Umar al Khattab


Disediakan Untuk: 
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Pendidikan Islam

Disediakan Oleh: 
Mohd Hilmi Danial Bin Helmy Sham

Khalifah Umar al-Khattab berjaya mencipta sejarah keemasan negara      Islam dan mendapat penghormatan serta sanjungan sepanjang zaman. Beliau manusia berbakat dan pintar serta lambang kejayaan bangsa Arab dan umat Islam. Dalam masa 10 tahun 6 bulan beliau memerintah, seluruh empayar Rom dan Parsi berada di bawah kuasa pemerintahan Islam. Selain sebagai penakluk, Khalifah Umar al-Khattab berjaya menyusun pentadbiran yang berkesan dan teratur. Dia pengasas sistem politik Islam, pelaksana undang-undang syariah dalam negara serta berjaya membentuk sebuah negara Islam yang baru. Bagi bidang keselamatan dalam negeri, beliau menubuhkan pasukan polis. Bagi mengukuhkan sistem pertahanan, beliau membina penempatan tentera serta pelabuhan bagi pembinaan kapal laut. Pahlawan yang berjaya menundukkan Parsi dan Rom ini turut mengasaskan bandar-bandar baru bagi mengembangkan kebudayaan Islam. Selain itu beliau juga memajukan bidang pertanian dan mengasakan sistem pelajaran Islam. Beliau juga mahir dalam ilmu fikah dan seorang pemidato yang hebat. Beliau seorang ahli gusti dan penunggang kuda yang cekap. Walaupun berada di tampak kekuasaan, pencetus zaman keemasan negara Islam ini hidup sederhana mencontohi Rasulullah. Umar al-Khattab dilahirkan 42 tahun sebelum hijrah. Usianya 12 tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Pada mulanya beliau antara orang Quraisy yang paling keras menentang Islam serta memusuhi Rasulullah SAW. Tetapi ketika berusia 35 tahun beliau mendapat hidayah lalu terus memeluk Islam. Nama sebenar dan jurai keturunan beliau ialah Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd al-Uzza bin Ryah bin Abdullah bin Qurti bin Rizah bin Adiyyi bin Kaab. Nama ibunya ialah Hantamah binti Hisyam bin al-Mughirah bin Adbullah bin Umar bin Makhzum. Abu Jahal adalah bapa saudara kepada Umar al-Khattab. Semasa jahiliah mereka sama-sama memusuhi Rasulullah SAW. Tetapi sesudah memeluk Islam, Umar al-Khattab memusuhi Abu Jahal. Umar al-Khattab daripada keluarga Bani Adi. Sebelum memeluk Islam beliau menjadi duta bagi kaum Quraisy. Sekiranya berlaku peperangan, beliau dihantar sebagai duta ataupun perunding bagi pihak kaum Quraisy.
 Semasa jahiliah juga Umar al-Khattab terkenal sebagai seorang yang keras hati dan kejam sehingga sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup. Beliau bukan sahaja pernah menyakiti Rasulullah SAW malah suatu ketika berniat hendak membunuhnya. Tetapi selepas memeluk Islam, hatinya yang keras itu digunakannya bagi membela Rasulullah SAW dan Islam. Sifat berani dan kegagahannya digunakan bagi menentang mereka yang memusuhi baginda sehingga mendapat gelaran al-Faruq yang bermaksud orang yang berani menyatakan kebenaran. Beliau antara sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW. Apabila Saidina Abu Bakar as-Siddiq sakit, beliau mencadangkan Umar al-Khattab sebagai pengantinya selepas mendapat persetujuan daripada sahabat-sahabatnya. Selepas dilantik menjadi khalifah, beliau meneruskan usaha yang dilakukan Abu Bakar as-Siddiq bagi membebaskan umat Islam daripada ancaman kuasa Rom dan Parsi. Beliau berjaya membebaskan semenanjung tanah Arab daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Syria, Iraq, Jordon dan Mesir berjaya ditaklukinya. Kemuncak kejayaannya ialah apabila berjaya menakluk Jerusalem daripada kekuasaan Rom.
 Semenjak kecil Umar al-Khattab dilatih menunggang kuda dan bermain senjata. Dia juga sering disuruh menjalani latihan lasak supaya menjadi kuat dan berani. Umar al-Khattab membesar sebagai seorang pahlawan. Al-Khattab menjemput mereka yang berpengalaman supaya memberikan tunjuk ajar kepada anaknya mengenai ilmu peperangan. Selain itu Umar al-Khattab juga dilatih menjadi pemidato yang hebat kerana orang-orang Bani Adi terkenal sebagai pemidato yang hebat. Tindakan Al-Khattab selalu bertindak kasar kepada Umar ialah kerana tidak ada orang-orang Bani Adi yang mendapat tempat di kalangan kaum Quraisy disebabkan tidak ada yang hebat dan berkebolehan. Selain itu bani-bani yang lain mendapat tugas seperti Bani Hasyim diberikan tugas menguruskan air minuman bagi para jemaah haji, urusan pentadbiran dan kehakiman pula diberikan kepada Bani Umaiyah manakala urusan kebajikan dan kemasyarakatan diberikan kepada kaum Bani Naufal. Kaum Bani Abd al-Dar menguruskan Kaabah, kaum Bani Tamim menguruskan bayaran denda sementara Bani Makhzum ditugaskan menguruskan khemah dan senjata-senjata peperangan dan bagi urusan mengutip harta bagi tuhan-tuhan pula diuruskan oleh kaum Bani Shahmin. Umar juga diberikan tugas oleh Al-Khattab untuk menggembala unta dan kambing kerana bagi Al-Khattab tugas ini dapat menjadikan Umar lebih berani, bertanggungjawab dan kuat untuk menjadi seorang pahlawan.
 Waktu yang paling menggembirakan hati Umar al-Khattab ialah sebelum senja kerana dia dapat bermain dengan rakan-rakan yang sebaya dengannya. Mereka bermain senjata dan menunggang kuda dan apabila mereka mengadakan perlumbaan menunggang kuda, Umar al-Khattab pasti muncul sebagai pemenang. Begitu juga apabila bermain pedang, beliau pasti muncul sebagai juara. Pada sebelah malam Umar al-Khattab dan rakan-rakannya sering berkumpul di suatu kawasan lapang yang terletak tidak jauh dari Kaabah. Di situ mereka menjalani latihan bergusti, satu-satunya sukan yang paling digemari oleh Umar al-Khattab. Dia sering muncul sebagai pemenang. Pada suatu petang Umar la-Khattab dan rakan-rakannya pergi ke pasar Ukhaz bagi menyaksikan pertandingan gusti. Acara ini diadakan setiap tahun bagi memilih jaguh gusti. Mereka yang muncul sebagai pemenang menerima hadiah yang lumayan dan namanya turut disanjung. Umar al-Khattab menyertai acara gusti ini dan menjadi juara serta berjaya menewaskan Unaiyah iaitu jaguh gusti selama 5 tahun berturut-turut. Selepas menjadi juara Umar al-Khattab pernah bertarung dengan sahabatnya iaitu Khalid al-Walid kerana sikap Umar al-Khattab. Dalam pertarungan ini Khalid al-Walid berjaya mengalahkan Umar al-Khattab tetapi tidak menerima gelaran jaguh gusti. Umar al-Khattab mengucapkan terima kasih kepada Khalid. Dia berjanji mengubah sikapnya. Mereka berdua berbaik semula. Umar al-Khattab berkahwin dengan Zainab binti Ma’un dan mendapat beberapa orang anak. Kemudian dia berkahwin pula dengan Malkiah binti Jarwal. Umar berasa begitu bahagia dengan kehidupannya. Pada suatu pagi, di hadapan Kaabah ramai pembesar Quraisy berkumpul. Antaranya Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian, Umar al-Khattab, Abu Ubaidah al-Jarrah, dan ramai lagi. Mereka sedang berbincang mengenai Muhammad yang membawa ajaran agama baru dan melarang membunuh anak-anak perempuan. Disebabkan Abu Lahab dan Abu Jahal, Umar al-Khattab juga pernah membunuh anak perempuannya.

 Labinah, hamba kepada Umar al-Khattab juga memeluk Islam. Disebabkan berasa malu dan tercabar, Umar al-Khattab dengan perasaan marah telah memukul Labinah sehingga pengsan tetapi Labinah tetap tidak mengubah pendiriannya. Selepas itu Umar al-Khattab bersetuju dengan cadangan isterinya dengan menyeksa Labinah dengan mengikat tangan dan kaki Labinah dan dijemurkan di bawah terik matahari. Kemudian Umar al-Khattab menjual Labinah kepada Abu Bakar dan dibebaskannya. Fatimah, adik Umar al-Khattab juga telah memeluk Islam dan diikuti oleh suaminya Said bin Zaid dan sahabatnya Naim bin Abdullah. Amir bin Rabiah yang baru memeluk Islam berjalan menuju ke rumahnya di perkampungan Bani Adi. Di pertengahan jalan dia bertemu dengan Khabbab. Selepas itu, Khabbab menuju ke rumah Fatimah dan Amir pula ke rumahnya. Kemudiannya Amir bin Rabiah menyuruh isterinya, Laila bersiap kerana mereka mahu berhijrah ke Habsyah pada hari itu juga kerana mendapat keizinan daripada Rasulullah SAW. Selepas menyediakan semua bekalan dan keperluan, kedua-duanya meninggalkan kediaman mereka. Tetapi apabila sampai di bukit al-Aqir, mereka terserempak dengan Umar al-Khattab. Amir segera bersembunyi tetapi isterinya tidak sempat berbuat demikian. Umar al-Khattab menanyakan soalan kepada Laila tetapi dia tidak menjawab kerana berasa takut. Akhirnya Amir dan Laila memberitahu bahawa mereka hendak berhijrah ke Habsyah. Umar al-Khattab merelakan perjalanan mereka. Amir dan isterinya segera meninggalkan tempat itu. Umar al-Khattab pula menuju ke Masjidil Haram kerana di sana berkumpul ramai pembesar Quraisy. Beliau diberi tanggungjawab untuk membunuh Rasulullah SAW. Umar al-Khattab segera pulang ke rumah lalu memakai pakaian perang dan menyandang sebilah pedang.
 Di pertengahan jalan, beliau berjumpa dengan Naim bin Abdullah dan disitulah beliau mendapat tahu bahawa adiknya, Fatimah telah memeluk Islam. Dengan perasaan marah Umar al-Khattab pergi ke rumah adiknya dan ketika itu Fatimah dan Said sedang mendengar Khabbab membaca ayat-ayat suci al-Quran. Umar al-Khattab berasa sangat marah lalu memukul Said. Melihat suaminya dibelasah, Fatimah datang membantu tetapi ditampar oleh Umar al-Khattab sehingga mulutnya berdarah. Selepas itu, Fatimah bangun kerana hendak menyimpan lembaran yang bertulis ayat-ayat suci al-Quran. Tetapi Umar al-Khattab menahannya sambil meminta kebenaran mahu membacanya. Umar al-Khattab berasa begitu menyukainya. Kemudian beliau meminta supaya Khabbab menemaninya berjumpa dengan Rasuluulah SAW. Akhirnya Umar al-Khattab memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bertakbir penuh kesyukuran apabila mendengar ucapan Umar al-Khattab itu.
 Selepas memeluk Islam, Umar al-Khattab berasa tidak tenang. Dadanya berdebar-debar dan jiwanya kacau. Dia terbayang wajah Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian dan ramai lagi pemimpin Quraisy yang memusuhi Nabi Muhammad SAW. Beliau juga terpaksa bercerai dengan kedua-dua isterinya iaitu Mulaikah dan Quraibah kerana mereka tidak mahu menjadi pengikut Muhammad. Namun beliau tidak berasa kesal malah hidupnya lebih bahagia selepas menganut agama Islam. Tidak lama kemudian Umar al-Khattab bertemu jodoh dengan Ummi Hakim binti Haris. Dia merasakan hidupnya lebih bahagia. Seluruh hidupnya kini digunakan bagi membela Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

 Semakin lama Umar al-Khattab semakin berani dan lantang bersuara menyatakan keislamannya kepada orang ramai. Ini menjadikan pengikut Muhammad yang lain berasa lebih kuat dan selamat. Tambahan pula singa padang pasir itu selalu membela mereka. Semenjak itu orang-orang Islam bebas beribadat di dalam Masjidil Haram. Tidak ada siapa yang berani menyakiti mereka. Rasulullah SAW memberikan gelaran al-Faruq kepada Umar al-Khattab. Pada suatu hari, datang Jaafar bin Abu Talib menghadap Rasulullah SAW. Jaafar mewakili beberapa orang Islam lagi yang hendak berhijrah ke Habsyah dan ingin meminta kebenaran daripada Rasulullah SAW. Menurut Jaafar lagi, rombongan itu terdiri daripada 83 orang lelaki dan 18 orang perempuan. Mereka ingin meninggalkan kota Mekah kerana tidak tahan dengan penyeksaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy kepada mereka. Rasulullah SAW membenarkan mereka berhijrah demi menjaga keimanan dan keselamatan diri mereka. Pada suatu hari datang satu rombongan dari Madinah ke kota Mekah. Dengan segera Umar al-Khattab bertemu mereka sambil menyeru memeluk Islam dan memberitahu tentang kebaikan Islam. Kata-kata yang disampaikan oleh beliau telah menarik perhatian salah seorang penduduk Madinah yang bernama Ka’ab bin Ubadah dan dia ingin bertemu dengan Rasulullah SAW. Pertemuan itu diadakan di Mina secara sembunyi-sembunyi. Akhirnya penduduk Madinah itu menyatakan keislaman mereka. Selepas itu Ka’ab bin Ubadah pulang ke Madinah dan menceritakan pertemuannya dengan Nabi Muhammad SAW. Ramai yang tertarik dan tidak lama kemudian datang satu lagi rombongan ke Mekah. Mereka memeluk Islam dan mengajak orang-orang Islam berhijrah ke Madinah. Selepas itu Umar al-Khattab juga turut berhijrah ke Madinah diikuti pula oleh Nabi Muhammad SAW beserta Abu Bakar as-Siddiq.
 Di Madinah Rasulullah SAW membina masjid Madinah dan Bilal bin Rabah diberikan tugas untuk melaungkan azan setiap kali masuk waktu sembahyang. Rasulullah SAW juga mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dengan Ansar bagi mewujudkan perpaduan. Selain itu baginda juga mencadangkan untuk menubuhkan pasukan tentera bagi mengawal keselamatan penduduk Madinah. Pada suatu hari Abu Bakar as-Siddiq membacakan surah al-Haj yang membenarkan untuk orang Islam berperang. Surah yang disampaikan oleh Abu Bakar as-Siddiq telah mengembirakan Umar al-Khattab dan dengan segera beliau pulang ke rumah dan menyiapkan peralatan perangnya. Dalam perang badar berlaku pertempuran yang hebat antara pasukan yang dipimpin Rasulullah SAW dan disertai juga oleh Umar al-Khattab dengan pasukan yang dipimpin oleh Abu Jahal. Peperangan itu dimenangi oleh tentera Islam. Seramai 70 tentera Quraisy terbunuh dan 70 lagi menjadi tawanan perang. Manakala di pihak muslimin hanya 14 orang sahaja yang syahid. Selepas pulang ke Madinah Rasulullah SAW membebaskas kesemua tawanan dengan syarat membayar tebusan mengikut kemampuan keluarga masing-masing ataupun mengajar sepuluh kanak-kanak membaca dan menulis sebelum mereka dapat dibebaskan. Pada bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah, Nabi Muhammad SAW bersama-sama 1500 para pengikutnya keluar dari kota Madinah menuju ke Mekah dengan tujuan mengerjakan umrah. Pada mulanya ditentang oleh ketua kaum Quraisy, Abu Sufian tetapi setelah mengingat kembali kepada kekalahan dalam pertempuran perang badar dan perang uhud Abu Sufian menukar fikiran. Kemudian berlakulah Perjanjian Hudaibiah antara kaum Quraisy dengan Rasulullah SAW.
 Suatu hari ketika Usamah bin Zaid membawa pasukan tenteranya selepas dilantik oleh Rasulullah SAW untuk memimpin tentera dari Madinah menuju ke Syam, tiba-tiba mendapat berita bahawa Rasulullah SAW jatuh sakit sehingga tidak dapat datang ke masjid bagi mengerjakan sembahyang berjemaah. Selepas itu tersebar berita mengatakan Rasulullah SAW sudah wafat dan berita itu mengejutkan Umar al-Khattab. Tambahan pula ada yang mula mempertikai kerasulan Nabi Muhammad SAW. Kemudian berlaku pergaduhan bagi memilih pemimpin yang baru antara kaum Muhajirin dan Ansar. Akhirnya Abu Bakar as-Siddiq dilantik menjadi pemimpin dan khalifah yang pertama selepas dicalonkan oleh Umar al-Khattab. Dalam suasana sedih akibat kehilangan Rasulullah SAW, tersebar khabar angin ramai yang murtad, mengaku menjadi nabi dan enggan membayar zakat. Umar al-Khattab mendapat tugas bagi menyiasat perkara itu. Umar al-Khattab juga mencadangkan kepada Abu Bakar as-Siddiq supaya mengumpulkan kesemua ayat-ayat al-Quran bagi menjadi sebuah kitab dan Abu Bakar as-Siddiq bersetuju. Tugas ini diberikan kepada Zaid bin Thabit. Selepas memerintah selama dua tahun tiga bulan, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq jatuh sakit. Sakitnya semakin hari semakin tenat sehingga tidak mampu pergi ke masjid. Dia melantik Umar al-Khattab sebagai penggantinya.
 Khalifah Umar al-Khattab menulis surat kepada tentera Islam yang sedang bertempur dengan tentera Rom di Yarmuk. Dalam suratnya itu beliau melucutkan jawatan Khalid al-Walid sebagai ketua panglima Islam dan melantik Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai penggantinya. Tindakan Umar al-Khattab menukar jawatan ketua kepada Abu Ubaidah al-Jarrah adalah kerana kesanggupannya untuk berjihad selain ingin menaikkan semangat orang ramai terutama daripada kalangan Bani Saqif. Ramai yang sanggup menyertai panggilan jihad itu. Walaupun Khalifah Umar al-Khattab tahu tindakannya itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai namun tindakan ini perlu dilakukan supaya orang ramai tidak terlalu taksub dengan menyangka kemenangan itu disebabkan adanya Khalid al-Walid. Khalifah Umar al-Khattab menghantar 4000 orang tentera ke Iraq yang dipimpin oleh Jarir bin Abdullah al-Bajalli. Mereka diperintahkan bagi membantu Panglima al-Muthanna menghadapi tentera Parsi. Berita kemengangan tentera Islam telah sampai ke pengetahuan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dan penduduk Madinah menyambutnya dengan perasaan gembira. Tiba-tiba Khalifah Umar al-Khattab mendapat berita bahawa semakin ramai tentera Islam yang syahid di medan perang. Panglima Abu Ubaid al-Saqafi telah syahid dan Panglima al-Muthanna luka parah serta Raja Parsi meningkatkan jumlah tentera Parsi kepada lebih 100,000. Berita ini merisaukan beliau serta penduduk Madinah. Kemudian Khalifah Umar al-Khattab melantik Sa’ad bin Abi Waqas untuk memimpin tentera yang akan dihantar ke Iraq. Akhirnya tentera Islam berjaya menumbangkan kerajaan Parsi dan menawan Istana Parsi.
 Kejayaan demi kejayaan tentera Islam peroleh dalam peperangan dengan tentera Parsi dibawah perintah Khalifah Umar al-Khattab telah membanggakan beliau dan seluruh umat Islam. Selepas Nabi Muhammad SAW wafat, Rom dan Parsi menyangka umat Islam akan berpecah-belah dan lemah serta selepas Khalifah Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia, musuh-musuh Islam berharap perebutan kuasa berlaku di kalangan umat Islam. Tetapi ternyata dibawah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, umat Islam hidup bersatu-padu.
 Khalifah Umar al-Khattab menghantar tentera tambahan ke Parsi seramai 25,000 orang bagi menguatkan lagi tentera Islam di sana. Beliau melantik Sariyah bin Zanim sebagai pemimpin. Semasa pasukan ini berangkat menuju ke Parsi, mereka akan bergabung dengan tentera yang dipimpin Panglima al-Qa’qa’ di Nahawan dan jumlah mereka akan mencapai lebih 50,000 orang. Tentera Islam menetap di Kufah dan Basrah atas pilihan Khalifah Umar al-Khattab iaitu kawasan yang ditakluk dari kerajaan Parsi kerana tanah di situ subur, pemangangan indah dan udaranya bersih serta sangat sesuai dibangunkan kota tempat kediaman dan pangkalan tentera. Kemudian Khalifah Umar al-Khattab melantik Sa’ad bin Abi Waqas menjadi gabenor di Kufah dan Basrah. Kota Damsyik juga telah jatuh ke pemerintahan tentera Islam. Raja Jabalah juga telah memeluk Islam. Kemudian tentera Islam berjaya menawan Baitul Muqaddis.
 Pada 23 Zulhijjah tahun 23 Hijrah genaplah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab selama 10 tahun 6 bulan. Selama pemerintahannya rakyat berasa selamat kerana kerajaan Islam semakin lama semakin kuat. Selain kekuatan tentera Islam, Khalifah Umar al-Khattab juga menumpukan kepada pembanggunan negara serta memajukan kehidupan rakyatnya. Banyak pembaharuan yang telah beliau laksanakan. Undang-undang syariah dilakukan bagi menjaga rakyat, pasukan polis ditubuhkan dan markas tentera dibina bagi memperkuatkan pertahanan umat Islam. Khalifah Umar al-Khattab berjaya menubuhkan negara Islam moden. Suatu hari seperti hari-hari biasa, sebelum azan subuh dilaungkan, Khalifah Umar al-Khattab sudah berada di dalam Masjid Nabi bagi mengerjakan sembahyang subuh secara berjemaah. Selepas azan subuh dilaungkan para jemaah bersedia mengerjakan sembahyang subuh dan ketika Khalifah Umar al-Khattab mengangkat takbiratul ihram dengan pantas Abu Lukluah, seorang bekas putera Yezdager tiga yang telah memeluk Islam, mengeluarkan pisau dari dalam jubahnya lalu menikam perut Khalifah Umar al-Khattab. Kemudian Abu Lukluah telah dibunuh oleh Hurmuzan dan Jafina, iaitu orang yang meniupkan kembali perasaan dendam Abu Lukluah kepada Khalifah Umar al-Khattab.
 Keadaan beliau semakin parah. Seorang tabib dipanggil bagi mengubatinya tetapi dia tidak mampu untuk membuat apa-apa. Apabila Khalifah Umar al-Khattab meminum susu, minuman itu keluar dari bekas luka di perutnya. Maka tahulah bahawa Khalifah Umar al-Khattab tidak dapat diselamatkan lagi. Beliau juga meminta untuk disemadikan berhampiran dengan makam Rasulullah SAW dan Aisyah juga mengizinkannya. Khalifah Umar al-Khattab melantik 10 orang ahli Syura yang diberi tugas bagi memilih calon bagi menggantikan beliau. Ahli Syura itu dipengerusikan oleh Abdullah bin Umar. Uthman bin Affan dilantik menjadi pengganti. Sakit beliau bertambah tenat. Akhirnya pada pagi Ahad 27 Zulhijjah tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar al-Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Bibliografi
Abdul Latip Talib, (2010). Novel Sejarah Islam Umar al-Khattab Reformis Dunia Islam. Selangor: PTS LITERA UTAMA SDN. BHD.


------------------------------------------------------
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com