Tajuk: Pengurusan Dalam Islam

DEFINISI PENGURUSAN
(i) Definisi Pentadbiran
Muhammad A. Al-Buraey, menyatakan pentadbiran atau administration dalam bahasa Inggeris diambil daripada bahasa Latin iaitu administrare yang bermaksud pengurus.

Gladden mendefinisikan pentadbiran sebagai mengurus dan mengawas manusia untuk menyelesaikan masalah.

Muhammad Abd. Rauf mendefinisikan pentadbiran sebagai proses pelaksanaan untuk mencapai sesuatu matlamat atau projek.

H. G. Federickson pula mentakrifkan pentadbiran sebagai pentadbiran Negara secara sistematik untuk tujuan kebajikan dan memenuhi keperluan sosial.

Manakala Dimock mengklasifikasikan pentadbiran sebagai melaksanakan tugas pemerintahan, menyelaraskan tenaga kerja dan bekerjasama dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab.

(ii) Definisi Pengurusan
Ahmad Ibrahim Abu Sin mendefinisikan pengurusan satu kajian ilmiah terhadap bakat dan kebolehan serta kemahiran seseorang menjadi pengurus.

Taji, sarjana India menyatakan bahawa pengurusan sebagai melaksanakan perintah dan menyelaraskan kegiatan bersama kelompok.

Muhammad A. Buraey menjelaskan pengurusan sebagai menyelaraskan tenaga manusia untuk mencapai matlamat kelompok sebagai makhluk sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain.

Manakala L. D. White mentakrifkan pengurusan sebagai menyelaraskan tenaga kerja untuk mencapai matlamat Negara.

Umar bin al- Khattab pula mendefinisikan pengurusan sebagai melayani kehendak awam atau rakyat.

Tuntasnya, rumusan yang dapat disimpulkan daripada pendapat para sarjana ialah pengurusan boleh didefinisikan sebagai :

- Kemahiran dalam perancangan dan pelaksanaan untuk mencapai sesuatu matlamat.

- Pelaksanaan dasar pemerintahan untuk kebajikan awam atau rakyat.

- Penyelarasan antara agensi kerajaan untuk melaksanakan dasar yang telah diputuskan bagi mencapai matlamat Negara iaitu kebajikan dan keperluan awam.
(iii) Perbezaan
Pendapat para sarjana memberi perbezaan yang ketara antara satu dengan yang lain. Mereka memberi perbezaan pendapat yang besar iaitu :

1. Pentadbiran merupakan pelaksanaan tugas harian dan tidak melibatkan penggubalan dasar.

2. Pentadbiran tidak termasuk hal mengambil keputusan.

3. Pentadbiran di peringkat kerajaan tidak mengutamakan keuntungan, sedangkan pengurusan di sektor swasta fungsinya ialah sebaliknya.

4. Pentadbiran merupakan system pelaksanaan dan penyelarasan untuk mencapai matlamat organisasi, manakal pengurusan merupakan penyelarasan tenaga manusia.

(iv) Persamaan
Pendapat para sarjana ada juga yang mempunyai persamaan dan berkait rapat. Walaupun ia berbeza dari segi sebutan dan ejaan tetapi dari segi penggunaan dan amalannya adalah sama.

Kesimpulannya sehingga kini belum lagi wujud satu definisi yang tetap dan muktamad mengenai pentadbiran dan pengurusan.

KEPENTINGAN KAJIAN PENGURUSAN
(i) Kepentingan Kajian
Ahmad Ibrahim Abu Sin menjelaskan bahawa kajian mengenai pentadbiran dan pengurusan merupakan satu keperluan.

Melalui kajian ia dapat menyedarkan pengkaji khususnya dan masyarakat tentang kepentingan elemen-elemen di dalam organisasi dan pengurusnya. Secara tidak langsung melahirkan sikap saling membantu dalam pengurusan, mengaplikasikan segala sumber yang ada seperti sumber manusia dan alam, mengikir sikap membuta tuli dalam pengurusan.

(ii) Objektif Teori Pengurusan
Kajian terhadap teori pengurusan dijadikan teladan bagi setiap lapisan masyarakat dalam mengatur langkah dan tingkah laku untuk berurusan dengan orang lain.

(iii) Teori Pengurusan Mutakhir
Ahmad Ibrahim Abu Sin menyenaraikan beberapa teori pengurusan mutakhir yang termasyur di antaranya ialah :

a. Teori Pengurusan Ilmiah
Teori ini dikenali dengan pengurusan saintifik dan teori pengurusan akademik. Selain itu ia menekankan tentang perubahan ekonomi dan kesannya terhadap pekerja. Walaubagaimanapun, ia juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri iaitu membelakangkan nilai kemanusiaan dengan hanya menekankan manusia sebagai makhluk ekonomis dalam meningkatkan produktiviti sehinggakan mengetepikan unsure kejiwaan, cara hidup dan nilai kemasyarakatan.

b. Faham Hubungan Kemanusiaan

Teori faham hubungan kemanusiaan lahir hasil daripada reaksi untuk menyangkal teori pengurusan ilmiah. Teori ini menjelaskan pekerja merupakan insan sosial yang perlu berinteraksi, tingkah laku, cara berfikir dan pegangan hidup pekerja itu dipengaruhi oleh masyarakatnya dan untuk memenuhi keperluan masyarakat seseorang itu perlu bekerja keras dalam meningkatkan produktiviti selain memenuhi keperluan peribadi. Keistimewaan teori ini telah merangkumi disiplin pekerja di dalam satu organisasi. Kelemahannya ialah kurang mengambil berat penyusunan rasmi dalam hal pengurusan pentadbiran dan latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerja.

c. Teori Birokrasi

Teori ini dikemukakan oleh Max Weber. ia mempunyai caranya yang tersendiri :
• Agihan kerja mengikut profesion masing-masing dan mempunyai hierarki atau struktur organisasi iaitu jawatan tertinggi menurun hingga pekerja bawahan.
• Hubungan pekerja dengan pihak pengurusan ialah urusan rasmi bukan peribadi. Hubungan itu ditentukan oleh peraturan yang menentu dan mengawal tingkat produktiviti dan kualitinya.
• Pemilihan pekerja berdasarkan kepada kelayakan dan keupayaan atau kemahirannya bukan dipengaruhi oleh hubungan kekeluargaan, kelompok atau seumpamaannya.
d. Teori Semasa.
Teori semasa ialah teori perubahan sosial, demokrasi dan layan keperluan individu dalam pengurusan. Asas utama teori ini ialah :
• Mengutamakan hubungan kemanusiaan.
• Mengubah fikiran pekerja.
• Perubahan yang dirintis oleh pakar psikologi dan sosiologi.
• Menyedarkan pekerja tentang diri dan peranannya sebagai makhluk bergerak dan berubah untuk mencapai matlamat.

e. Teori Pengurusan Bersama
Isi utama teori ini ialah ;
• Sistem pengurusan merupakan suatu sistem yang terbuka.
• Semua unit di dalamnya sentiasa bekerjasama dalam pertukaran maklumat, bantuan kewangan, tenaga manusia dan sebagainya.
• Sistem pengurusan terdiri daripada unit teknikal, maklumat, kemanusiaan, ekonomi dan kewangan yang saling berkaitan dan tidak boleh dipisahkan.
Kelemahannya ialah organisasi hanya mengambil kira soal hubungan, kekuasaan dan moral serta tidak menoleh kepada perubahan masyarakat sedangkan ia mempunyai pengaruh yang besar ke atas organisasi. Kesannya pekerja mengalami konflik jiwa apabila melihat pengurusan atasan mengambil sahabat, keluarga dan kenalan sebagai pekerja yang bertentangan dengan kepentingan pekerja pada keseluruhannya.
f. Teori Etika.
Teori ini sangat berpengaruh kerana dapat menyelesaikan masalah dalam pengurusan. Ia memberi penekanan nilai dan etika yang menjadi penghalang utama berlakunya penyelewengan di dalam organisasi. Ciri utama teori teori ini ialah :
• Mengutamakan nilai dan etika yang murni.
• Membela nasib pekerja.
• Kajian ditumpukan kepada diri manusia dan moralnya.
• Memperjuangkan kerjasama dan demokrasi dalam pengurusan.
Teori ini ditentang oleh kapitalisme dan sosialisme. Namun begitu teori inilah yang diaplikasikan oleh seluruh dunia.

TEORI PENGURUSAN ISLAM
Teori pengurusan Islam telah lama wujud sejak kelahiran Tamadun Islam iaitu di zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ia merupakan sebahagian daripada Tamadun Islam di samping politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sebahagianya. sejak awal lagi telah lahir ramai ulama dan sarjana Islam yang menjalankan kajian dan mengeluarkan pelbagai teori berkaitan dengannya. Kesempurnaan teori pengurusan Islam mendapat perhatian dari sarjana Barat dalam abad ke-19 untuk menjalankan kajian secara serius. Ulama dan sarjana Islam mutakhir menyambung daya usaha ulama silam dalam kajian hal pengurusan yang kian mendapat tempat pada masa kini. Segalanya berpunca daripada keunggulan dan kesempurnaan teori pengurusan Islam yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak.
Contoh Pengurusan Islam.
a) Matlamat dan objektif.
• Pihak pengurusan dan pekerja sebagai khalifah Allah Subhanahu wa ta’ala. di muka bumi yang diamanahkan untuk menegakkan kalimah Allah Subhanahu wa ta’ala. menjalankan pengurusan secara adil dan memelihara hubungan yang baik sesame manusia.
• Melaksanakan syariah termasuk di dalamya ibadat, muamalat dan hukum Islam.
• Memakmurkan bumi Allah Subhanahu wa ta’ala. mengikut cara yang diredhai-Nya.
b) Pelaksanaan
• Mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan dengan pekerja dan masyarakat melalui nilai bersama.
• Mengutamakan syura dan kerjasama untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti.
• Memperkukuhkan ekonomi dan kemakmuran di samping menjaga kebajikan pekerja.
c) Gerak kerja
• Menyediakan tenaga pekerja yang mencukupi, kelayakan dan kemahiran serta latihan yang sesuai.
• Memupuk sifat amanah dalam tingkah laku dan meningkatkan keyakinan diri pekerja dengan kekuatan kerohanian dan akhlak.
• Meningkatkan disiplin dari perancangan, pengurusan tugas, pelaksanaan, penyeliaan, peneguhan pekerja hinggalah kepada produktiviti dan kualiti.
• Meningkatkan kerjasama seperti ketaatan, kepatuhan dan kesetiaan kepada pengurusan oleh pihak pekerja.
d) Output
• Budaya kerja cemerlang.
• Pengurusan berkualiti.
• Perkhidmatan masyarakat yang sempurna.
• Membentuk masyarakat yang adil, stabil dan bahagia.
e) Penilaian semula.
• Mengumpulkan semua pendapat, pandangan dan penilaian masyarakat terhadap pengurusan.
• Mengukur keupayaan dan kejayaan melaksanakan tugas dan tanggungjawab semua pihak yang terlibat di dalam pengurusan dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat buruh.

SEJARAH PENGURUSAN
(i) Zaman Tamadun Purba
Pengurusan telah lahir serentak dengan kelahiran tamadun manusia. Ia telah bermula apabila manusia mahu melaksanakan sesuatu tugas atau pekerjaan secara berkumpulan dan beramai- ramai. Contohnya ialah tamadun Mesir Kuno. Piramid menjadi saksi bagaimana orang Mesir dahulu mempunyai pengurusan yang cekap. Ia merupakan salah satu benda ajaib di dunia yang masih kekal walaupun telah berusia 5000 tahun.
Pengurusan merintis jalan kepada kecemerlangan pencapaian Mesir Kuno dalam pembangunan, seni bina dan kemajuan pada keseluruhannya. Sejarah menjadi saksi pengurusan yang cekap telah bermula sejak zaman purba lagi. Kebangkitan pelbagai tamadun dengan peninggalan yang menakjubkan menjadi bukti kecanggihan pengurusan mereka.
(ii) Zaman Jahiliah
Jahiliah bermaksud kebodohan. Masyarakat Jahiliah terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, Badwi yang tinggal di padang pasir yang menjalani hidup secara nomad. Kedua, Hadhari yang tinggal di kota dan menjalankan kegiatan perdagangan. Mereka telah bertamadun dan mempunyai pentadbiran, pengurusan dan pemerintahan yang terhad.
(iii) Zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.
Jangka masa 12 S. H. hingga 11 H/610-632 M ialah zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Amanah, tanggungjawab dan tugas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. adalah untuk mendaulatkan kalimah Allah Subhanahu wa ta’ala. di atas muka bumi atau menyebarkan dakwah Islamiah. Bagi memastikan kesemuanya terlaksana, pemerintahan, pengurusan dan pentadbiran yang cekap dan berkualiti telah diperjuangkan.
Masjid Madinah menjadi pusat pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan negara Islam yang diterajui oleh Rasulullah di samping sebagai pusat dakwah, agama, sosial, ibadat, syura dengan sahabat, surat menyurat kepada raja, ketua negara dan sebagainya. Baginda juga menjadikan masjid sebagai tempat untuk menerima rombongan yang ingin memeluk Islam.
Pengurusan dan pembahagian tugas oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dalam pengurusan negara Islam ketika itu jelas, bersistematik dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Di antaranya, meluaskan pengalaman dan amalan demokrasi, penguasa tempatn lebih memahami masalah mereka dan dapat menyelesaikan sendiri, membantu memupuk tanggungjawab kemasyarakatan, tempatan dan perpaduan kaum.
.
(iv) Zaman Khulafa Al- Rasyidin
Khalifah yang pertama ialah Abu Bakar al-Siddiq yang mentadbir dan menguruskan negara Islam sebaik sahaja kewafatan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam selama empat tahun. Beliau mengekalkan prinsip dan sistem yang diasaskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. di mana tugas khalifah tetap terbahagi kepada dua iaitu sebagai ketua ibadat dan pentadbiran serta pengurusan.
Umar bin al-Khattab merupakan khalifah yang kedua. Beliau telah mengubah corak pentadbiran dan pengurusan yang diwarisi daripada Abu Bakar al-Siddiq. Beliau menggariskan dasar yang lebih jelas terutama hubungan antara pentadbiran dan pengurusan dengan orang perseorangan. Dasar yang digariskan itu ialah menegakkan keadilan, kekuasaan dan perintah mengikut syariah Islamiah.
Uthman bin Affan yang menjadi khalifah al- Rasyidin yang ketiga mengekalkan sistem pentadbiran dan pengurusan yang dipelopori oleh Umar bin al-Khattab. Beliau juga mengutamakan sistem syura seperti mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam., Abu Bakar dan Umar.
Ali bin Abi Talib juga mengikut jejak langkah semua khalifah sebelumnya. Gabenor yang dilantik diberikan kuasa mutlak untuk menjalankan pentadbiran dan pengurusan wilayah masing-masing, tetapi diberikan pengawasan yang rapi dan teliti. Di dalam pentadbiran pengurusan negara Islam, Ali bin Abi Talib memiliki keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri berbanding dengan semua khalifah al-Rasyidin sebelumnya.
(v) Zaman Bani Umaiyah
Perkembangan pentadbiran dan pengurusan di zaman pemerintahan Bani Umaiyah berlaku dengan begitu pesat. Keadaan politik menyebabkan dasar pemerintahannya berbentuk kekeluargaan yang menolak Majlis Syura. Ia memberi kesan kepada pentadbiran dan pengurusan secara langsung dan tidak langsung. Penindasan terhadap golongan Khawarij, Bani Hisyim dan Bani Abasiyah.

FALSAFAH PENGURUSAN
Falsafah pengurusan barat dan Jepun terlalu mengutamakan keuntungan sehingga lupa kepada matlamat yang lebih murni iaitu mendapat al-falah atau kejayaan di dunia dan di akhirat. Kejayaan yang sebenrnya ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Memang tidak dapat dinafikan wujudnya etika pengurusan di barat dan Jepun, tetapi dengan hanya bergantung kepada akal semata- mata, etika yang diperjuangkan tidak bersifat benar. Etika itu banyak dipengaruhi keadaan, masa, dan persekitaran. Keuntungan tetap diburu dan etika sebagai alat untuk mencapinya. Falsafah pengurusan Islam lebih jitu dan sempurna keran sumbernya yang mantap iaitu al-Quran dan al-Sunnah dan asasnya pula begitu kukuh, iaitu akidah, syarak dan akhlak.

SISTEM PENGURUSAN BARAT
Peringkat pengurusan mempunyai lima peringkat seperti berikut ;
 Perancangan (planning)v
 Susun atur (organizing)v
 Perjawatan (staffing)v
 Kepimpinan (leading)v
 Kawalan (controlling)v
Peranan utama pengurusan ialah menyelaraskan tenaga kerja atau sumber manusia (forehead, lead, and liason). Contohnya pihak pengurusan wajib memperkenalkan dasar dan program kepada kakitangannya untuk membentuk sikap dan nilai yang positif. Menyelaraskan antara pihak pengurusan dengan pekerja dalam bidang korporat dan budaya kerja.
Pengurusan yang dinamis iaitu telah diperkenalkan oleh pakar pengurusan barat. Ciri- cirinya adalah seperti yang berikut :
i. Ramalan
ii. Pengorganisasian
iii. Pimpinan
iv. Pengawalan
v. Perancangan bertindak

Tuntasnya pengurusan barat dari segi sistemnya memang tidak dapat dinafikan dari segi kecanggihannya jika dilihat dari segi aspek pencapaian kebendaan iaitu perkhidmatan berkualiti dan kecemerlangan. Walau bagaimanapun segi kerohaniannya ia masih lagi boleh dipertikaikan.

SISTEM PENGURUSAN ISLAM
Ahmad Ibrahim Abu Sin menjelaskan bahawa pengurusan Islam itu mempunyai beberapa prinsip. Di antaranya ialah :
1. Demokrasi.
- Ia membawa maksud jaminan hak individu untuk bertindak bagi mendapat dan mempertahankan haknya.
2. Syura.
- Islam mewajibkan agar setiap keputusan yang hendak diambil oleh pihak pengurusan mestilah terlebih dahulu diadakan perundingan, perbincangan dan mesyuarat dengan kakitangan.
3. Delegasi.
- Setelah keutusan dibuat maka delegasi atau agihan dan penyerahan tugas dilakukan mengikut kelayakan, kemahiran dan minat seseorang.
Penyusunan dan Perancangan Pengurusan
Penyusunan ialah mengumpul dan menyenaraikan segala rancangan dan kegiatan untuk mencapai sesuatu tujuan.
Perancangan yang baik ialah keupayaan menggunakan sumber manusia dan sumber alam sebaik mungkin. Cara melaksanakan perancangan itu ialah dengan mengadakan pembahagian tanggungjawab dan tugas.
Pengawasan dalam Pengurusan
Pengawasan dan pengurusan ialah sebahagian daripada pengurusan itu sendiri. Ia melibatkan keseluruhan sistem pengurusan iaitu perancangan, penyusunan, kepimpinan membuat keputusan dan pelaksanaan.
Motivasi
Pembentukan budaya kerja cemerlang dalam pengurusan dan perkhidmatan berkualiti hanya dapat dicapai setelah terlaksana beberapa faktor penting contohnya wujudnya motivasi atau dorongan untuk mencapai kecemerlangan dan kualiti.
Sesungguhnya sistem pengurusan Islam itu lengkap dan sistematik. Hal ini bertitik tolak dari prinsip pengurusannya yang jelas, penyusunan dan perancangan pengurusan yang teratur atau termasuk jangka pendek dan jangka panjang. Pengawasan yang menyeluruh dan terperinci serta motivasi yang mempunyai asas yang kukuh iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala. dan tidak semata-mata untuk kepentingan kebendaan dan keduniaan.

KEDUDUKAN PENGURUSAN ISLAM
(i) Tugas Negara
Kewajipan umat Islam ialah menubuhkan dan mengekalkan negara dan pemerintahannya untuk membolehkan umat Islam melaksanakan ibadat khusus dan ibadat umum dengan sempurna, aman, damai dan tanpa sebarang gangguan. Malah menegakkan pemerintahan dan negara itu sendiri termasuk dalam lingkungan ibadat.
(ii) Ketua dan Kakitangan
Keperluan ketua dalam pentadbiran dan pengurusan adalah untuk menyelaraskan arahan, mengatur dan mengelakkan penggunaan pendapat sendiri yang boleh merosakkan masyarakat. Dalam erti kata lain ketua dalam suatu organisasi adalah untuk kemuslihatan umum.
Dari semasa ke semasa, kakitangan pentadbiran dan pengurusan wajar dipertimbangkan dari segi kenaikan pengkat berdasarkan kepada prestasi kerja, komitmen yang diberi, kelebihan ilmu, kecekapan bekerja, mempunyai visi dan sebagainya.
(iii) Kuasa dan Tanggungjawab
Kuasa dan tanggungjawab merupakan dua unsur yang tidak dapat dipisahkan dalam pengurusan dan mempunyai kaitan yang rapat dengan pemerintahan pusat. Kekuasaan ialah kemampuan membuat keputusan dan tindakan terakhir sebelum melaksanakannyal.
(iv) Bentuk Kepimpinan
a. Demokrasi
- Segala keputusan itu ditentukan oleh suara teramai atau majority.
b. Autokrasi
- Pemimpin mempunyai kuasa mutlak. Segala keputusan ditentukan oleh pemimpin tanpa terlebih dahulu berbincang dengan orang bawahan.
c. Laissez faire
Pemimpin seolah- olah tidak berfungsi. Rakyat atau orang bawahan yang menentukan segala-galanya.
Tuntasnya pengurusan merupakan satu bahagian dari organisasi pemerintahan dan negara. Pengurusan tidak akan terlaksana jika tiada kakitangan dan pemimpinnya. Justeru itu perlantikan kakitangan dan ketua pengurusan merupakan satu kewajipan negara. Pemimpin diberikan kuasa dan tanggungjawab serta gaji dan kemudahan setimpal. Seterusnya mesti menjalankan amanah yang diberikan dengan ikhlas, jujur, dedikasi dan sempurna. Pemimpin yang cemerlang ialah mempunyai kemahiran konsepsi, kemahiran komunikasi dan kemahiran teknikal.

PERJAWATAN DALAM PENGURUSAN
Kedudukan Jawatan
 Jawatan itu amanah dan tanggungjawabv
- Setiap jawatan yang disandang oleh seseorang dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat terendah di dalam sesuatu organisasi dan pengurusan dikira oleh Islam sebagai amanah dan tanggungjawab. Ini bereti jawatan, pangkat dan kuasa bukan suatu keistimewaan dan bukan untuk tujuan kebanggaan serta riak.
 Utamakan kelayakanv
- Islam menegaskan bahawa semakin tinggi sesuatu jawatan dalam sesebuah organisasi maka, semakin tinggi kelayakan dan syarat yang dikenakan oleh Islam.
Sesungguhnya Islam meletakkan jawatan dan pekerjaan di satu tahap yang tinggi sehingga ia di anggap sebagai satu amanah dari Allah Subhanahu wa ta’ala. Setiap amanah mempunyai tuntutan dan tanggungjawab yang wajib disempurnakan. Bukan untuk mencari nama, kemegahan, riak dan sebagainya. Oleh kerana jawatan itu sebagai amanah, hanya mereka yang mempunyai kelyakan, kemahiran, kecekapan dan kemampuan sahaja yang harus dilantik mengikut kesesuaian. Gaji dan kebajikan yang setimpal wajar diberikan oleh majikan, organisasi dan pengurusan sebagai ganjaran pengorbanan masa, tenaga dan hidup mereka.

NILAI DAN ETIKA PENGURUSAN
Perkhidmatan cemerlang, produktiviti yang maksimum dan pengurusan berkualiti merupakan matlamat utama setiap organisasi amnya dan Perkhidmatan Awam Malaysia khasnya. Semuanya itu tidak akan dicapai tanpa wujudnya budaya kerja cemerlang, nilai
dan etika yang murni. Justeru itulah unsure- unsure tadi dititikberatkan. Pengabaiannya mengakibatkan meluasnya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan krisis pengurusan dan pentadbiran di seantero dunia amnya dan di Malaysia khasnya.

NILAI KUALITI DAN BUDAYA KERJA CEMERLANG
Kualiti didefinisikan sebagai kepuasan hati pelanggan dan menurut keperluan yang di tetapkan. Lebih jelas lagi dalam keadaan yang paling baik, menepati kehendak yang ingin dicapai.
Nilai kualiti pula didefinisikan sebagai kepercayaan, keyakinan dan norma yang berfungsi sebagai tenaga penggerak yang menentukan perlakuan, tindakan dan proses organisasi.
Budaya kerja cemerlang ialah tata cara dan etika kerja yang baik di kalangan kakitangan pengurusan atasan dan pekerja bawahan.
Sesungguhnya dengan perkembangan tamadun dunia menjelang abad 21, budaya kerja cemerlang dan pengurusan berkualiti merupakan satu kemestian yang dipikul oleh Perkhidmatan Awam Malaysia. Untuk mencapai matlamat itu, nilai dan falsafah yang mendominasi segala usaha, pekerjaan dan tindakan dalam pengurusan perlu diwujudkan. Ia juga mempunyai prinsip, cirri, asas, unsur dan jangka masa pelaksanaannya.

BUDAYA KUALITI
Budaya adalah manifestasi dari nilai, sikap dan amalan. Ia boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu set kefahaman utama yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi.
Budaya kerja cemerlang dan pengurusan berkualiti merupakan satu tuntutan di kalangan Perkhidmatan Awam dan sebagai cabaran menjelang 2020. Nilai dan etika yang murni menuju ke arah itu wajar dijadikan budaya kakitangan Perkhidmatan Awam. Kepentingannya tidak perlu dipertikaikan kerana seara tidak langsung membolehkan nilai dan etika itu dihayati dan dipraktikkan sehingga menjadi kebiasaan.

PROFESIONALISME
Profesionalisme sebagai setiap anggota organisasi yang mempunyai ilmu yang tinggi dan kemahiran yang mencukupi untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab demi menghasilkanperkhidmatan lebih efisien, cekap dan efektif. Justeru itu setiap anggota organisasi berkewajipan untuk meningkatkan ilmu, kecekapan, kebolehan kemahiran berkaitan dengan bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Sesungguhnya profesionalisme dalam pengurusan itu di sempurnakan dengan kejujuran intelektualisme, neutrality, kepimpinan, bekerjasama, kreativiti, inovasi, utamakan pelanggan, pengurusan diri, kemajuan diri, akauntibiliti, kecekapan menguruskan masa dan keputusan yang tepat dan berkesan.

NILAI DAN ETIKA PERKHIMATAN AWAM
Nilai dan etika mempunyai definisinya yang tersendiri. Nilai lebih kepada keyakinan dan kepercayaan. Sedangkan etika lebih kepada ukuran baik dan jahat. Perkhidmatan Awam sebagai salah satu institusi yang mendokong negara, ia wajar menghayati dan mengamalkan nilai- nilai dan etika untuk menjamin tercapainya matlamat negara.

UNSUR NILAI DAN ETIKA
Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai nilai dan etika yang menyeluruh dan terperinci. Ia disempurnakan dengan pelbagai pekeliling yang menerangkan garis panduannya di peringkat kementarian dan jabatan. Pada keseluruhannya, nilai dan etika Perkhimatan Awam Malaysia lebih banyak dipengaruhi oleh nilai dan etika pengurusan Islam. Hal ini bersesuaian sekali dengan kehendak perlembagaan negara ini yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi di samping menjamin kebebasan agama lain.

NILAI DAN ETIKA PENGURUSAN ISLAM
Nilai dan etika pengurusan Islam lebih menyeluruh, mempunyai cirri dinamisme, profesionalisme dan sempurna. Hal ini bertitik tolak daripada tanggapan bahawa segala apa yang dilakukan oleh manusia semuanya dikira sebagai ibadat termasuk ketaatan dan tanggungjawab kepada Allah, keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.
Sesungguhnya nilai dan etika kerja dikemukakan oleh Islam lebih menyeluruh, lebih tahan diuji dan sempurna. Islam mengenal pasti musuh utama manusia iaitu nafsu dan syaitan. Justeru itu nilai- nilai yang bersifat kerohanian lebih ditekankan kerana itulah perisai yang dapat mencegah kemungkaran.

PENERAPAN NILAI- NILAI ISLAM
Malaysia begitu bernasib baik kerana perlembagaan telah mengiktiraf bahawa Islam sebagai agama rasmi negara ini di samping memelihara kebebasan agama lain. Peruntukan ini memberi peluang yang luas dan seharusnya dipergunakan oleh umat Islam untuk meluaskan lagi pengaruh dan amalan Islam khususnya menerapkan nilai- nilai Islam ke dalam pengurusan organisasi (Perkhidmatan Awam). Tolak ansur dan fleksibiliti yang diiamalkan setakat ini memperlihatkan kebaikannya di mana penerapan nilai- nilai Islam telah diterima di semua peringkat tanpa sebarang masalah besar. Itulah yang dituntut oleh Islam iaitu menggunakan hikmah dalam penyebaran dakwah Islamiah.

RASUAH
Rasuah dipersetujui oleh sarjana dari pelbagai disiplin ilmu sebagai salah satu penyakit sosial yang merbahaya. Ia diibaratkan sebagai barah yang boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan sejak dahulu hingga kini. Usianya amat tua sekali iaitu bermula sejak tamadun manusia mengenal pemerintahan dan hidup bernegara. Ia terus menjadi fenomena masyarakat dari zaman ke zaman hingga kini. Ia tidak mungkin dapat dihapuskan sama sekali tetapi wajib dikawal.

PENUTUP
Sesungguhnya sarjana pengurusan dan pentadbiran sehingga kini belum lagi dapat member satu definisi yang tunggal untuk pengurusan dan pentadbiran. Sebab itulah konsep pengurusan dan pentadbiran sentiasa bercampur-aduk antara satu sama lain dan tiada satu garis pemisah yang jelas. Umum menerima pengurusan lebih besar daripada pentadbiran.

Teori pengurusan dan pentadbiran telah bercambah seperti cendawan tumbuh. Namun demikian teori yang dikemukakan dari perspektif etika lebih matang dan unggul. Etika itulah merupakan jiwa yang menghayati pengurusan dan pentadbiran yang baik. Tanpa etika, pengurusan tidak berkemampuan untuk mencapai falsafah, objektif dan matlamat pengurusan.

Pengurusan merupakan satu daripada pencapaian tamadun manusia yang tertua. Ia telah lahir serentak dengan kelahiran tamadun manusia itu sendiri. Pengurusan telah wujud sejak manusia mengenal institusi pemerintahan atau hidup bernegara.

Konsep pengurusan Islam telah lahir serentak kelahiran Islam iaitu ketika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. masih berada di Makkah lagi. Pengurusan Islam kian matang dan mantap sebaik sahaja Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. berhijra ke Madinah dan terdirinya pemerintahan Islam yang pertama di situ. Al-Quran dan al-Sunnah merupakan sumber pengurusan Islam. Asasnya pula ialah akidah, syarak dan akhlak.

Pengurusan barat dan Jepun mengutamakan keuntungan. Itulah falsafah pengurusan mereka. Sedangkan falsafah pengurusan Islam adalah untuk mencapai al-falah atau kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Sistem pengurusan barat sememangnya nampak canggih dan unggul. Jika ditinjau dari sudut kebendaan semata-mata sememangnya kenyataan itu ada benarnya. Tetapi jika ditinjau dari sudut kerohanian ia masih boleh dipertikaikan. Di sinilah letaknya kelebihan sistem pengurusan Islam yang mengimbangkan antara unsure kebendaan dengan kerohanian serentak.

Pengurusan mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Hal ini disebabkan fungsinya sebagai pendokong atau pelaksana kepada dasar pemerintahan. Pemerintah yang tidak membawa apa-apa erti tidak akan mencapai matlamatnya tanpa bantuan dari pengurusan. Justeru itu, kepentingan pengurusan dari kaca mata Islam adalah sama dengan kepentingan pemerintahan itu sendiri.

Jawatan pengurusan merupakan satu amanah daripada Allah Subhanahu wa ta’ala menurut Islam. Oleh itu hanya mereka yang benar-benar berkelayakan, mempunyai kecekapan, kemahiran dan kesungguhan sahaja yang seharusnya dilantik memegang jawatan tersebut. Mereka sebaliknya berhak untuk mendapat gaji yang setimpal dan kemudahan-kemudahan kebajikan yang ada.

Untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan hasil atau keluaran yang berkualiti tinggi, budaya kerja menuju ke arah itu perlu di wujudkan. Budaya kerja cemerlang dan berkualiti hanya dapat diabadikan setelah wujudnya nilai dan etika yang mendokong budaya itu. Nilai dan etika yang murni itu semestinya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini disebabkan pengurusan Islam itu dapat menyelesaikan masalah pengurusan bermula dari akar umbinya bukan dari pucuk atau rantingnya.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com