudah solat fardu yang lima waktu. Solat sunat Rawatib yang diutamakan oleh Rasulullah S.A.W. (muakkad) ialah dua rakaat sebelum solat Subuh, dua rakaat sebelum solat Zuhur dan sesudahnya, dua rakaat sesudah solat Maghrib dan dua rakaat sesudah solat Isyak.
5.          Solat Sunat Jumaat
Disunatkan solat sunat sesudah solat Jumaat kerana Rasulullah S.A.W. menunaikannya sesudah Jumaat di rumahnya sendiri. Bagaimanapun, menurut sebuah hadis riwayat Imam Muslim baginda telah mendorong para sahabatnya mendirikan solat sunat sesudah Jumaat sebanyak empat rakaat.
6.          Solat Tahiyatul Masjid
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari disebut bahawa Rasulullah s. a. w apabila dating ke masjid sentiasa mendirikan solat sunat dua rakaat sebelum duduk. Solat baginda itu dipanggil Solat Sunat Tahiyatul Masjid.
7.          Solat Dhuha
Solat pada waktu pagi, ketika matahari sudah terbit kira-kira segalah (kira-kira jam 8-9 pagi) hingga tengahari. Rasulullah s. a. w sering melakukan solat Dhuha seminimanya dua rakaat dan sebanyaknya 12 rakaat.
8.          Solat Tahajjud
Solat sunat Tahajjud sering dilakukan oleh Rasulullah s. a. w selepas tengah malam. Paling kurang dua rakaat dan paling banyak tidak ada batasnya.

9.          Solat Witir
Rasulullah S.A.W. sering mendirikan solat Witir selepas solat Isyak. Solat Witir ertinya solat Ganjil. Paling kurang solat Witir ialah satu rakaat. Lebih banyak dari itu ialah tiga rakaat, lima rakaat hingga sebelas rakaat.
10.        Solat Tarawih
Solat malam sesudah solat Isyak hingga terbit fajar sepanjang bulan Ramadan. Rasulullah tidak mewajibkan pengikutnya mendirikan solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan. Baginda hanya menegaskan siapa mendirikan solat Tarawih dengan ikhlas dan percaya akan kelebihannya akan diampuni segala dosanya yang lalu.
11.        Solat Istikharah
Solat memohon petunjuk dari Allah sama ada amalan yang akan dilakuukan baik untuk diri seseorang atau keluarganya atau sebaliknya. Rasulullah S.A.W. telah menganjurkan umatnya supaya mendirikan solat Istikharah dua rakaat dan kemudian berdoa memohon petunjuk dari Allah sebelum melakukan pekerjaan penting. Sesudah solat hendaklah berdoa memohon Allah member alamat sama ada pekerjaan yang dilakukan baik untuk dirinya atau sebaliknya.
12.        Solat Sunat Mutlaq
Solat sunat yang bersifat bebas dan tidak ditentukan waktunya atau bilangan rakaatnya. Caranya sama seperti solat sunat biasa asalkan tidak dilakukan pada masa atau waktu yang dilarang.

13.        Solat Jenazah
Bila seorang mukmin atau mukminah kembali ke rahmatullah mayatnya wajib dikebumikan oleh mukmin yang hidup khususnya oleh ahli keluarganya. Hukum mengurus jenazah ialah Fardu Kifayah. Mayat perlu dimandikan, dikafan, dan disolatkan sebelum dikebumikan. Solat jenazah sebaik-baiknya dilakukan oleh ahli keluarga yang terdekat dan dilakukan secara berjemaah.

KESIMPULAN
Islam membawa ajaran yang telah disempurnakan, setelah Nabi Muhammad S.A.W. pulang dari perjalanan Isra’ dan Mi’raj, beliau membawa perintah dari Allah s. w. t supaya dia dan umatnya mengerjakan ibadah solat. Solat ialah salah satu perintah Allah yang amat penting hingga siapa yang tidak mendirikan solat disifatkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai meruntuhkan agamanya. Rasullulah S.A.W. juga memberi amaran bahawa perbezaan di antara orang mukmin dan kafir ialah solat. Yang patuh mendirikan solat ialah mukmin dan yang tidak mendirikan solat tanpa uzur hukumnya tidak lain dari kafir.
Pada masa kini, ramai masyarakat Islam mengambil mudah tentang solat. Padahal solat fardu lima waktu merupakan “Tiang Agama” bagi umat Islam. Hal ini, umat Islam perlu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. di mana dan dalam keadaan bagaimana pun. Sesunggunhnya Allah sentiasa melihat dan memerhatikan kita. Tidak ada sesuatu yang tidak Ia ketahui.
Sesungguhnya mendekatkan diri kepada Allah merupakan kedudukan yang paling mulia dan suci. Itulah kedudukan ihsan sebagaimana diisyaratkan oleh Rasulullah s. a. w : “Ihsan adalah engkau beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu.

------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com