Perkembangan Islam di Alam Melayu


PERKEMBANGAN ISLAM DI ALAM MELAYU

NAMA: 
MUHAMAD YAZIN ALAMIN B. MOHD YASSIN

NO. MATRIK: 
2011377311

KUMPULAN: 
BMD2Bc

DISEDIAKAN UNTUK: 
USTAZ ABD. AZIZ B. HARJIN

TARIKH: 13/9/2012

PERKEMBANGAN ISLAM DI ALAM MELAYU
Berbagai-bagai pendapat telah dikemukakan tentang bagaimana kedatangan islam ke alam melayu. Pendapat klasik yang banyak telah diperkatakan oleh orang bahawa agama islam telah dibawakan ke alam melayu melalui perniagaan yang dilakukan oleh pedagang-pedagang islam yang berkunjung ke daerah ini. Menurut Tome Pires bahawa pedagang-pedagang islam itu telah menyebarkan islam secara aman melalui pergaulan mereka dengan penduduk dan perkahwinan mereka dengan wanita-wanita setempat. Dengan cara itu, pedagang-pedagang islam telah dapat menarik minat penduduk setempat menganut agama islam. Catatan menjelaskan bahawa perkembangan islam di alam melayu telah dilakukan oleh pedagang-pedagang itu menurut cara perkembangan agama hindu ke daerah nusantara. Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa pedagang-pedagang yang menyebarkan agama islam itu bertujuan untuk meluaskan pengaruh politik. Maka dengan itu pedagang-pedagang islam telah berkahwin dengan puteri-puteri raja. Dengan cara itu, pengaruh islam semakin berkembang di istana. Melalui hadiah-hadiah yang diberikan kepada raja-raja, maka mereka dapat merapatkan lagi hubungan dengan raja-raja. Justeru itu, pengaruh merekasemakin berkembang. Ada pendapat yang menolak dakwaan bahawa agama islam dibawa melalui dagangan kerana saudagar-saudagar islam telah memasuki alam melayu sejak abad ke-8 Masihi. Bagaimanapun, agama islam mula tersebar hanya pada kurun ke-12 Masihi.
 Ada pendapat-pendapat lain yang menyatakan bahawa agama islam dibawa oleh ahli-ahli sufi yang datang bersama-sama dengan pedagang untuk mengembangkan agama islam. Mereka terdiri daripada orang-orang yang benar-benar ikhlas dan jujur melaksanakan tugas suci menyebarkan agama islam di seluruh kepulauan melayu, terutama di daerah pedalamandi kepulauan Indonesia.

Sejarah dinasti yunani ada menyebutkan bahawa pada tahun 1282 Masihi, dua orang utusan dari Samudera (su-mu-ta) bernama Hasan dan Sulaiman telah mengadap Maharaa cina. Daripada bukti tersebut Pasai sejak dari tarikh itu sudah pun menganut agama islam. Dalam tahun 1345-1346 Masihi, ibn Battutah dalam pelayarannya ke negeri china telah singgah di Pasai yang disebut sebagai jazirah al-jawah (pulau jawa). Untuk membuktikan sebagai Pasai, beliau menerangkan nama rajanya ialah Malik al-Zahir, iaitu putera Malik al-Salleh, atau Merah Silu. Ibn Battutah juga menyebutkan bahawa Sultan Malik al-Zahir adalah seorang raja yang alim dalam agama islam dan sangat menggemari pada ilmu pengetahuan. Baginda dikelilingi cerdik pandai dalam agama islam; antaranya Qadi Sharif Amir Sayyid dari Shiraz dan Taj al-Din dari Isfahan. Ketika di Pasai di bawah pemerintahan Sultan Malik al-Zahir sering diadakan muzakarah, atau seminar mengenai ilmu pengetahuan islam yang dituruti bersama oleh Sultan Malik al-Zahir. Dalam upacara tersebut baginda sering menggantikan pakaian diraja dengan memakai pakaian ahli undang-undang islam.
 Sejak abad ke-14, Pasai telah muncul sebagai pusat islam yang terawal. Seorang ulama dari Mekah, Abu Ishak telah menulis sebuah kitab mengenai ilmu Tassawuf yang bertajuk Dur al-Manzum. Beliau mengarakan anak muridnya supaya menghadiahkan kitab itu kepada Sultan Mansur Syah di Melaka. Oleh sebab kitab itu tertulis dalam bahasa Arab, Sultan Mansur Syah memerintahkan supaya kitab tersebut dihantarkan ke pasai untuk diterjemahkan ke dalam bahasa melayu. Kitab tersebut telah diterjemahkan oleh seorang cerdik pandai Pasai yang bernama Tuan Permatakan.
Peristiwa di atas membuktikan Pasai sebagai pusat ilmu pengetahuandan tumpuan para ahli cerdik pandai Islam dari segenap pelusuk, termasuk dari negeri-negeri Islam di Asia Barat.
Tinggalan islam yang tertua di Tanah Melayu terdapat di Terengganu, iaitu sebuah batu bersurat telah dijumpai di negeri itu. Tulisan pada batu itu membuktikan bahawa sekumpulan orang islam telah mendiami di Terengganu pada tahun 1326, atau 1386 Masihi. Tetapi kedudukan islamdi Terengganu ada masa itu tidak kukuh untuk disebarkan ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Menurut Prof. S. Q Fatimi berdasarkan kenyataan batu bersurat itu Terengganu lah yang mula-mula menganut agama islam. Perkembangan agama islam di Pantai Timur Malaysia berkemungkinan datang dari negeri china atau campa. Kebanyakkan pendapat yang dipersetujui bahawa agama islam bertapak kuat di Melaka, tetapi tarikh kedatangan islam ke Melaka tidak dapat disahkan. Sungguhpun begitu, terdapat ahli-ahli sejarawan menyatakan bahawa tahun1414 Masihi sebagai tahun kedatangan agama islam ke Melaka.
Melaka telah menerima Islam pada zaman sultannya yang pertama, iaitu Parameswara yang menggunakan gelaran Megat Iskandar Syah. Di Melaka, islam berkembang ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Jawa. Disamping, menjadi pusat perniagaan, Melaka berkembang menjadi pusat penyebaran islam. Melalui perkahwinan dan hubungan diplomatik, islam telah disebarkan ke seluruh Tanah Melayu. Agama Islam juga disebarkan ke negeri jajahan takluknya seperti Siak, Rokan dan Inderagiri. Di samping itu, Islam dikembangkan kepada pedagang-pedagang yang mengunjungi Melaka. Sebagai pusat islam, Melaka dipercayai telah melahirkan penulis-penulis yang menghasilkan kitab mengenai agama islam dan kesusasteraan Melayu islam. Sebagai contoh, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah.
 Kerajaan Aceh juga dikatakan sebagai pusat penyebaran islam. Kerajaan Aceh yang didirikan oleh Raja Ibrahim yang digelar Sultan Ali al-Moghayat Syah pada tahun 1507 Masihi, hingga ke zaman pemerintahan Sultan Muda Mahkota Alam ada tahun 1607 Masihi, telah terkenal sebagai sebuah kerajaan islam yang menjadi benteng untuk mempertahankan kesucian agama islam di Gugusan Kepulauan Melayu. Musuh-musuh islam terutama orang barat, khasnya Portugis yang terus menerus menentang umat islam di Benua Eropah hinggalah membawa ke Gugusan Kepulauan Melayu. Kerajaan Aceh juga bertanggungjawab membersihkan sisa-sisa agama Hindu yang dipelopori oleh Kerajaan Majapahit.
Negeri-negeri disekeliling baik Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dari Minangkabau sampai ke Bangkahulu terhutang budi dalam hal pertahanan Islam kepada Kerajaan Aceh. Sultan-sultan Aceh pernah menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Islam di Istanbul untuk mendapatkan bantuan untuk menentang Portugis yang sentiasa mengancam negeri-negeri di Gugusan Kepulauan Melayu.
Kerajaan Islam Aceh juga menjalinkan hubungan persahabatan dengan Kerajaan Islam Moghul di India sehingga beberapa bangsawan Moghul dari Agra dan Delhi datang berkhidmat dengan Kerajaan Aceh. Antaranya, seorang bangsawan yang bernama Dir Chan.
 Di samping mempertahankan kedaulatan Islam di Gugusan Kepulauan Melayu, Aceh juga menjadi pusat perkembangan agama islam di alam melayu, Aceh juga menjadi tumpuan dan tempat melahirkan beberapa ulama besar dan cerdik pandai yang banyak menghasilkan karya kitab-kitab agama islam dalam bahasa melayu. Usaha-usaha menterjemah kitab agama daripada bahasa arab kepada bahasa melayu juga dilakukan.
 Pada tahun 1606-1636 Masihi, Kerajaan Islam Aceh semakin berkembang maju di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam atau Iskandar Muda Johan Perkasa Alam Syah yang berjaya mengembangkan daerah taklukkannya hingga ke Bengkuli, termasuk daerah-daerah pantai laut Minangkabau, Padang, Mokomoko, Periaman, Tiku dan kesemuanya yang terletak dibawah pemerintahan Aceh kira-kira 50 tahun.
 Aceh bukan saja menjadi pusat kebudayaan islam di alam melayu tetapi juga tempat tumpuan alim ulama dan pujangga Islam dari luar negeri mahupun dalam negeri, dan nama Aceh sangat terkenal tidak kira di Timur mahupun Barat.
 Sebelum kedetangan islam, penduduk di nusantara pada umumnya menganut agama hindu. Walaupun begitu, masyarakat melayu pada ketika itu sudah mempunyai kebudayaan mereka yag tersendiri, kemudian mereka dipengaruhi oleh kebudayaan hindu dalam beberapa hal. Ahli-ahli kebudayaan berpendapat bahawa agama islam tidak memberi perubahan dalam struktur ekonomi orang melayu. Misalnya sebelum kedatanganislam, orang melayu menjalankan perdagangan dan pertanian, demikianlah juga selepas kedatangan islam. Tegasnya, islam tidak membawa bentuk yang baru daripada sistem ekonomi islam. Walau bagaimanapun islam telah memberi sumbangan dalam susunan ekonomi orang melayu, misalnya sistem pengeluaran zakat fitrah merupakan sebagai satu cara mengambil harta orang yang kaya untuk diberi kepada fakir miskin. Demikian juga sistem sedekah, kafarah, wakaf dan sistem Baitulmal yang merupakan satu fenomena baru dalam kehidupan masyarakat melayu dalam zaman islam. Hal ini juga menjadi sebagai aspek ekonomi yang penting yang telah disumbangkan oleh islam.


 Perkembangan islam ke daerah nusantara dibawa oleh mubaligh islam, dan ajaran yang dibawa oleh mereka adalah berbentuk metafizik dan bercorak intelektralisme. Oleh yang demikian, fikiran orang-orang melayu menjadi lebih terbuka, dan lahirlah rasionalisme dan intelektualisme dalam masyarakat melayu. Dengan lahirnya unsur rasionalisme, ia merupakan sebagai satu cabaran kepada unsur mitologi dan dongeng-dongeng yang menitikberatkan alam khayalan dan fantasi yang menceritakan tentang dewa-dewa dan pari-pari. Mubaligh-mubaligh islam membawa kepercayaan monoteisme dangan penekanan kepada pemikiran yang rasional untuk mempertahankan keterangan-keterangan mengenai wujudnya Tuhan.
 Kedatangan islam membawa dorongan utama ke arah penghayatanilmu pengetahuan dan daya berfikir bukan saja kepada golongan istana, tetapi juga kepada orang awam. Hasil penulisan pada zaman islam bukan saja dihasilkan untuk kepentingan raja-raja dan golongan bangsawan, kitab-kitab itu dituliskan untuk orang awam umumnya.
 Agama islam dengan semangat jihadnya dapat memberi inspirasi untuk mencintai tanahair dan disemai dalam diri penduduk di daerah alam melayu. Semangat keislaman memainkan peranan utama dalam menyatupadukan tenaga politik penduduk setempat untuk menentang kolonialisme dari barat. Semangat persaudaraan yang diwujudkan oleh islam dapat menyatupadukan berbagai-bagai suku dan puak, misalnya terdapat berbagai-bagai suku kaum di Indonesia, namun dengan semangat islam mereka dapat bersatu di bawah pertubuhan-pertubuhan kebangsaan telah berjuang dalam menuntut kemerdekaan berdasarkan agama islam.
 Islam sebagai agama yang menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan, maka dengan kedatangan islam pusat-pusat pendidikan islam mula didirikan di merata-rata tempat di daerah alam melayu. Di samping masjid dan surau, sekolah agama didirikan untuk mengajar ilmu pengetahuan agama islam bermula daripada pelajaran membaca al-Quran hinggalah kepada pelajaran ilmu fekah, tauhid, tasawwuf, bahasa arab, nahu dan lain-lain.
Undang-undang Islam daripada Mazhab Shafie memainkan peranan penting dalam menentukan hal-hal yang mengenai kehidupan penduduk di alam melayu seperti perkara yang berkaitan dengan warisan, harta, undang-undang mu’amalah, perkara yang berkaitan dengan perkahwinan, dan hukuman yang tertentu terhadap orang-orang yang melakukan kesalahan. Pengaruh undang-undang islam juga terdapat dalam undang-undang setempat seperti undang-undang Luaran di Filipina dan Hukum Kanun Melaka di semenanjung tanah melayu. Di samping itu, terdapat undang-undang adat yang diamalkan di beberapa daerah tertentu yang bercanggah dengan undang-undang islam.
 Agama islam mempengaruhi semua aspek kehidupan orang melayu. Misalnya dalam bidang politik, sistem pemerintahan melayu yang terawal di semenanjung ialah sistem Kesultanan Melayu Melaka. Kemudian diikuti oleh negeri-negeri yang lain seperti Terengganu dan Pahang.
 Jika dikaji Hukum Kanun Melaka yang wujud sejak abad ke-14 itu ternyata sekali bahawa islam telah memainkan peranan yang penting. Permulaan undang-undang tersebut dimulakan dengan doxology keislaman kemudian didefinasikan jawatan Sultan Mahmud dan raja-raja Melaka sebagai Khalifah al-Mu’minin.
 Apabila orang melayu mula memeluk agama islam, mereka mempelajari ayat-ayat al-Quran untuk tujuan menunaikan fardu solat. Dari tahap ini, orang melayu mula digalakkan belajar membaca serta diikuti pula dengan proses pembelajaran yang bercorak ilmu-ilmu agama. Penulisan bahasa melayu yang menggunakan huruf al-Quran mula berlaku dengan tujuan mengarang buku-buku mengenai agama islam.
 Daripada dorongan pembelajaran itu, lahirlah institusi-institusi agama islam yang berpusat di madrasah, surau dan masjid, diikuti dengan peringkat yang lebih tinggi, iaitu pondok, langgar, rangkang dan pesantren. Pesantren merupakan satu institusi pengajian tinggi agama islam yang bercorak tradisi di Pulau Jawa. Pengajian agama islam serta penulisan yang bercorak keislaman telah menggalakkan perkembangan bahasa melayu bukan saja di alam melayu, tetapi di beberapa daerah di Asia Tenggara, termasuk rantau Indo-China.
 Pengaruh islam meliputi semua aspek kebudayaan melayu. Segala yang diperkatakan di atas merupakan sebahagian daripada contoh bidang kebudayaan yang telah diterokai oleh agama islam pada zaman permulaannya. Benarlah pendapat Wertheim bahawa agama islam dapat mencetuskan revolusi dan memodenkan tradisi masyarakat melayu.
 Pada abad ke-20 masyarakat islam di alam melayu khususnya di Malaysia mula melakukan perubahan selepas mereka mencapai kemerdekaan dari kuasa barat. Kesedaran masyarakat islam di Malaysia adalah hasil daripada pengaruh kaum terpelajar dan siswazah yang pulang dari Timur Tengah, khasnya dari Kaherah. Di sebabkan itu, pengaruh pembaharuan yang disuarakan oleh reformer islam yang terbesar Jamaluddin Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh di Timur Tengah telah membawa semangat pembaharuan di tanahair, walaupun kesannya tidak sehebat seperti di Negara-negara islam yang lain. Aliran moden dalam islam mula berkembang. Sekolah agama yang bercorak moden mula mengambil tempat sistem pendidikan yang bercorak tradisional.
 Pada tahun 1940 Masihi, sebuah pertubuhan islam telah ditubuhkan di Singapura dengan galakan daripada Maulana Abdul Aleem al-Siddiq. Pengerusi Pertubuhan itu Dato Sayid Ibrahim Alsagof telah mengambil peranan yang utama bagi memajukan pertubuhan ini. Pertubuhan islamini telah banyak menyumbang tenaga bgi memajukan pendidikan dan pengetahuan islam dalam kalangan penduduk negeri ini.
 Pada tahun 50-an sebuah jawatankuasa telah ditubuh sebuah Pusat Pengajian Tinggi Agama Islam di negeri ini. Akhirnya Sultan Selangor, Sultan Hisyamuddin Alam Syah telah berkenan menghadiahkan sebuah istananya untuk dijadikan Kolej Islam. Pada tahun 1955, Kolej Islam dirasmikan dan ia merupakan satu-satunya pusat pengajian islam yang tertinggi di negara ini.
 Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Kerajaan Malaysia telah menjadikan agama islam sebagai agama rasmi Negara ini. Oleh itu, pemerintah telah mengeluarkan beberapa peruntukan yang tertentu bagi mengembangkan pelajaran dan pengetahuan agama islam. Pada tahun 1959, sebuah Jabatan Pengajian Islam telah ditubuhkan di Universiti Malaya. Dengan itu, muncul pula sebuah Pusat Pengajian Tinggi Islam di Negara ini.
 Kerajaan Malaysia juga menjadikan matapelajaran agama sebagai satu matapelajaran di sekolah-sekolah Inggeris, dan pada tahun 1957, matapelajaran agama islam dimasukkan dalam senarai matapelajaran bagi peringkat Sijil Rendah Pelajaran. Kemudian diikuti dalam Sijil Cambridge School Certificate dan Sijil Pelajaran Malaysia. Akhir sekali matapelajaran bahasa arab dimasukkan ke dalam matapelajaran bahasa di semua peringkat sekolah menengah.           

------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com