Akhlak

Disediakan untuk:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam

Disediakan oleh:
Nurmunirah binti Khalib 2011177625

PENDAHULUAN
Bismillah ‘irrahma nirrahim...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad S. A. W. dan para sahabat baginda kerana limpah kurnianya dapat saya jalankan tugasan ini. Tajuk bagi tugasan saya adalah mengenai akhlak. Akhlak bermaksud tingkahlaku seseorang itu, tabiat mahupun perangainya yang akan melambangkan keperibadian akhlaknya. Ia juga terbahagi kepada beberapa skop antaranya ialah akhlak manusia dengan Allah, akhlak manusia dengan Nabi, akhlak manusia kepada manusa dan akhlak manusia dengan alam. Dengan adanya akhlak ini, manusia itu merupakan manusia yang berjaya. Jika akhlak itu baik, maka bahagialah hidupnya. Manusia akan dipandang mulia jika dia berakhlak.

KONSEP AKHLAK

Akhlak atau moral tidak dapat dipisahkan dalam diri setiap insan di muka bumi ini. Seseorang insan itu dapat kita bezakan dengan melihat kepada tingkahlaku serta amalan yang juga mencerminkan akhlaknya. Baik atau buruk akhlak seseorang insan itu bergantung kepada apa yang dikerjakannya. Jika amalan yang dikerjakan itu baik, maka baiklah akhlaknya. Tetapi jika sebaliknya, maka tercelalah akhlaknya. Malah, akhlak diperlukan supaya dapat mengatur hidup yang lebih baik. Dengan adanya akhlak, seseorang insan itu dapat mengangkat darjatnya dalam kalangan masyarakat terutamanya dapat memelihara darjat agamanya itu sendiri. Selain itu, dapat menjalankan rutin seharian mengikut garis panduan yang telah disyariatkan oleh Allah S. W. T. seperti yang termaktub di dalam al-quran dan al-hadis. Agama Islam merangkumi akidah, syariat dan roh akhlak. Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai isi, atau jasad yang tidak lagi bernyawa. Hal ini dapat dibuktikan lagi dengan sabda Rasulullah S. A. W. yang bermaksud “Islam itu akhlak yang baik” dan sabda baginda lagi “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang mulia. ”

PENGERTIAN AKHLAK

Akhlak dari segi bahasa adalah berasal daripada perkataan (al-khulq) bererti tabiat, kelakuan, perangai, tingkahlaku, adat kebiasaan, malah ia juga bererti agama itu sendiri. Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. ”

(Surah Al-Qalam: Ayat-4)

Akhlak dari segi istilah adalah sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan. Ahli falsafah Islam yang terkenal Ibn Miskawaih mentakrifkan:

“Akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian. ”

Menurut Imam Ghazali r. a. ada mengatakan bahawa akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.

Menurut Islam yang berpandukan kepada al-quran dan as-sunnah yang menjadi pegangan hidup bagi setiap umat Islam bagi segala urusan di dunia mahupun di akhirat. Kedua-dua sumber ini berdasarkan wahyu yang diturunkan oleh Allah S. W. T. serta berpandukan Rasulullah S. A. W. Oleh itu, akhlak dapat didefinisikan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkahlaku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan olehNya.

KATEGORI DAN SKOP AKHLAK

Akhlak dalam Islam dapat dikategorikan kepada dua iaitu:

Akhlak mahmudah yang merupakan akhlak yang dituntut dalam Islam. Ia merupakan akhlak dari segala bentuk kebaikan yang dilakukan oleh manusia tidak kira kecil mahupun besar sesuatu perkara itu. Ini dapat diperlihatkan seperti beriman kepada Allah SWT, sabar, memelihara pancaindera dari perkara-perkara keji, serta lain-lain sifat yang menggambarkan akhlak mahmudah. Sifat mahmudah adalah semua perbuatan yang menggambarkan tanggungjawab kita kepada Allah SWT sebagai contoh melaksanakan perintahNya seperti yang telah digariskan dalam al-quran dan al-hadis iaitu sebagai seorang insan beragama Islam diwajibkan supaya mengerjakan solat.

Namun begitu, masih ada akhlak yang berlawanan dengan akhlak terpuji ini iaitu akhlak mazmumah seperti yang kita sedia maklum sebagai akhlak yang keji dan cela. Akhlak mazmumah yang disebutkan di sini adalah segala bentuk perlakuan, sifat, tabiat dan perangai buruk yang dicela oleh syarak seperti mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu sama ada dari segi penyembahan mahupun kepercayaan. Sifat mazmumah pula dikatakan sebagai sesuatu perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT serta meninggalkan suruhanNya.

Skop akhlak pula terbahagi kepada empat iaitu:

Akhlak dengan Allah S. W. T. merupakan beriman, beribadah, mengesakan, takut, cinta, redha dan ikhlas, bertaubat serta bersyukur kepada Allah. Kita sebagai muslim wajib mengakui, mempercayai atau meyakini bahawa Allah itu ada dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan serta terhindar daripada sifat-sifat kekurangan.

Namun, kita juga bukan sekadar mempercayai bahawa adanya Allah tetapi perlu tunduk dan patuh dengan segala suruhanNya serta meningggalkan larangaNya. Ini selaras dengan firman Allah S. W. T. yang bermaksud:

 “ Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk tunduk dan beribadah kepadaKu.

(Surah al-Zariyat: Ayat 56)

Selain itu, perasaan takut itu wajib ada dalam diri kita terhadap Allah. Perasaan ini terbahagi kepada dua iaitu takut den bertakwa kepada Allah dengan menjalankan perintahNya. Seterusnya, takut kerana seksaan azab api neraka yang telah dijanjikan olehNya kepada manusia yang mengingkari suruhunNya.

Malah, kita diperintahkan supaya mencintai Allah S. W. T. dengan cara mentaatiNya, mendahulukan perintahNya dari perintah hawa nafsu kita yang selalu mengejar duniawi sampaikan mengabaikan amalan yang akan kita bawa sebagai bekalan di akhirat kelak.

Kepercayaan kepada qada’ iaitu jangka yang tertentu dan qadar iaitu ketentuan Allah mewajibkan kita supaya redha dan ikhlas dalam menerimanya. Sama ada suka mahupun tidak sesuatu yang telah ditetapkan itu, ketentuan Allah itu pasti akan terjadi juga.

Kembali kepada Allah iaitu kembali taat kepada Allah S. W. T. dengan cara bertaubat kepadaNya setelah terpesong dari landasan yang sepatutnya menjadi garis panduan dalam kehidupan kita di muka bumi ini. Fitrah manusia tidak dapat lari dari melakukan kesalahan demi kesalahan sehingga terjerumus ke dalam kemurkaan Allah. Namun, sebelum terlambat mohonlah keampunan kepadaNya kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Akhir sekali, bersyukurlah ke atas segala nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita dengan menggunakan segala nikmat itu untuk mengabdikan diri kepada Allah S. W. T. seperti menggunakan nikmat tubuh badan yang sihat untuk terus melakukan ibadah fardhu ain dan berusaha memperbanyakkan amal ibadah sunat.

Akhlak manusia kepada Rasulullah S. A. W. merupakan beriman dengan Nabi Muhammad S. A. W., iaitu percaya bahawa baginda adalah utusan dari Allah kepada kita dan kita wajib mengikuti sunnahnya. Barang siapa yang melanggar atau tidak mahu mengikuti sunnah baginda, maka terbatallah akidahnya. Kita juga wajib mencintai baginda serta memuliakannya dengan berselawat ke atasnya, serta memuliakan keluarga dan para sahabat baginda seperti sabdanya yang bermaksud:

“Tidak beriman salah seorang diantara kamu, sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri, orang tuanya, anaknya dan manusia semuanya. ”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhlak manusia sesama manusia terdiri daripada akhlak kita dengan diri sendiri iaitu kita perlu mempunyai iman yang mantap dan akhlak yang mulia dan segera menunaikan perintah Allah dan mempelajari ilmu pengetahuan.

Akhlak kita terhadap ibu bapa pula merupakan satu ibadah dengan mentaati mereka sementara mereka masih hidup seperti bercakap dengan menggunakan bahasa yang indah serta berlemah-lembut dalam pertuturan. Jangan kita lupa untuk taat kepada mereka walaupun mereka telah tiada di muka bumi ini lagi. Kita sebagai seorang anak boleh mendoakan mereka, menziarahi kubur dan memuliakan sahabat-sahabat mereka.

Akhlak kepada anak-anak merupakan peranan ibu bapa dalam mendidik mereka supaya mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah S. W. T. Ibu bapa juga merupakan contoh ikutan kepada anak-anak mereka dari segi perbuatan, pertuturan dan akhlak.

Akhlak suami isteri berperanan dalam pembangunan institusi kekeluargaan. Keutamaan tanggungjawab isteri adalah melaksanakan peranan khusus, sesuai dengan tabiat kewanitaannya seprti mengurs rumahtangga, mendidik anak-anak dan seumpanya. Manakala, si suami berperaan dalam mencari nafkah untuk menyara keluarganya, memberi perlindungan kepada isteri dan anak-anak dari cabaran sebarang kesulitan. Kerjasama kedua-dua pihak ini dapat memberi kesan yang baik untuk melahirkan anak-anak yang soleh juga dapat merasakan kenikmatan di dalam kehidupan berkeluarga.

Akhlak kepada guru juga penting kerana guru ialah orang yang memberikan ilmu pengetahuan kepada kita dan kita perlu mneghormatinya. Ini dapat dibuktikan lagi apabila martabat seorang guru diangkat oleh Allah. Dengan kata lain, sekiranya kita menyakiti perasaan guru itu, kita tidak dapat keberkatan terhadap ilmu yang telah kita pelajari.

Akhlak manusia kepada masyarakat atau jiran menjadi satu kewajipan ke atas manusia Muslim. Mewujudkan hubungan baik sesama jiran adalah digalakkan dalam agama Islam. Perhubungan ini boleh dijalinkan seperti mengamalkan sikap ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat. Ini kerana jiran merupakan peranan penting sehingga kadang-kala melebihi peranan keluarga kita sendiri yang berada jauh daripada kita.

Akhlak dengan alam pula di mana Allah telah menganugerahkan segala isi alam ini kepada manusia supaya manusia dapat menjalankan tugas sebagai khalifah di dunia dengan lebih baik. Ia juga melatih manusia itu untuk menjadi seorang insan yang prihatin terhadap alam sekeliling dalam memelihara alam ini dari kemusnahan mahupun kerosakan. Sebagai contoh, badan-badan yang berkaitan perlu memelihara haiwan liar dari terus menjadi buruan manusia yang tidak bertanggungjawab supaya dapat memelihara populasinya.

PEMBENTUKAN AKHLAK

Iman, ilmu dan amal merupakan faktor penting dalam pembentukan akhlak. Pembentukan akhlak ini perlulah melalui beberapa peringkat seperti:

Sebelum berumah tanggga merupakan titik permulaan dalam pembentukan akhlak. Pembentukan keluarga yang baik dapat melahirkan generasi yang cemerlang dari aspek duniawi mahupun ukhrawi. Oleh itu, sebelum melangkah ke alam berumahtangga kita perlu membuat pilihan terlebih dahulu terhadap pasangan hidup sama ada calon isteri mahupun suami. Syarat-syarat yang telah digariskan sebagai panduan bagi pemilihan pasangan dalam Islam adalah seperti hadis Rasulullah S. A. W. yang bermaksud:

“Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau memilih yang beragama, itulah pilihan yang terbaik. ”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semasa perkahwinan, suami isteri haruslah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik-baiknya. Perasaan kasih sayang hendaklah sentiasa dipupuk kerana dengan adanya perasaan ini, kehidupan berumahtangga akan lebih tenang dan tenteram. Malah, perceraian dapat dielakkan juga. Bagi ibu-ibu yang sedang hamil, diberi galakan untuk selalu memperdengarkan ayat-ayat suci al-quran kepada bayi di dalam kandungan. Dengan cara ini, jiwa bayi yang masih kosong itu telah diisi dengan sesuatu yang bermakna dan dalam masa yang sama proses pembentukan akhlak yang mulia juga telah terjadi tanpa kita sedari.

Kanak-kanak juga perlu diberikan pendidikan yang seimbang seperti pendidikan keimanan yang menjadi asas utama. Pendidikan ini memerlukan ibu bapa dalam memberikan panduan dalam memupuk keimanan dalam diri anak-anak. Mereka boleh memberi tunjuk ajar kepada anak-anak supaya menyembah Allah yang Esa dengan cara mengajar anak-anak untuk menunaikan solat fardhu sejak mereka kecil lagi.

Remaja menurut kamus dewan bermaksud dewasa atau sudah akil baligh yang membolehkan mereka berfikir dengan menggunakan kewarasan akal sebelum melakukan sesuatu tindakan itu. Zaman remaja merupakan masa yang paling mencabar dan di sinilah iman, ilmu dan akhlak sangat diperlukan. Jika iman tidak diisi sepenuhnya dalam jiwa golongan remaja, mereka barangkali terjerumus dalam persekitaran dunia yang tidak sihat ini. Mereka mungkin boleh terjebak dalam aktiviti tidak bermoral seperti lumba haram, pergaulan bebas dan banyak lagi. Sekiranya iman itu ada dalam jiwa setiap remaja, perkara seperti ini dapat dibendung daripada berlaku serta agama Islam akan terpelihara.

Pelaksanaan ibadat penting dalam Islam bukan sahaja sebagai bukti kepatuhan kepada Allah S. W. T. tetapi ia juga mempunyai kesan secara langsung dalam pembentukan peribadi seseorang Muslim apabila ibadah itu dilaksanakan mengikut syariat yang telah ditentukan oleh Allah S. W. T. Antara ibadah utama adalah:

Penghayatan al-quran dapat mendidik dan melembutkan hati serta menjadi panduan kepada manusia untuk menjalani kehidupan berdasarkan cara hidup Islam. Dengan adanya penghayatan ini juga, manusia dapat memahami peranan yang sebenar disebalik kejadian sesuatu perkara yang Allah telah jadikan. Contohnya, peranan kejadian manusia di muka bumi ini adalah supaya manusia beribadah kepada Allah S. W. T.

Penghayatan rukun-rukun Islam terdiri daripada lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah yang membawa maksud meyakini bahawa tiada tuhan yang boleh disembah melainkan Allah yang Maha Esa dan mengaku bahawa Nabi Muhammad itu utusanNya kepada kita. Solat fardhu pula dapat mendisiplinkan kita dalam menepati waktu. Zakat diwajibkan kepada kita bertujuan untuk membersihkan diri dari dosa serta mengangkat nilai individu dan masyarakat ke darjat yang lebih tinggi. Ibadah puasa melatih kita untuk menahan lapar dan dahaga juga melatih kita untuk melawan nafsu dan syahwat supaya tidak melepasi batas-batas hukum yang ditetapkan. Haji diwajibkan kepada semua manusia akan tetapi ia lebih tertumpu kepada insan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Ia bertujuan mendidik jiwa kita supaya sentiasa berkorban, berjimat dan memupuk nilai kasih sayang kerana Allah S. W. T.

Mengerjakan amalan sunat dapat membantu dalam menyempurnakan amalan fardhu. Sebagai contoh, solat sunat dapat menampung solat fardhu yang kadang kala kita lalai dalam mengerjakannya kerana sibuk dengan duniawi.

Istiqamah dalam beramal membawa erti kepada amalan yang dilakukan itu biarlah sedikit tetapi istiqamah berlawanan dengan amalan yang dilakukan banyak hari ini tetapi semakin hari semakin berkurangan.

Rasulullah S. A. W. sebagai Uswah Hasanah adalah baginda menjadi contoh ikutan kepada muslim kerna keperibadian baginda yang terpuji. Baginda yang bersifat maksum, tidak mempunyai sifat-sifat yang tercela. Malah, akhlak baginda adalah akhlak yang mulia.

Mencontohi para sahabat kerana mereka mendapat bimbingan secara langsung daripad Nabi berbanding dengan kita yang hanya mengikutnya berdasarkan sunnahnya.

Muhasabah diri adalah dengan memerhatikan kekurangan yang ada dalam diri kita dan berusaha untuk mengatasi kekurangan itu dengan memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah.

Didikan dan latihan merujuk kepada akhlak iaitu akhlak seseorang itu dapat dibentuk sekiranya diberi didikan dan mendapat latihan yang secukupnya daripada pendidik yang berkualiti. Namun begitu, haruslah kita ingat bahawa pendidikan itu bermulanya dari rumah yang sewajarnya dilaksanakan oleh ibu bapa.

CABARAN-CABARAN PEMBENTUKAN AKHLAK

Masih ada cabaran yang menjadi penghalang dalam pembentukan akhlak ini terdiri daripada cabaran dalaman dan luaran.

Cabaran dalaman iaitu melalui serangan pemikiran seperti apa yang telah dilakukan oleh orang Barat dalam mempengaruhi pemikiran umat Islam dengan mengakatakan bahawa tidak ada agama yang berperanan dalam memperbaiki atau mengubah tamadun. Manakala melalui syaitan dan hawa nafsu pula ialah hasutan atau godaan daripada syaitan yang menghalang manusia untuk membentuk akhlak yang mulia dengan menghasut untuk melakukan sebarang bentuk kejahatan. Akhir sekali, lemahnya jiwa merupakan cabaran yang paling besar kerana apabila manusia dilanda kelemahan iman, ia akan mudah terjerumus ke dalam konteks dosa dan melakukan perkara-perkara keji.

Cabaran luaran seperti perancangan penjajah dan salibiah dalam menjatuhkan umat Islam dengan hanya meletakkan segelas arak dengan wanita cantik cukup untuk melalaikan umat Islam. Manakala, adat meletakkan mas kahwin yang tinggi iaitu tidak mengikut cara Nabi telah menyukarkan kembali pihak lelaki dan akibatnya berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini seperti penzinaan.

PENYELESAIAN TERHADAP CABARAN-CABARAN PEMBENTUKAN AKHLAK

Jika seseorang itu beriman, ia dapat memahami siapa penciptanya, tujuan dan peranan ia diciptakan, serta ke mana ia akan pergi. Kepentingan mengenali semua ini adalah untuk memahami tujuan peranan penciptaannya, justeru ia akan tahu menilai dirinya dan menjadikan potensi dirinya untuk melakukan kebaikan bukan kepada dirinya sahaja tetapi terhadap orang lain juga.

Manakala, ibadat pula menjadi banteng pertahanan untuk menangkis godaan syaitan serta hawa nafsu. Ibadah yang sempurna lahir dari iman yang mantap kepada Allah S. W. T.

Akhir sekali, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak. Anak adalah amanah Allah yang perlu dipikul oleh ibu bapa. Oleh itu, bimbingan dan didikan agama perlu diberikan agar anak-anak dapt menjadi seorang insan yang berjaya dari segi akhlaknya

PENUTUP

Sesungguhnya pembentukan akhlak perlu dititik beratkan dalam kehidupan setiap muslim. Dengan adanya akhlak, seseorang itu akan dipandang mulia terutamanya di sisi masyarakat setempat. Jika kita beramal dengan akhlak yang mulia, maka kita akan dapat menikmati keindahan kehidupan ini. Malah, ia dapat menaikkan darjat agama Islam pada pandangan mata agama-agama lain.

Peranan ibu bapa dalam pembentukan akhlak ini, mereka boleh mendidik anak-anak bermula sejak dari rumah lagi. Ini kerana, pendidikan bermula sejak dari rumah. Ibu bapa yang prihatin dapat menjamin keharmonian hidup anak-anak.

Masyarakat juga berperanan dalam menonjolkan akhlak yang baik terhadap orang sekeliling. Akhlak yang elok dapat mencerminkan keperibadian masyarakat itu sendiri.

------------------------------------------------------

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA
013-4006206
04-9882701

abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com