DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Pendidikan Islam
DISEDIAKAN OLEH:
Nurul Farah Husna bt Hassan
(2011382581)
PROGRAM:
Diploma Pengurusan Perniagaan
TARIKH HANTAR:
13 September 2012
ABSTRAK
Zakat merupakan salah suatu instrumen pembangunan ekonomi Islam
secara amnya. Hal ini kerana pensyariatan zakat telah dijelaskan melalui
dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah sebagai instrumen ketiga rukun Islam.
Keyakinan umat Islam terhadap hukum Zakat memberkati kehidupan umatnya agar
pihak yang ditaklifkan terus dapat menyumbang kepada elemen ekonomi ini. Zakat
merupakan salah satu aspek syariat Islam yang mempunyai hubungkait yang rapat
dengan kehidupan manusia. Antaranya ialah untuk mengatasi masalah kemiskinan,
menegakkan keadilan, membina kesejahteraan, kesihatan dan masalah-masalah
sosial lainnya.
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji dengan lebih terperinci
tentang pengertiandan hukum zakat dan menghuraikan syarat-syarat wajib zakat
dan jenis-jenis zakat. Selain itu kajian ini juga bertujuan untuk menjelaskan
penerima zakat dan barang yang dibolehkan untuk zakat serta jumlah yang
perluseseorang itu memberi zakatnya. Terdapat beberapa mazhab yang digunakan
dalam bahan rujukan saya iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’e untuk
mengalisis tentang zakat kerana huraiannya yang berbeza dan terjawab segala
persoalan.
Oleh yang demikian saya juga berharap agar kajian ini dapat
memuaskan hati pembaca dan dapat juga dijadikan manfaat kepada saya sendiri.
Segala kekurangan datang daripada saya dan yang sempurna daripada Allah Azza wa
Jalla.
PENDAHULUAN
Alhamdulilah syukur kehadhrat Allah Azza wa Jalla kerana dengan
limpah kurniaNya dan selawat salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S. A.
W. , akhirnya assigment ini dapat disiapkn dalam serba yang kekurangan. Adalah
diharapkn dengan kekuranagn dan kekilafan yang ada dapat diperbetulkan dan
dimanfaatkn oleh diri sendiri dan juga kepada semua pecinta ilmu Allah.
Kajian ini bertujuan
menghuraikan dengan jelas jenis-jenis Zakat dan segala persoalan tentang zakat
yang merangkumi sosial, ekonomi, keluarga dan lain-lain lagi. Selain itu kajian
ini bertujuan memberi penerangan daripada sumber-sumber yang pelbagai.
Akhir sekali saya ingin merakamkan terima kasih yang tidak
terhingga kepada mereka yang telah membantu dalam menyelasaikan kajian ilmiah
ini. Semoga usaha ini diredhai oleh Allah Taala sebagai amal ibadat. Saya
berharap kajian ini menjadi pembuka jalan kepada usaha untuk mengkaji lebih
mendalam teknik-teknik perundangan Islam selepas Zaman Khulafa’ Rasyidin.
KONSEP
Pengertian Zakat dari Sudut Bahasa
Keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan
zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya
dan menjauhkannya dari segala kerosakan sebagaimana Ibnu Taimiah berkata : Diri
dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi suci dan bersih serta hartanya
berkembang secara maknawi.
Pengertian Zakat dari Sudut Syarak
Sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah s. w. t
untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang
telah dinyatakan di dalam al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar
tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz
zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta
orang yang wajib mengeluarkan zakat.
Zakat Syar'ie kadang kala dinamakan sedekah di dalam bahasa
al-Quran dan Hadis sebagaimana Firman Allah s. w. t:
Bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi
sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan
doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi
mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah at-Taubah, Ayat: 103)
Manakala di dalam Hadis Sahih pula, Rasulullah s. a. w bersabda
kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman:
Beritahulah kepada mereka bahawa Allah s. w. t mewajibkan mereka
mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut diambil
daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang
yang miskin di kalangan mereka).
(Hadis ini dikeluarkan oleh jemaah ahli hadis)
HURAIAN
Hukum Zakat
Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam dan ia juga
merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh
ditegakkan tanpanya. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang
yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir. Hukumnya adalah fardhu ain
bagi yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Zakat telah difardukan pada tahun
kedua Hijrah dan ia telah disebut di dalam beberapa potong ayat di dalam Kitab
Suci al-Quran dan as-Sunnah dan Ijma’.
Firman Allah:
Bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah
zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah, Ayat: 43)
Bermaksud : Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada
harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan
orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
(Surah al-Ma'aarij, Ayat: 24, 25)
As-Sunnah:
Sabda Nabi Muhammad s. a. w : “Islam didirikan atas lima macam
sendi. ” Dalam hadis di atas disebutkan juga bahawa di antara sendi Islam
tersebut adalah mengeluarkan zakat.
Ijma’:
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Umamah mengatakan : Saya
mendengar Rasulullah s. a. w bersabda dalam khutbah haji Wada’ :
“Bertakwalah kepada Allah, solatlah kalian lima kali sebagaimana
yang diperintahkan kepadamu, berpuasalah kalianpada bulan (Ramadhan),
tunaikanlah zakat dan harta da taatilah orang yang memerintah kalian, maka
kalian akn masuk syurga Tuhan kalian. ”
Syarat-syarat Wajib Zakat
• Dewasa (baligh), maka zakat tidak diwajibkan atas anak kecil
yang mempunyai harta.
• Berakal sihat, maka zakat tidak wajib bagi orang gila akan
tetapi zakat itu diwajibkan dalam harta keduanya dan wajib bagi wali untuk
mengeluarkannya.
• Dimilik dengan sempurna :
Apa yang dimaksudkan dengan dimiliki dengan sempurna ialah pemilik
harta tersebut bebas menggunakan harta yang dimiliki olehnya tanpa campur
tangan orang lain. Hal ini disyaratkan kerana zakat pada asalnya bermakna
memiliki dan diberikan kepada orang yang berhak menerimanya dan keadaan ini
tidak dapat dilaksanakan kecuali harta yang dimiliki itu adalah harta milik
yang sempurna. Oleh yang demikian tidak dikenakan zakat terhadap harta yang
berada diluar kekuasaan pemilik atau harta yang tuannya tiada dan tidak
diketahui di mana tempatnya atau tidak mampu untuk mengesan tuannya.
Telah diriwayatkan oleh beberapa sahabat:
Tidak dikenakan zakat terhadap harta yang diluar kekuasaan
pemilik, atau cincin mas kahwin yang belum dibayar kerana wanita tidak dapat menggunakannya,
tidak dikenakan zakat terhadap hutang yang tidak dapat dibayar, akan tetapi
apabila sudah berada di tangan, barulah ianya wajib dikeluarkan zakat dengan
hitungan bayaran satu tahun sahaja walaupun hutang atau mas kahwin tersebut
telah berada di tangan orang lain atau suami bertahun-tahun lamanya, begitu
juga hutang terhadap orang yang tidak mampu membayarnya.
• Perkembangan sebenar atau mengikut taksiran.
Maksudnya ialah harta itu membiak subur secara semulajadi atau
taksir. Apa yang dimaksudkan dengan berkembang subur secara semulajadi seumpama
harta itu bertambah dengan cara dilahirkan, dikembangkan dan diperniagakan. Apa
yang dimaksudkan dengan taksiran pula ialah harta yang kemungkinan nilainya
akan bertambah seperti emas, perak dan wang kerana harta seumpama ini boleh
bertambah nilainya dengan cara diperniagakan, maka hendaklah ianya dikeluarkan
zakat. Adapun aset tetap atau harta yang dimiliki yang tidak berkembang secara
semulajadi atau taksiran maka tidak wajib dikeluarkan zakat.
• Cukup nisab
Nisab ialah kadar harta yang telah ditentukan oleh syarak, di mana
sesuatu harta itu tidak dikenakan zakat sekiranya tidak sampai kadar yang telah
ditentukan.
Antara syarat wajib zakat ke atas harta yang diwajibkan zakat
ialah sampai nisab.
Syarat ini dikenakan ke atas wang tunai, emas, perak, barang
perniagaan dan haiwan. Sebagaimana yang telah disebut di dalam hadis Rasulullah
s. a. w yang bermaksud:
Tidak wajib zakat ke atas emas kecuali apabila sampai 20 dinar (1
Dinar= 4. 25 gram, oleh itu 20 Dinar= 85 gram) apabila telah sampai 20 Dinar
maka zakatnya ialah setengah Dinar. Begitulah juga perak tidak dikenakan zakat
kecuali apabila sampai 200 Dirham (1 Dirham= 2. 975 gram, oleh itu 200 Dirham=
595 gram) di mana zakatnya ialah 5 Dirham. Nisab emas ialah 20 mithqal= 85 gram
emas tulin, manakala nisab perak pula ialah 200 Dirham= 595 gram perak tulin.
Nisab zakat barang perniagaan ialah sama nilainya dengan zakat
emas iaitu 85 gram emas tulin, manakala barang-barang zakat yang lain telah
ditentukan nisabnya. Termasuk barang yang dikenakan zakat ialah barang yang
telah cukup nisab atau lebih, adapun yang kurang dari satu nisab maka ianya
tidak dikenakan zakat. Kesempurnaan nisab pula dilihat pada awal dan akhir
haul, di mana kekurangan dan kelebihan di antara awal dan akhir haul tidak akan
mempengaruhi nisab. Digabungkan faedah atau hasil yang diperolehi dari harta
zakat diakhir haul, ini mengikut pandapat mazhab Imam Hanafi dan Maliki di mana
cara ini adalah lebih mudah untuk dipraktikkan lantaran itu ianya disepakati
oleh Jumhur Fukaha.
Kesan Percampuran dalam Nisab dan Kadar yang Wajib Dikeluarkan
Harta campuran adalah harta yang dimiliki oleh beberapa orang
kemudian digabungkan seolah-oleh dimilik oleh seorang dengan sebab sama dari
sudut sifat dan keadaannya. Seumpama satu tempat pemeliharaan, satu tempat
minum dan satu kandang termasuklah dari sudut jaminan, pengurusan, pembiayaan
terhadap harta perusahaan.
Pada asalnya asas percampuran hanya digunakan terhadap binatang
ternakan, akan tetapi terdapat sebahagian mazhab yang lain menggunakan kaedah
ini selain dari binatang seumpama terhadap tanaman, buah-buahan dan wang.
Apabila kaedah ini dikenakan terhadap harta perusahaan, kita akan dapati
seolah-olah harta itu milik seorang, sama ada dari sudut kiraan nisab dan kadar
yang wajib dikeluarkan zakat.
Contohnya:
Kita dapati bahawa nisab haiwan yang dimiliki oleh tiga orang dan
setiap orang memiliki sebanyak 15 ekor kambing, apabila dicampur menjadi 45
ekor, di mana jumlah ini telah melebihi jumlah nisab yang dikenakan zakat iaitu
sebanyak 40 ekor kambing, maka wajib dikeluarkan zakat seekor kambing, akan
tetapi sekiranya dihitung ke atas setiap pemilik sudah pastilah nisabnya tidak
akan sampai dan tidak boleh dikeluarkan zakat.
Lebih dari keperluan asas.
Barang-barang yang dimiliki secara asasi kerana berhajatkan
kepadanya seperti rumah yang digunakan untuk berteduh, alat-alat yang
digunakan, mesin-mesin, kenderaan-kenderaan seperti kereta motor dan alat-alat
rumah adalah tidak dikenakan zakat, begitu juga wang yang disimpan untuk
membayar hutang (akan dijelaskan kemudian) juga tidak diwajibkan zakat, kerana
orang yang berhutang sangat berhajatkan kepada harta yang berada ditanganya
bagi mempertahankan dirinya dari terus berhutang dan dihina. Oleh yang
demikian, maka harta yang diperlukan atau dihajati tidak diwajibkan zakat.
Cukup haul.
Haul ialah peredaran harta satu nisab dalam 12 bulan Kamariah
(bulan Hijrah). Akan tetapi jika terdapat kesusahan untuk menghitungnya dengan
bulan Hijrah disebabkan terikat dengan kiraan tahun Masihi, maka boleh dikira
mengikut tahun Masihi dengan penambahan kadar yang wajib dikeluarkan iaitu dari
2. 5 % kepada 2. 577 kerana bilangan hari tahun Masihi lebih dari tahun Hijri.
Tidak disyaratkan haul kepada zakat tanam-tanaman dan buah-buahan,
kerana firman Allah s. w. t yang bermaksud:
Keluarkanlah haknya iaitu zakat ketika hari menuai.
(Surah al-An'am, Ayat:141)
Mencegah pergandaan di dalam zakat.
Apabila sesuatu harta telah dikeluarkan zakatnya kemudian harta
tersebut berubah bentuk, seumpama hasil pertanian yang telah dikeluarkan zakat
kemudian hasil pertanian itu dijual dengan harga tertentu, ataupun kambing yang
telah dikeluarkan zakat setelah cukup nisab kemudian dia menjual
kambing-kambing tersebut dengan harga tertentu, maka harta yang diperolehi dari
jualan harta yang telah dikeluarkan zakat apabila diperolehi di akhir haul
tidak perlu dikeluarkan zakat di dalam haulnya agar tidak berlaku pergandaan di
dalam pembayaran zakat terhadap satu jenis harta.
Sebagaimana kenyataan
Rasulullah s. a. w di dalam hadisnya yang bermaksud:
Tidak ada gandaan dalam berzakat.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Jenis-jenis Zakat
Zakat Wang Tunai (Emas, Perak dan Mata Wang):
• Definisi Wang Tunai:
Apa yang dimaksudkan dengan wang tunai ialah semua jenis mata wang
kertas dan logam, sama ada mata wang tersebut digunakan di negeri yang ingin
dikeluarkan zakat ataupun mata wang negeri lain.
• Kewajipan Mengeluarkan Zakat Wang Tunai:
Kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai telah ditetapkan di dalam
al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Adapun ayat yang menyebut tentang perkara
tersebut ialah firman Allah s. w. t
Yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak
serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka
dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari
dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar
dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan
kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh
itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. "
(Surah at-Taubah, Ayat: 34-35)
Manakala ketetapan yang disebut di dalam hadis pula ialah
sebagaimana sabda Rasulullah s. a. w:
Harta yang telah dibayar zakatnya tidak lagi dinamakan dengan
harta simpanan (kanzun).
(Hadis riwayat Hakim dan disahkan oleh Zahabi)
Begitu juga sabda Nabi s. a. w:
Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang tidak dibayar
zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan disediakan dengan lembaran atau
kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka kemudian dipanaskan di dalam api
neraka jahanam seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya.
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Ulama-ulama Islam di setiap masa telah bersepakat di atas
kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai (emas dan perak) dan perkara tersebut
juga dikiaskan kepada semua jenis mata wang yang lain kerana telah diputuskan
bahawa ia juga menggunakan hukum yang sama dengan emas dan perak. Institusi
Fekah Islam di Jeddah telah membuat keputusan di dalam no. 9, perkara 3 yang
berbunyi: (Wang kertas juga dianggap sebagai kekayaan wang tunai yang memiliki
nilai (daya beli) sepenuhnya dan ia juga menggunakan hukum syarak sama
sebagaimana yang ditetapkan untuk emas dan perak seperti hukum riba, zakat,
jualan salam dan sebagainya).
• Nisab Zakat Wang Tunai:
Harta kekayaan yang ingin dikeluarkan zakat hendaklah mencukupi
nisab iaitu kadar minimum yang telah ditetapkan oleh syarak di mana zakat tidak
wajib dikeluarkan dari harta yang kurang dari kadar tersebut tetapi jika harta
yang dimiliki telah mencukupi kadar tersebut, ia wajib dikeluarkan zakat.
Nisab emas dan mata wang emas ialah sebanyak 20 misqal iaitu
bersamaan dengan 85 gram emas tulin. (1 misqal = 4. 25 gram). Sedangkan nisab
perak dan mata wang perak pula adalah sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan dengan
595 gram perak tulin. (1 dirham = 2. 975 gram).
Institusi Penyelidikan Islam (dalam muktamarnya kali kedua) telah
menggariskan ketetapan yang berbunyi: (Penaksiran nisab zakat kekayaan mata
wang logam (wang syiling), mata wang kertas, bank notes (seperti cek, wang pos
dan sebagainya) dan komoditi perniagaan (barang perniagaan) adalah dihitung
berdasarkan nilai emas. Setiap harta dari kekayaan tersebut yang telah mencapai
kadar nilai 20 misqal emas, ia hendaklah dikeluarkan zakat kerana nilai emas lebih
stabil berbanding dengan kekayaan yang lain).
Untuk mengetahui harga pasaran semasa bagi 1 misqal emas, ia
hendaklah dirujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh pakar dalam bidang
ini. Sesetengah penyelidik ekonomi Islam menggunakan alasan lain di dalam
memilih nisab emas sebagai pengukur untuk mentaksirkan nisab zakat wang tunai.
Alasan mereka ialah kerana emas merupakan galian yang bernilai tinggi dan
sering dijadikan jaminan (walaupun dalam kadar yang kecil) untuk wang kertas
yang dikeluarkan oleh sesebuah negara malah berdasarkan nilai emas inilah nilai
wang kertas ditaksirkan sehingga emas seolah-olah menjadi mata wang
antarabangsa di samping menjadi panduan asas untuk menilai mata wang dunia dan
mata wang tersebut juga dirujuk kepadanya walaupun harganya kadang kala
mengalami perubahan dari semasa ke semasa mengikut perubahan harga pasaran.
Mengikut pendapat mazhab Hanafi, nilai emas boleh digabungkan
dengan nilai perak untuk mencukupi nisab perak yang ada (nilai sahaja bukannya
benda). Oleh yang demikian nilai emas yang ada perlu dihitung begitu juga
dengan nisbah (kadar) emas tersebut berbanding dengan nisabnya kemudian
dihitung pula harga perak yang ada. Apabila nilai kedua-duanya mencukupi nisab,
ia hendaklah dikeluarkan zakat kerana pengertian "kaya" telah
terbukti dengan memiliki nilai sejumlah nisab. Di samping itu nilai komoditi
perniagaan juga boleh digabungkan dengan emas dan perak yang ada untuk
mencukupi nisab. Nisab kekayaan wang tunai, mata wang kertas dan wang logam lain
(duit syiling) dihitung berdasarkan emas iaitu dengan kadar yang sama dengan
nilai 85 gram emas tulin - emas yang masih dalam bentuk ketulan emas (999) -
mengikut harga di hari cukup nisab yang mewajibkan zakat di negeri tempat
terdapat harta pembayar zakat. Adapun bagi emas yang tidak tulin, berat
timbangannya hendaklah dikurangkan mengikut kadar berat bahan campurannya yang
bukan dari jenis emas.
Contohnya di dalam emas 18 karat, berat timbangannya hendaklah
dikurangkan sebanyak satu perempat dan ia juga berupa enam perdua puluh empat
(1/4 = 6/24) dan yang selebihnya hendaklah dikeluarkan zakat.
Manakala di dalam emas 21 karat berat timbangannya hendaklah
dikurangkan sebanyak satu perlapan dan ia berupa tiga perdua puluh empat (3/24
= 1/8) dan yang selebihnya hendaklah dikeluarkan zakat.
Begitu juga dengan cara penghitungan perak yang tidak tulin.
Syarat-syarat Diwajibkan Mengeluar Zakat Emas, Perak dan Mata
Wang:
Zakat wang tunai, emas dan perak hanya diwajibkan apabila memenuhi
syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat sebagaimana yang telah dijelaskan.
• Kadar Zakat Emas, Perak dan Mata Wang Yang Wajib Dikeluarkan:
Kadar zakat yang wajib dikeluarkan dari emas, perak dan mata wang
ialah sebanyak 1/40 (2. 5%).
• Cara Untuk Menghitung Kadar Zakat Emas dan Perak Dalam Bentuk
Nilai Mata Wang Tunai:
Jika pembayar zakat ingin mengeluarkan zakat emas ataupun zakat
perak yang diwajibkan kepadanya dengan menggunakan wang tunai, nilai yang wajib
dibayar adalah nilai yang diambil dari hasil kiraan zakat yang dibuat terhadap
emas dan perak. Contohnya: 25 gram emas (kadar zakat yang wajib dikeluarkan)
didarab dengan harga 1 gram emas. Kita anggarkan harganya adalah sebanyak (4
Dinar), setelah itu kita akan dapati hasilnya iaitu nilai zakat yang wajib
dikeluarkan dalam bentuk mata wang. Proses pengiraannya begini: Kadar zakat =
25 gram emas x 4 dinar (harga 1 gram) = 100 Dinar.
Zakat Perhiasan, Kekayaan Emas dan Perak
Perhiasan perempuan yang disediakan hanya untuk penggunaan
(pemakaian) peribadi sahaja tidak wajib dikeluarkan zakat selagi ia tidak
melebihi kadar pakaian kebiasaan bagi perempuan yang mempunyai kedudukan sosial
yang setaraf dengannya. Adapun perhiasan yang lebih dari kadar yang biasa
dipakai, ia wajib dikeluarkan zakat kerana langkah tersebut sama seperti
(termasuk di dalam pengertian) menyimpan dan mengumpul harta. Begitu juga
seseorang wanita wajib mengeluarkan zakat perhiasan yang sudah tidak dipakai lagi
disebabkan oleh modelnya yang telah lama atau sebagainya.
Zakat bagi kedua-dua perhiasan tersebut dihitung berdasarkan berat
timbangan emas dan perak yang tulin dan ia tidak dikira dengan kadar harga,
tidak dihitung dengan harga yang lebih mahal disebabkan oleh reka bentuk dan
buatannya serta tidak dihitung dengan harga batu permata yang diikat bersamanya
dan aksesori tambahan yang lain selain dari emas dan perak yang menghiasinya.
Keadaan ini berbeza dengan emas dan perak yang masih ada di tangan
peniaga kerana zakatnya dihitung berdasarkan nilai keseluruhan bagi
perusahaannya termasuk perhiasan batu-batu permata yang ada.
• Perhiasan Emas dan Perak yang Haram dipakai Wajib Dikeluarkan
Zakat
Perhiasan emas yang haram dipakai tetapi dimiliki oleh kaum lelaki
wajib dikeluarkan zakat seperti gelang emas atau jam tangan tetapi jika dia
memakai cincin perak, ia tidak wajib dikeluarkan zakat kerana perak adalah
dihalalkan bagi kaum lelaki. Begitu juga dengan wanita yang memakai perhiasan
kaum lelaki sedangkan perhiasan tersebut diharamkan bagi mereka, ia wajib
dikeluarkan zakat.
• Kesimpulannya
Kesemua perhiasan emas dan perak walaupun haram dipakai wajib
dikeluarkan zakat apabila telah cukup nisab sama ada nisab tersebut cukup
dengan sendirinya ataupun cukup secara menggabungkan dengan harta yang lain.
Penjelasan mengenai nisab emas dan perak telahpun dijelaskan sebelum ini.
Selain dari itu wang tunai juga hendaklah digabungkan dengan emas dan perak
untuk menghitung nisab, begitu juga dengan komoditi perniagaan hendaklah
digabungkan dengan barang yang lain.
Kadar zakat perhiasan emas dan perak yang wajib dikeluarkan juga
adalah sebanyak 2. 5% atau 1/40.
Zakat Bon
• Hukum Syarak Dalam Pengurusan Jual Beli Dengan Menggunakan Bon
Bon (keterangan akuan hutang atau pinjaman) merupakan sebahagian
dari pinjaman yang diberikan kepada syarikat atau pihak yang mengeluarkannya.
Syarikat atau pihak berkenaan memberikan faedah tertentu terhadap bon tersebut
ketika ia dikeluarkan. Faedah ini tidak dikaitkan dengan keuntungan atau
kerugian syarikat dan syarikat wajib menjelaskannya dalam jangka masa yang
telah ditetapkan. Bon tersebut memiliki harga nominal (harga seimbang) iaitu
harga asli ketika ia dikeluarkan pada kali pertama dan harga pasaran disesuaikan
dengan kedudukan tawaran dan permintaan.
Hukum berurusan jual beli dengan menggunakan bon adalah haram
mengikut syariat Islam kerana ia mengandungi faedah riba yang diharamkan,
begitu juga kerana ia termasuk di dalam kategori jual beli hutang kepada orang
lain (orang yang tidak berkaitan) dan jual beli tersebut adalah tidak
dibolehkan.
• Cara Membayar Zakat Bon
Walaupun urusan jual beli dengan menggunakan bon diharamkan kerana
ia mengandungi faedah riba yang diharamkan, pemilik bon tetap diwajibkan membayar
zakat dari nilai asal (nilai nominal bon) yang dimilikinya pada setiap tahun
secara menggabungkan nilai modal bon tersebut dengan hartanya yang lain dalam
hitungan nisab dan haul, kemudian membayar sebanyak 1/40 atau 2. 5% dari jumlah
keseluruhannya tidak termasuk faedah riba yang dihasilkan. Faedah riba yang
diharamkan itu hendaklah dibelanjakan ke arah kebaikan dan kepentingan umum
selain dari pembinaan masjid, percetakan al-Quran dan sebagainya.
Perbelanjaan faedah riba dengan cara sedemikian adalah untuk
menghindarkan diri dari harta yang haram, ia juga tidak boleh dihitung sebagai
harta yang wajib dikeluarkan zakat, tidak boleh dibelanjakan untuk kepentingan
diri sendiri, anak-anak dan keluarga tetapi sebaik-baiknya ia disumbangkan
kepada orang-orang yang betul-betul terdesak seperti orang-orang yang ditimpa
kebuluran, musibah, bencana alam dan sebagainya.
Zakat Saham
• Hukum Syarak Dalam Pengurusan Dengan Menggunakan Jual Beli Saham
Saham adalah merupakan sebahagian dari modal sesebuah syarikat
yang akan mengalami keuntungan dan kerugian sesuai mengikut keuntungan dan
kerugian syarikat berkenaan. Pemilik saham adalah merupakan salah seorang rakan
kongsi di dalam sesebuah syarikat atau dengan kata lain dia merupakan pemilik
sebahagian dari harta syarikat mengikut kadar nisbah bilangan saham-sahamnya
berbanding dengan jumlah keseluruhan saham syarikat dan pemilik saham berhak
menjual sahamnya bila-bila sahaja dia kehendaki.
Saham mempunyai harga nominal yang ditetapkan ketika dikeluarkan
kali pertama dan ia juga mempunyai harga pasaran yang ditentukan berdasarkan
kedudukan tawaran dan permintaan di bursa saham tempat di mana saham-saham
tersebut beredar. Kedudukan halal atau haramnya sesuatu saham adalah dihukum
mengikut kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh syarikat yang telah diberikan
saham. Oleh yang demikian, haram memberi saham kepada sesebuah syarikat dan
haram memiliki sahamnya apabila dasar utama syarikat tersebut adalah untuk beroperasi
dan menjalankan perniagaan sesuatu barang yang diharamkan seperti melaksanakan
riba serta membuat dan berniaga arak ataupun mengamalkan sistem jualan yang
diharamkan seperti sistem jualan dengan menunjukkan contoh barang dan jualan
gharar (jualan barang yang tidak pasti harga, barang jualan, waktu dan
kemampuan untuk menyerahkannya).
• Cara Membayar Zakat Saham
Jika syarikat yang berkaitan telah membayar zakat sahamnya
sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam bahagian zakat syarikat, pemilik
saham tidak lagi wajib mengeluarkan zakat sahamnya untuk mengelakkan dari
berlaku pergandaan di dalam zakat (mengeluar zakat sebanyak dua kali).
Adapun apabila syarikat tersebut tidak mengeluarkan zakatnya,
pemilik saham wajib membayar zakatnya dengan cara sebagaimana berikut:
Apabila pemilik saham mengambil saham-sahamnya untuk diperniagakan
secara menjualbelikan sahamnya, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah
sebanyak 1/40 atau 2. 5% dari harga pasaran yang sah pada hari diwajibkan zakat
(waktu cukup haul) seperti komoditi perniagaan yang lain.
Jika pemilik saham mengambil sahamnya hanya untuk mendapatkan
manfaat dari keuntungan tahunan saham tersebut, maka cara pembayaran zakatnya
adalah sebagaimana berikut:
Jika dia mampu untuk mengetahui (sama ada melalui syarikat yang
mengeluarkan saham atau melalui pihak yang lain) kadar harga yang telah
ditentukan bagi setiap saham dari jumlah keseluruhan aset syarikat yang wajib
dikeluarkan zakat, dia wajib membayar zakatnya sebanyak 1/40 atau 2. 5% dari
nilai saham tersebut.
Jika dia tidak dapat mengetahuinya, dia hendaklah menggabungkan
keuntungan saham tersebut dengan kekayaan yang lain dalam hitungan haul dan
nisab kemudian membayar zakatnya sebanyak 1/40 atau 2. 5% dan dengan demikian
dia bebas dari segala tanggungannya.
Zakat Hutang
Hutang ialah nilai sejumlah wang yang diberi pinjam kepada orang
lain dan ia wajib dikeluarkan zakat jika kemungkinan besar ia boleh dijelaskan
oleh peminjam tersebut. Hutang yang baru digabungkan dengan baki kekayaan wang
tunai yang lain dalam hitungan nisabnya. Sedangkan hutang yang perlu dibayar
kepada orang lain oleh orang yang ingin mengeluarkan zakat, ia tidak dihitung
sebagai harta yang perlu dikeluarkan zakat sebagaimana berikut:
Hutang boleh menghalang kewajipan zakat dari orang yang berhutang
sesuai mengikut nilai hutang tersebut apabila hutang berada di dalam
tanggungannya sebelum tiba waktu wajib membayar zakat dan apabila orang yang
ingin mengeluarkan zakat tidak mempunyai harta lain untuk membayar hutangnya
selain dari harta zakat yang melebihi keperluan asasnya, dia bolehlah
menjelaskan hutangnya itu dari harta zakat tersebut.
Jika orang yang berhutang yang ingin mengeluarkan zakat memiliki
pelbagai jenis harta yang melebihi dari harta zakat, dia hendaklah menggunakan
salah satu dari jenis harta tersebut untuk menjelaskan hutangnya kemudian dia
mengeluarkan zakat bagi baki harta zakat yang lain. Keadaan ini adalah lebih
berfaedah bagi golongan yang berhak menerima zakat.
Hutang-hutang jangka panjang (hutang tunggakan) yang berkaitan
dengan tempat tinggal dan hutang-hutang lain seumpamanya yang membiayai aset
tetap adalah tidak diwajibkan zakat dan ia biasanya dijelaskan secara
beransur-ansur dalam jangka masa yang panjang. Hutang sebegini hanya boleh
mengurangi harta zakat sesuai mengikut nilai ansuran tahunan yang perlu
dijelaskan pada tahun tersebut sahaja dan orang berkenaan (orang yang
berhutang) hanya wajib mengeluarkan zakat bagi baki harta yang masih berada di
tangannya, jika masih lagi cukup nisab ataupun lebih dari nisab.
Harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan dikurangkan dengan
kesemua hutang-hutang yang membiayai urusan-urusan perniagaan apabila orang
yang berhutang tidak mempunyai modal yang dimiliki (aset tetap) lebih dari
keperluan asasinya.
Harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan dikurangkan dengan
hutang-hutang pelaburan yang membiayai sesuatu projek perkilangan (eksploitasi)
apabila orang yang berhutang tidak mempunyai modal yang dimiliki (aset tetap)
lebih dari keperluan asasinya yang boleh digunakan untuk menjelaskan
hutang-hutang tersebut. Jika dia memiliki aset tersebut, maka aset itulah yang
perlu digunakan untuk menjelaskan hutang. Semasa dia menjelaskan hutang dengan
menggunakan aset tersebut, harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat tidak perlu
lagi dikurangkan dengan hutang.
Sekiranya aset tersebut tidak mencukupi untuk menjelaskan hutang,
maka harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan dikurangkan dengan nilai
hutang yang masih berbaki (diambil dari harta zakat untuk menjelaskan baki
hutang tersebut) dan sekiranya hutang tersebut adalah hutang pelaburan jangka
panjang (hutang tunggakan), maka harta zakat diambil hanya untuk menjelaskan
ansuran tahunan yang perlu dijelaskan pada tahun tersebut sahaja.
Kesimpulan
Zakat merupakan salah satu
sumber pembangunan ekonomi Islam. Kewajipan menunaikan rukun Islam yang keempat
ini tidak boleh dipandang mudah. Ini kerana ia adalah hak orang lain dan
keengganan mengeluarkan zakat dikira merampas hak orang lain dan berdosa besar.
Dengan sebab itu,
mengeluarkan zakat dapat mensucikan diri dari dosa, harta diberkati dan
membuang sifat yang buruk seperti bakhil, mementingkan diri sendiri, tamak dan
sebagainya. Di samping itu, mendoakan kebaikan kepada pengeluar zakat bukan
sahaja menenangkan hati dan jiwa mereka, malah memupuk perasaan saling berkasih
sayang dan tolong menolong sesama insan.
Zakat wajib ditunaikan
apabila cukup syarat-syaratnya. Selain menjadi sumber ekonomi ummah, ia juga
boleh mewujudkan perpaduan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Secara kesimpulan, zakat diwajibkan bertujuan untuk melindung,
melatih dan menjamin pembangunan ummah. Dengan itu, sistem zakat menjadi satu
mekanisma yang menggarapi keseluruhan sistem kehidupan sebuah masyarakat supaya
dapat menikmati kehidupan yang cemerlang. Sebab itu, Allah S. W. T.
mengingatkan umat Islam supaya bersegera menunaikan kewajipan berzakat sebelum
saat kematian.
Allah berfirman:
Dan belanjakan (zakat/sedekah) sebahagiannya daripada harta yang
Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut. Kamu
akan menyesal dan bermohon kepada Allah: 'Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau
dilambatkan kematianku ini walaupun seketika supaya aku dapat
berzakat/bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang salih'.
------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com